Cara Ajar Anak Pengurusan Kewangan

Cara Mudah Ajar Anak Pengurusan Kewangan

Cara Ajar Anak Pengurusan Kewangan. Pengurusan kewangan sepatutnya diajar sejak kecil lagi. Tetapi sehingga kini masih tiada lagi pelajaran pengurusan kewangan secara formal untuk kanak-kanak. Walaubagaimana pun, kita tidak perlu menyalahkan sistem pembelajaran kerana pengurusan kewangan juga boleh dididik di rumah oleh ibu bapa sendiri.

Tetapi sebelum mendidik anak-anak, ibu bapa sendiri perlulah bijak dalam pengurusan kewangan setidak-tidaknya pandai dalam membuat bajet kewangan dan menguruskan kewangan peribadi.

Pengurusan kewangan merupakan satu tajuk yang besar. Mengajar anak pengurusan kewangan bukanlah bertujuan untuk menjadikan mereka kaya raya di masa hadapan ataupun untuk menjadikan mereka pakar kewangan, tetapi lebih kepada persediaan kewangan untuk anak-anak kita apabila meningkat dewasa kelak. 

Apakah objektif mengajar anak pengurusan kewangan?

  1. Supaya mereka membesar sebagai seorang yang celik kewangan
  2. Supaya mereka tidak melakukan kesilapan besar dalam kewangan
  3. Supaya mereka dapat menghargai apa yang ada disekeliling mereka
Pernah baca buku ni tak?




Dalam buku Why A Students Work For C Students ada diterangkan tentang bagaimana gred pelajaran kanak-kanak (hingga habis belajar) tidak memberikan jaminan ke atas tahap kefahaman terhadap pengurusan kewangan seseorang.

Buku ini menerangkan juga bagaimana pelajar yang dahulunya hanya mendapat gred yang sederhana akhirnya lebih berjaya dalam pengurusan kewangan berbanding pelajar yang cemerlang dalam pelajaran.

Buku ini mungkin tidak 100 peratus tepat dengan situasi anda, tetapi sedikit sebanyak ia akan memberikan kesedaran kepada ibu bapa betapa pentingnya memperkenalkan pengurusan kewangan kepada anak-anak sejak kecil lagi. Saya sangat cadangkan semua ibu bapa dapatkan dan baca buku kewangan ini.

Ok.

Bagaimana cara kita nak mengajar anak tentang pengurusan kewangan di rumah? Dalam artikel ini akan menerangkan 9 cara mudah untuk diamalkan supaya anak-anak kita mula peka dengan pengurusan kewangan. Anda boleh mula mengajar anak tentang kewangan seawal umut 3 atau 4 tahun lagi atau ketika ini mereka sudah boleh faham apa yang ibu bapa sampaikan.



1.Ajar Menabung

Perkara pertama yang perlu diterapkan untuk mengajar pengurusan kewangan kepada anak-anak adalah tentang kepentingan menabung. Kita hendaklah mengajar anak untuk simpan duit serta terangkan juga tentang kepentingan menabung. Ini adalah penting untuk memastikan anak kita faham kenapa mereka perlu menabung.

Untuk menggalakkan mereka menabung anda boleh ikuti tips yang dikongsikan dalam artikel cara ajar anak simpan duit.

2.Tetapan matlamat

Kejayaan tidak akan dicapai sekiranya tiada matlamat. Apabila tercapai matlamat itulah yang dinamakan kejayaan. Begitu juga dengan kewangan. Ajar anak anda untuk mempunyai matlamat kewangan. Contoh matlamat jangka masa pendek adalah seperti percutian, pakaian atau lain-lain.

Dalam masa sama mereka perlu beruasha untuk mencapai matlamat tersebut. Jika nak beli sesuatu, mereka perlu menabung untuk mendapatkannya. Lebih baik lagi, catatkan matlamat dalam bentuk

3. Kenal murah dan mahal

Jika anak anda meminta sesuatu terangkan dahulu tentang harga sesuatu barang. Semasa membelikan anak-anak sesuatu barang, terangkan harga barang tersebut kepada anak-anak. Beritahu konsep murah dan mahal. Apa kebaikan membeli barang yang lebih murah. Ini akan lebih mudah jika anak anda sudah mengenal nombor.

4. Ajar Keperluan dan Kemahuan

Anak-anak kerap meminta sesuatu yang tidak diperlukan atau sesuatu yang sememangnya dah ada kat rumah. Anak anda mungkin kurang faham semasa anda terangkan, oleh itu anda boleh praktikkan dahulu membezakan keperluan dan kemahuan, dalam masa sama terangkan kepada anak mengapa anda membuat keputusan tersebut.

5. Ajar Berjimat Cermat

Perkara seterusnya yang perlu diperkenalkan kepada anak berkenaan pengurusan kewangan adalah berjimat cermat. Ada banyak perkara seharian yang boleh kita jadikan contoh supaya anak faham konsep berjimat cermat.

Salah satu contoh adalah keadaan semasa mereka mandi. Kebanyakan kanak-kanak suka bermain air dan membiarkan air paip mengalir tanpa digunakan sebaiknya. Ibu bapa hendaklah sentiasa menasihati anak untuk berjimat cermat menggunakan air. Ibu bapa boleh menggunakan alasan bil air tinggi, pembaziran dan sebagainya untuk memberi kefahaman kepada anak tentang konsep berjimat cermat.

Selain itu, ibu bapa sendiri perlu amalkan sikap berjimat cermat untuk memastikan anak-anak belajar daripada contoh terbaik mereka iaitu ibu dan bapa.


6. Ajar Melabur

Melabur datang dalam dua bentuk. Pelaburan duniawi dan ukhrawi. Pada permulaan ajar anak pelaburan akhirat seperti menderma. Apabila anak sudah meningkat umurnya, boleh berkongsi dengan anak-anak tentang pelaburan kewangan.

Selain itu, ibu bapa juga boleh memulakan pelaburan emas untuk anak-anak sejak mereka lahir lagi. Apabila mereka telah bersekolah, boleh ajar mereka menabung untuk membeli emas. Pendedahan awal tentang pelaburan adalah baik untuk anak-anak faham tentang risiko dan faedah daripada pelaburan.

Anda juga boleh bawa mereka bersama-sama untuk menyimpan duit di tabung haji dan terangkan kepada mereka bahawa simpanan tersebut adalah untuk pelaburan masa depan mereka.

7. Ajar Tentang Hutang

Anak kecil mungkin kurang faham tentang hutang. Pembelajaran tentang hutang boleh dimulakan dengan menerangkan konsep 'hutang perlu di bayar' dan 'elakkan hutang yang tak perlu' kepada anak. Ini akan secara tidak langsung memberikan pengenalan kepada mereka tentang hutang.

8. Ajar Bersabar

Bersabar mungkin tidak berkaitan secara terus dengan pengurusan kewangan. Tetapi ibu bapa perlu ajar anak bahawa bukan semua benda boleh diperolehi dengan mudah. Biar mereka berusaha untuk mencapai sesuatu. Dan untuk mencapai sesuatu itu memerlukan kesabaran.

9. Ajar Berkongsi

Berkongsi juga salah satu daripada teknik berjimat cermat. Sesekali belikan satu benda untuk dikongsi bersama antara anak-anak anda. 

Semua perkara di atas perlulah sentiasa diamalkan supaya ianya sebati dengan jiwa anak kita. Serta dengan harapan, apabila mereka telah meningkat dewasa nanti, mereka akan lebih peka dengan persekitaran dan pengurusan kewangan mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Back To Top