Cara Mengecas Telefon Pintar Yang Betul


Apakah salah satu penyebab utama seseorang terpaksa membeli telefon pintar baru? Tidak lain adalah disebabkan oleh masalah bateri telefon yang rosak. Bateri adalah jantung bagi sesebuah telefon pintar. Jika rosak bateri, maka secanggih mana atau dari jenama apa sekalipun ianya sudah tidak berguna lagi. Untuk mengelakkan bateri telefon pintar cepat rosak, cara mengecas telefon perlulah dilakukan dengan betul.

Telefon pintar yang mempunyai kapasiti bateri yang tinggi tidak menjamin telefon tersebut mempunyai masa penggunaan yang paling lama berbanding dengan telefon lain. Ini kerana kebiasaannya, telefon yang mempunyai kapasiti bateri yang tinggi mempunyai perisian yang turut memerlukan penggunaan bateri yang tinggi.

Artikel kali ini akan membincangkan 9 cara mengecas yang betul dan seterusnya membantu memanjangkan jangkahayat bateri telefon pintar anda.


1. Gunakan Pengecas Original

Sebaik-baiknya, gunakan pengecas yang didatangkan bersama telefon pintar di dalam kotak. Ini kerana pengecas tersebut akan membekalkan aliran arus elektrik yang paling tepat yang diperlukan oleh telefon pintar tersebut. Pengecas tidak original mungkin mempunyai aliran elektrik yang tidak sesuai dengan telefon pintar dan ini akan menyebabkan bateri cepat rosak.

2. Jangan Guna Semasa Sedang Dicas

Ini biasa dilakukan oleh mereka yang suka bermain game di telefon pintar. Apabila bateri hampir habis, mereka akan sambungkan telefon pintar kepada pengecas atau power bank dan teruskan permainan. Ini akan menyebabkan bateri mudah panas dan juga boleh merosakkan bateri telefon pintar anda. Sebaiknya, biarkan bateri berehat tidak digunakan semasa ianya dicas.


3. Jangan Biarkan Sampai Kosong

Bila masa terbaik untuk mengecas bateri telefon pintar? Apabila bateri telefon pintar tinggal 20%, sepatutnya ianya sudah boleh dicas semula. Jangan amalkan tunggu sehingga bateri terlalu rendah atau sehingga telefon mati baru nak cas kerana ianya akan menyebabkan bateri cepat rosak. 

4. Jangan Terlalu Penuh

Sebaliknya, jangan mengisi bateri terlalu penuh. Kebanyakan laman web teknologi mencadangkan bateri telefon pintar perlulah diisi sehingga 80% sahaja. Bateri hanya perlu dipenuhkan sehingga 100% sebulan sekali sahaja sebagai proses kalibrasi bateri tersebut.

5. Jangan Cas Sepanjang Malam

Ada juga tabiat pengguna yang suka cas telefon pintar sebelum tidur dan cabut pengecas semasa bangun tidur waktu pagi. Kebanyakan telefon pintar sekarang mempunyai sistem yang memberhentikan pengecasan selepas bateri penuh. Tetapi, pengecasan yang terlalu lama boleh menyebabkan telefon pintar itu sendiri menjadi panas.

6. Buka Casing Semasa Mengecas

Semasa bateri dicas, pastinya telefon pintar kita akan menjadi sedikit panas. Itu adalah perkara yang normal. Untuk mengelakkan daripada telefon pintar menjadi lebih panas, buka casing telefon tersebut untuk membenarkan suhu terbebas dengan lebih mudah. Suhu yang tinggi boleh merosakkan bateri telefon pintar anda.
  

7. Beli Power Bank Yang Baik

Powerbank adalah rakan baik telefon pintar. Pemilihan power bank yang betul juga mampu memberi kesan kepada bateri. Pilih power bank yang membekalkan arus sama seperti yang diperlukan oleh bateri. Power bank yang baik juga mempunyai kebolehan untuk memutuskan bekalan apabila bateri telah penuh.

8. Guna arus 1A

Jika anda perasan, pengecas dan juga power bank terdiri daripada 2 jenis. Ada yang membekalkan arus dengan 1A atau 2A. Penggunaan 2A akan menyebabkan bateri dicas dengan lebih cepat. Tetapi dalam masa yang sama ia dapat mengurangkan jangka hayat bateri tersebut. Sebaiknya gunakan pengecas dengan arus 1A sahaja. Sedikit perlahan tetapi lebih selamat untuk jangkahayat bateri anda.

9. Baca Manual

Berapa ramai yang baca manual yang didatangkan bersama telefon pintar? Kebanyakan dari kita tak pernah baca pun manual yang diberikan. Sebenarnya banyak maklumat yang disampaikan dalam buku manual tersebut termasuk tentang cara mengecas yang betul. 

Satu lagi soalan yang popular. Perlu atau tak untuk cas telefon pintar baru sehingga 8 jam?

Jika anda membeli telefon pintar 5-6 tahun lepas, nasihat ini mungkin masih boleh dipakai. Kenapa? Ianya sebenarnya berkaitan dengan jenis bateri yang digunakan oleh telefon pintar. Jika telefon pintar anda menggunakan bateri jenis Nikel-Kadmium (Ni-Cad), nasihat untuk cas sehingga 8jam adalah terpakai. 

Tetapi hampir semua telefon pintar kini dilengkapi dengan bateri jenis Lithium-Ion (Li-On). Jadi anda tidak perlu lagi untuk mengecas telefon anda sehingga 8 jam. 

Selain daripada itu, kebanyakan telefon pintar juga dilengkapi dengan sistem pemutus bekalan apabila kapisiti bateri telah penuh. Ini bermakna tiada guna pun anda cas sehingga 8 jam sedangkan bateri telah penuh hanya dalam masa 3 jam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Back To Top