Cara Menyambut Kelahiran Bayi. Tiada yang lebih berharga untuk sesebuah keluarga daripada dikurniakan anak-anak yang soleh dan solehah. Setiap bayi yang lahir adalah dalam keadaan fitrah dan ibu bapanyalah yang membentuk bayi tersebut sejak lahir lagi. Malah sebenarnya pendidikan patut bermula sejak ketika ibu hamil lagi. Oleh kerana tidak lama lagi saya akan menyambut kelahiran anak saya yang ke dua (insyaAllah), saya nak kongsi dan buat ulangkaji berkenaan cara menyambut kelahiran bayi.Â
Secara asasnya permulaan kehidupan seorang anak perlulah disambut dengan sebaik mungkin mengikut panduan yang telah ditetapkan oleh syarak. Walaupun perkara-perkara ini bukanlah sesuatu yang wajib untuk dilakukan, tetapi sedikit sebanyak saya yakin ada impaknya terhadap perkembangan dan kehidupan anak kita.
Apa yang saya akan kongsikan ini lebih kepada dari perspektif seorang bapa yang bakal menyambut kelahiran anak mereka. Ini kerana bapa merupakan pemimpin dan pelindung kepada sesebuah keluarga.
Antara perkara yang sunat dilakukan semasa menyambut kelahiran bayi adalah:Â
1. Sujud Syukur
Sujud syukur biasanya dilakukan ketika mendapat sesuatu nikmat dan juga ketika terbebas daripada bala bencana. Cara melakukannya juga adalah mudah. Sesiapa yang ingin melakukan sujud syukur disunatkan dalam keadaan bersuci dan menghadap kiblat. Boleh dilakukan di mana-mana tempat yang bersih.Â
Cara melaksanakannya adalah dengan bertakbir dan terus bersujud sekali sahaja (sepertimana sujud tilawah). Bacaan semasa sujud adalah sama seperti solat biasa dan boleh ditambahkan dengan luahan syukur dengan nikmat anak yang diberikan (di dalam hati). Kemudian duduk dan selesai sudah sujud syukur (tidak disunatkan salam dan tasyahud). Sujud syukur seelok-eloknya dilakukan sejurus menyambut kelahiran bayi dan tidak terjarak terlalu lama.Â
2. Azan di telinga kanan
Azan bukan sahaja digunakan untuk menandakan masuknya waktu solat, malah ada banyak lagi 'kegunaan' azan. Salah satunya adalah disunatkan juga untuk melaungkan azan dengan perlahan pada telinga sebelah kanan bayi sejurus menyambut kelahiran bayi.Â
Azan yang dibacakan adalah sama sepertimana azan yang dikumandangkan semasa masuk waktu solat tetapi tidak perlu dilaungkan dengan kuat. Cukup sekadar didengari oleh anak kita yang baru lahir. Ini adalah penting untuk memastikan perkara pertama yang didengari oleh anak kita adalah kalimah-kalimah memuji Allah dan semoga dirinya sentiasa dilindungi daripada godaan dan gangguan syaitan.Â
3. Iqamah di telinga kiri
Pada telinga sebelah kiri bayi, bacakan pula dengan iqamah. Iqamah yang dibacakan adalah sama sepertimana iqamah sebelum solat.Â
4. Tahnik
Tahnik adalah perbuatan memasukkan manisan ke dalam mulut bayi. Perkara ini juga disunatkan dilakukan oleh bapa bayi atau boleh meminta para ulama untuk melakukan bagi pihak kita. Untuk info lanjut berkaitan cara tahnikkan bayi yang baru lahir, boleh baca artikel khas untuk cara tahnikkan bayi.
5. Berikan nama yang baik
Nama anak sunat diberikan dan diisytiharkan pada hari ke 7 kelahiran bayi. Nama inilah yang akan digunakan sepanjang hidup anak kita. Jadi pemilihan nama hendaklah sesuatu yang baik maksudnya dan mudah disebut. Anda boleh baca perkongsian penuh artikel cara memilih nama anak untuk penjelasan yang lebih teliti.
6. Mencukur rambut bayi
Mencukur rambut bayi juga adalah sesuatu yang sunat dilakukan pada hari ke 7 kelahiran bayi. Tidak kira sama ada bayi kita lelaki atau perempuan, kedua-duanya adalah disunatkan untuk bercukur. Kita boleh cukur rambut anak kita sendiri atau boleh meminta orang lain cukurkan. Rambut yang dicukur kemudian disunatkan ditimbang dan dinilaikan berat rambut tersebut dengan nilaian emas semasa. Duit tersebut kemudiannya disedekahkan kepada fakir miskin yang ada disekitar anda.
7. Aqiqah
Aqiqah juga sunat dilakukan pada hari ke 7 kelahiran. Jika tidak sempat dilakukan pada hari ke 7, boleh dilakukan pada hari ke 14 atau ke 21. Jika masih tidak sempat atau masih belum berkemampuan, aqiqah boleh dilakukan sebelum anak kita baligh. Aqiqah bagi bayi lelaki seelok-eloknya adalah 2 ekor kambing (atau 2 bahagian lembu).Â
Tetapi jika tidak mampu juga, dibolehkan dengan hanya seekor kambing. Bagi bayi perempuan, aqiqah adalah dengan seekor kambing (atau satu bahagian lembu).
Itulah serba sedikit cara menyambut kelahiran bayi. Walaupun semua perkara tersebut adalah sunat dan kita tidak berdosa pun jika tidak melakukannya, tetapi yakinlah bahawa setiap yang diajarkan oleh Rasullullah S.A.W itu ada hikmahnya walaupun jika ianya tidak dapat difikirkan dengan logik akal.Â
Doakan juga isteri saya dapat melahirkan anak dengan mudah, lancar dan selamat. Sekiranya ada sebarang kekurangan berkenaan artikel ini, anda bolehlah tambahkan di ruangan komen.