Ads Top

Cara Jimat Duit Tahun 2017

>

Setuju tak jika saya katakan tahun 2017 kita perlu berjimat cermat? Mungkin ada yang tidak bersetuju tetapi hakikatnya ekonomi yang tidak menentu menyebabkan kita perlu berhati hati dalam menguruskan kewangan kita. Pada kali ini saya akan kongsikan cara jimat duit yang boleh kita amalkan bermula tahun 2017 dan seterusnya menjadi amalan kita semua sampai bila-bila.

Kenapa perlu berjimat?

Berjimat bukanlah bermaksud tidak menggunakan duit anda langsung. Tetapi berjimat adalah menggunakan duit anda sesuai pada masa dan tempatnya mengikut keperluan seharian kita. Dua perkataan yang kerap kali digunakan dalam pengurusan kewangan adalah 'keperluan' dan 'kemahuan'.
Untuk berjimat, kita perlu pandai membezakan antara keperluan dan kemahuan.

Ok. Ini adalah perkara yang boleh kita amalkan untuk berjimat pada tahun 2017. 


1. Ubah gaya hidup

Lihat sekililing anda, mungkin ada perkara-perkara yang anda beli bukannya satu keperluan tetapi lebih kepada kemahuan semata-mata. Yang dah terbeli gunakan sebaik mungkin, tetapi untuk tahun baru, ubah gaya hidup kepada seseorang yang lebih peka yang mana keperluan dan yang mana adalah kemahuan. 


2. Rancang Kewangan

Orang yang gagal merancang adalah orang merancang untuk gagal. Begitu juga dengan perancangan kewangan. Tetapkan matlamat kewangan anda.


3. Mulakan tabungan

Jika sebelum ini anda belum mulakan menabung atas sebab-sebab tertentu, jadikan permulaan tahun 2017 sebagai tahun untuk menabung tidak kira apa pun yang berlaku. Nilai tabungan tidak penting, mulakan tabungan dan konsisten itu lebih penting. Percayalah, apabila anda sudah mula menabung, anda akan nak menabung, menabung dan menabung lagi.

4. Lupakan kad kredit

Suka berbelanja online dengan kad kredit? Nampaknya ada baiknya anda 'hapuskan' kad kredit anda kerana ia mungkin penyebab anda berada dalam kesempitan kewangan selama ini. Kad kredit adalah bak pisau bermata dua, walaupun ada kebaikan menggunakan kad kredit seperti dapat cashback dan lain-lain, tetapi jika digunakan tanpa berhati-hati akan memakan diri kita sendiri. 


5. Bajet Kewangan

Jika anda tidak pernah buat bajet kewangan, inilah masa yang paling sesuai untuk anda mulakan. Bajet adalah memperuntukkan duit anda mengikut keperluan anda. Jadi anda tahu kemana duit anda pergi dan dapat memantau pergerakan keluar masuk duit.

6. Berbelanja secara tunai

Berbelanja secara tunai memudahkan kita untuk memantau duit keluar dan masuk. Selain itu hadkan duit yang anda bawa semasa berbelanja untuk  mengelakkan anda terbeli perkara yang tidak sepatutnya.


7. Senaraikan Barangan Yang Nak dibeli

Berapa ramai yang pergi ke pasaraya untuk membeli 5 barang tetapi keluar dengan 10 barang? Inilah sebabnya perlu senarai barang semasa hendak pergi membeli belah. Ia bukan sahaja dapat menjimatkan duit kita, tetapi dalam masa sama menjimatkan masa kerana kita boleh terus menuju ke tempat barangan yang kita nak beli dan juga mengelakkan kita melihat pelbagai promosi yang tidak berkaitan disekeliling pasaraya tersebut.

8. Gunakan apa yang ada

Kereta dah ada, smartphone dah ada. Semua keperluan dah cukup. Jadi gunakanlah apa yang ada. Jangan berangan untuk tukar smartphone baru, sofa baru, kabinet baru atau lain-lain sempena tahun baru. Selagi boleh digunakan, gunakan sahaja apa yang ada.


9. Riadah bersama keluarga

Berapa kerap anda keluar berjalan-jalan bersama anak-anak di taman?Jadikan tahun 2017 sebagai permulaan untuk kita rapatkan hubungan dengan anak-anak kita. Anak-anak tidak perlukan permainan yang mahal untuk hiburan. Yang mereka perlukan adalah penglibatan dan perhatian ibu bapa dalam aktiviti mereka. Jadikan taman ataupun perkarangan rumah sebagai tempat beriadah bersama anak-anak. Jimat duit, badan pun sihat.

10. Kurangkan langganan siaran berbayar

Jika anda menggunakan siaran berbayar, semak semula sejauh mana anda menonton televisyen. Jika bilangan saluran televisyen lebih banyak dari bilangan anda menonton televisyen, adalah lebih baik anda kurangkan saluran yang anda langgan. Tahukah anda, orang yang produktif tidak banyak menonton televisyen?


11. Sedekah

Tahniah saya ucapkan jika anda telah memulakan tabungan setiap bulan. Tetapi jangan lupa juga dengan tabungan akhirat. Sesungguhnya itulah harta kita yang sebenarnya.

12. Jangan beli kerana harga murah

Ramai juga yang mudah terpedaya dengan harga murah yang dipaparkan pada sesuatu barang. Walau murah macam mana sekalipun, jika ianya bukan satu keperluan, lupakan sahaja.


13. Tukar hobi

Jika hobi anda memerlukan perbelanjaan yang tinggi, lebih baik anda tukar kepada hobi yang lebih murah ataupun percuma. 


14. Didik Pasangan

Jika anda sudah berkahwin, ajak suami atau isteri anda sama-sama dalam merancang dan mengawal perbelanjaan. Penjimatan tidak akan berkesan sekiranya hanya sebelah pihak yang terlibat. 


15. Tambah pendapatan

Ada baiknya juga anda mencari pendapatan tambahan untuk menampung perbelanjaan dan menambahkan tabungan dan pelaburan. Jika anda ada hobi, jadikan hobi anda sebagai medan untuk mencari pendapatan tambahan. Sebagai contoh, hobi saya adalah menulis, jadi pada masa lapang saya suka menulis blog dan dalam masa yang sama mendapat pendapatan tambahan daripada blog saya. 

Inilah antara perkara-perkara yang kita boleh lakukan untuk berjimat cermat. Pada yang belum mulakan, jadikan tahun baru sebagai medan permulaan. Bagi yang telah mulakan, teruskan perjuangan untuk mencapai kebebebasan kewangan yang diidam-idamkan.

Terima kasih kerana membaca Cara Jimat Duit Tahun 2017. Jangan lupa untuk like Facebook Wikicara.org, Follow Instagram dan juga Subscribe Youtube Channel saya. Sila berikan komen anda berkenaan artikel ini di ruangan komen ye.

2 ulasan:

  1. Kad kredit berhantu bagi yang tak berdisiplin. Saya sudah guntingnya alhamdulillah. Tahun 2017 saya sudah tetapkan beberapa objektif kewangan saya dengan harapan ianya berjaya di capai. InsyaALLAH

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tahniah tuan kerana telah bertindak awal untuk perancangan kewangan yang lebih baik :-)

      Padam

Dikuasakan oleh Blogger.