Cara Melaksanakan Ibadah Aqiqah dan Hukum Aqiqah. Salah satu daripada cara menyambut kelahiran bayi adalah dengan melaksanakan ibadah aqiqah.
Imam Ibnu Qayyim dalam kitabnya Tuhfatul Maudud mengatakan bahawa Imam Jauhari berkata, “Aqiqah ialah menyembelih haiwan pada hari ketujuh selepas kelahiran bayi dan mencukur rambutnya.” Secara umumnya, aqiqah adalah penyembelihan ternakan seperti kambing, unta, biri-biri, kibas atau binatang ternakan lain untuk anak yang baru dilahirkan.
Hukum Aqiqah
Imam Syafie dan jumhur ulama berpendapat bahawa hukum aqiqah adalah sunat muakad. Sunat muakad merupakan ibadah sunat yang amat dituntut dalam Islam, bahkan Nabi Muhammad SAW juga tidak pernah meninggalkan ibadah sunat ini.
“Tiap-tiap anak itu tertebus (terpelihara daripada kemudaratan dan kemungkaran) dengan aqiqahnya, disembelih haiwan untuknya pada hari ketujuh, dicukur kepalanya dan diberi nama.” (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi dan Ibnu Majah)
Hukum melaksanakan aqiqah untuk anak yang baru dilahirkan adalah sunat dan sangat digalakkan dalam Islam. Ibu bapa disunatkan melaksanakannya untuk anak yang baru dikurniakan sekiranya ada kemampuan untuk menghidupkan sunah Rasulullah SAW ini.
Tetapi sekiranya seseorang itu bernazar untuk melaksanakan aqiqah, hukum aqiqah ini akan menjadi wajib.
Binatang Aqiqah
Aqiqah merupakan ibadah sunat yang dituntut mengikut kadar dan masa yang tertentu, namun terdapat kelonggaran bagi kadar dan masa pelaksanaannya. Haiwan untuk pelaksanaan ibadah aqiqah perlu memenuhi syarat-syarat yang serupa dengan haiwan-haiwan untuk melaksanakan ibadah korban.
Haiwan-haiwan yang dipilih untuk melaksanakan ibadah aqiqah hendaklah terdiri daripada haiwan ternakan dalam keadaan sihat, tidak cacat, tidak buta, tidak bunting dan tidak terlalu kurus.
Aqiqah Anak Perempuan dan Aqiqah Anak Lelaki
Kadar afdal bagi ibadah aqiqah ini adalah dua ekor kambing bagi anak lelaki, manakala bagi anak perempuan memadai dengan seekor kambing sahaja.
Walau bagaimanapun kadar ini tidaklah menjadi kemestian dan kewajipan bagi ibu bapa untuk dilaksanakan. Ibadah ini juga memadai dilakukan dengan menyembelih seekor kambing bagi anak lelaki sekiranya kurang berkemampuan.
Ini kerana Nabi Muhammad SAW pernah beraqiqah dengan seekor kibas untuk setiap seorang cucunda baginda, Hasan dan Husin.
Bahagian Lembu Sebagai Aqiqah
Selain itu, ibadah aqiqah ini sah dilakukan dengan bahagian lembu yang dikongsi dengan tujuh bahagian. Begitu juga dengan haiwan lain seperti kibas, kerbau dan unta. Selain itu, kesemua bahagian lembu, kerbau atau unta ini sah dikongsi dengan ibadah korban.
Hal ini sesuai dengan hadis Rasulullah SAW yang menjelaskan bahawa sah hukumnya apabila aqiqah dilaksanakan dengan bahagian lembu. Ia sama seperti korban sama ada hendak mengaqiqahkan semuanya atau mengaqiqahkan separuh sahaja, manakala yang separuh lagi diniat korban.
Waktu Terbaik Melaksanakan Ibadah Aqiqah
Masa terbaik untuk melaksanakan aqiqah adalah pada hari ketujuh selepas kelahiran bayi. Jika tidak dapat dilaksanakan pada hari ketujuh itu, maka boleh dilakukan pada hari keempat belas. Jika tidak dapat juga, maka lakukanlah pada hari kedua puluh satu.
Sekiranya pada hari-hari tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana tidak berkemampuan, maka penyembelihan boleh dilakukan pada hari-hari lain. Tiada had umur yang spesifik bagi individu melakukan ibadah aqiqah.
Walau bagaimanapun, mengikut pandangan Dr. Wahbah az-Zuhaili di dalam kitabnya Fiqh al-Islami Wa Adilatuhu, aqiqah tidak dikhususkan kepada anak yang masih kecil, ibu bapa boleh juga melaksanakan aqiqah anaknya walaupun selepas anak itu sudah baligh kerana tiada tempoh akhir bagi ibadah aqiqah.
Bagi individu yang sudah baligh tetapi dirinya sendiri masih belum melakukan ibadah aqiqah, tidak menjadi masalah sekiranya dia ingin melaksanakan aqiqah untuk dirinya sendiri.
Perbezaan Aqiqah dan Korban
Terdapat beberapa perbezaan antara aqiqah dengan korban. Antaranya adalah:
- Pelaksanaan aqiqah dituntut sekali dalam seumur hidup, manakala pelaksanaan ibadah korban disunatkan pada setiap tahun, iaitu pada Hari Raya Haji.
- Aqiqah adalah ibadah yang boleh dilakukan pada bilabila masa, manakala ibadah korban adalah ibadah sunat yang telah ditentukan masanya, iaitu pada Hari Tasyrik iaitu pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
- Daging sembelihan aqiqah sunat diagihkan setelah dimasak, adapun daging sembelihan korban pula sunat diagihkan dalam keadaan mentah.
- Tidak digalakkan mematahkan tulang haiwan sembelihan aqiqah, sebaliknya haiwan sembelihan korban tidak dilarang.
- Ibadah aqiqah ini adalah tanggungjawab ibu bapa setelah dikurniakan cahaya mata. Ia khusus untuk si anak, manakala ibadah korban pula adalah ibadah yang disunatkan kepada seluruh umat Islam yang mana mengambil kira erti pengorbanan setelah mendapat rezeki dan tidak khusus kepada peringkat umur.
- Sunat menghadiahkan kaki kanan haiwan sembelihan aqiqah kepada bidan yang menyambut kelahiran, berbeza dengan korban, tidak disunatkan demikian
Pembahagian Daging Aqiqah
Daging binatang aqiqah digalakkan untuk dimasak terlebih dahulu dengan sedikit rasa manis sebelum ianya disedekahkan. Ini termasuk juga untuk aqiqah nazar.
Setelah dimasak, barulah daging itu diberikan makan kepada fakir miskin dan orang yang layak menerima sedekah, sama ada dengan dihantar masakan itu ke rumah mereka atau menjemput mereka hadir makan di rumah orang yang melaksanakan aqiqah.
Namun, lebih afdal sekiranya masakan tersebut dihantar ke rumah-rumah orang fakir miskin. Inilah salah satu perbezaan yang dapat dilihat dari segi pembahagian daging korban dan aqiqah.
Sunat bagi orang yang beraqiqah memakan sebahagian kecil daripada daging binatang yang diaqiqahkan, selagi mana aqiqahnya itu bukan aqiqah wajib (aqiqah nazar) atau aqiqah kerana wasiat. Dalam hal memakan, menyedekah dan menghadiahkan daging aqiqah tersebut, sama keadaannya dengan korban.
Antara perkara sunat aqiqah adalah, semasa memotong daging aqiqah, disunatkan supaya tidak mematahkan atau memecahkan tulang binatang aqiqah itu, bahkan disunatkan supaya memotong dan mengasingkan tulang-tulang itu mengikut sendi-sendinya.
Bahagian daging aqiqah yang diagihkan kepada orang Islam dipanggil sedekah, manakala bahagian yang diberikan kepada orang bukan Islam pula dipanggil hadiah.
Antara syarat sah aqiqah ialah:
- Berniat aqiqah ketika menyembelih.
- Binatang ternakan berkaki empat iaitu kambing, biribiri, kibas, lembu, kerbau dan unta.
- Memenuhi syarat-syarat sembelihan.
- Tidak terdapat kecacatan pada binatang tersebut, sama ada kecacatan luaran dan dalaman.
- Disembelih pada waktunya, iaitu pada hari ketujuh selepas kelahiran anak atau pada bila-bila masa sebelum anak tersebut baligh. Setelah baligh menjadi tanggungjawab anak itu untuk mengaqiqahkan dirinya sendiri.
- Binatang yang hendak disembelih sudah cukup umur.
Kenapa perlu melakukan aqiqah?
Melaksanakan aqiqah adalah salah satu daripada tanda kesyukuran setelah dianugerahkan anak. Anak merupakan rezeki dan penyambung keturunan di muka bumi. Maka haruslah kita menunjukkan rasa syukur apabila telah dikurniakan anak.
Ibadah aqiqah juga menyemai amalan bersedekah. Ia sesuai dengan maksud hadis yang berbunyi: “Apabila matinya anak Adam itu terputuslah baginya segala amalan kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa daripada anak yang soleh.” (Riwayat Muslim)
Kelebihan-kelebihan lain aqiqah juga merangkumi:
- Apabila seseorang anak itu mati dalam keadaan belum diaqiqahkan lagi, maka ia tidak dapat mensyafaatkan ibu bapanya di akhirat nanti.
- Sebagai mengikuti sunah Rasulullah SAW, iaitu sunat muakad yang mana ibadah sunat yang amat dituntut dan tidak pernah ditinggalkan oleh Nabi SAW.
- Mengukuhkan semangat persaudaraan dalam masyarakat apabila bersama-sama menikmati kenduri dan meningkatkan amalan gotong-royong dalam masyarakat.
- Membuang sifat yang tidak elok dalam diri seperti kedekut, bakhil dan mementingkan diri sendiri.
- Memulakan kehidupan seorang bayi dengan amalan yang baik supaya anak-anak sentiasa diiringi dengan segala kebaikan di dunia dan di akhirat.
- Membiasakan amalan berkorban bagi ibu bapa. Sesungguhnya aqiqah ini mengajar ibu bapa tentang amalan berkorban, iaitu mengorbankan sedikit harta yang ada sebagai tanda kesyukuran terhadap kurniaan Ilahi.
- Ibadah aqiqah dapat menenangkan jiwa dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ia merupakan bentuk taqarrub (pendekatan diri) kepada Allah SWT, sekaligus mewujudkan rasa syukur atas kurnia yang dianugerahkan oleh Allah.
- Aqiqah sebagai saranan menzahirkan rasa gembira dalam melaksanakan syariat Islam dan bertambahnya keturunan Mukmin yang akan memperbanyak umat Rasulullah SAW pada hari kiamat kelak.
Melaksanakan Aqiqah Kini Lebih Mudah
Selain daripada masalah kewangan, masalah yang sering dihadapi oleh orang yang nak melaksanakan ibadah korban adalah masalah tiada kesempatan masa untuk melaksanakan ibadah aqiqah.
Tetapi kini banyak syarikat yang memberikan perkhidmatan melaksanakan ibadah aqiqah secara online. Kita hanya perlu membuat bayaran untuk 1 bahagian lembu atau pun kambing untuk diaqiqahkan atas nama anak kita.
Cara terbaik untuk melaksanakan aqiqah untuk anak adalah dengan membuat persediaan dan juga simpanan bermula sejak isteri disahkan mengandung lagi. Ini akan memudahkan kita untuk melaksanakan ibadah aqiqah sendiri ataupun aqiqah secara online apabila anak tersebut dilahirkan nanti.
terima kasih untuk penerangan yang ringkas ini..
BalasPadamsama-sama. semoga bermanfaat untuk semua :-)
Padam