Baru beberapa hari lepas saya ada menulis berkenaan cara penggunaan ubat di kalangan kanak-kanak. Tiba-tiba hari ini ada berita sedih berkenaan kanak-kanak yang meninggal disebabkan salah makan ubat ahli keluarga kanak-kanak tersebut. Berita ini membuatkan saya rasa terpanggil untuk berkongsi cara untuk menyimpan ubat dengan betul dan selamat.
Cara simpan ubat dengan betul adalah penting untuk memastikan ubat kita sentiasa berada dalam keadaan baik. Menyimpan ubat di tempat yang tidak sesuai boleh menyebabkan keberkesanan ubat berkurangan dan seterusnya menyebabkan ubat menjadi rosak.
Cara menyimpan ubat dengan selamat pula merujuk kepada penyimpanan ubat untuk memastikan kejadian tersalah makan ubat atau untuk mengelakkan ubat dimakan oleh kanak-kanak. Ubat biasanya terdiri daripada pelbagai bentuk dan warna yang mungkin menarik minat kanak-kanak. Walaupun asal bentuk dan warna tersebut bertujuan untuk identifikasi ubat, tetapi bagi kanak-kanak ianya tidak lebih dari daya penarik untuk mereka cuba.
Pengetahuan berkenaan penyimpanan ubat-ubatan dengan betul dan selamat bukanlah satu perkara yang baru. Tetapi saya rasa perkara ini perlu sentiasa diperingatkan kepada orang ramai untuk memastikan pengguna sentiasa peka dan seterusnya menjadikan amalan untuk menyimpan ubat dengan betul dan selamat.Â
Oleh yang demikian, saya ingin mengingatkan semula kepada semua cara penyimpanan ubat yang selamat untuk memastikan ubat-ubatan tidak mudah diakses oleh kanak-kanak.
- Simpan ubat-ubatan di tempat yang tidak boleh dilihat oleh kanak-kanak. Sesetengah ubat mempunyai bungkusan, bentuk dan warna yang mungkin boleh menarik perhatian kanak-kanak.
- Gunakan kabinet, peti atau laci yang berkunci. Namun begitu, hati-hati dengan semangat ingin tahu kanak-kanak. Mereka mungkin curiga dan ingin merasa apa yang anda sorok.
- Simpan ubat di dalam bekas asal. Pastikan label ubat jelas kelihatan.
- Simpan ubat di dalam bekas atau bungkusan yang sukar untuk dibuka oleh kanak-kanak. Tidak semua jenis ubat dibekalkan dalam botol yang mempunyai penutup child-resistant.
- Elakkan dari menipu kanak-kanak ketika memberi ubat dengan mengatakan ia adalah gula-gula atau vitamin. Kanak-kanak mungkin menyangka ubat anda juga adalah gula-gula yang boleh dimakan.
- Terangkan kepada anak tentang ubat. Anak yang berumur 2 tahun ke atas sudah boleh memahami.
- Jangan simpan ubatan anda bersama dengan tempat simpanan makanan, samada di dalam peti sejuk, rak atau kabinet.
Penyimpanan ubat di tempat yang selamat juga perlu selari dengan penyimpanan ubat dengan cara yang betul. Berikut adalah cara penyimpanan ubat yang betul:
- SIMPAN ubat di tempat yang selamat dan dikhaskan supaya mudah dicari.
- Menyimpan ubat di tempat yang dikhaskan akan memudahkan anda mencari ubat tersebut jika berlaku sebarang kecemasan. Selain itu, ia juga memudahkan anda untuk mengingati tempat ubat tersebut disimpan. Cara ini dapat meningkatkan kepatuhan anda untuk mengambil ubat pada waktu yang telah ditetapkan.
- SIMPAN ubat secara berasingan mengikut jenis ubat seperti ubat makan (tablet, sirap dan sebagainya). Asingkan antara ubat untuk dimakan dan juga ubat kegunaan luar (krim, salap, ubat titis mata dan sebagainya) untuk mengelakkan termakan ubat yang tidak boleh dimakan.
- Mengasingkan ubat-ubatan mengikut jenis ubat dapat membantu mengurangkan kekeliruan. Mencampur aduk ubat-ubatan yang berlainan jenis boleh menyebabkan kesilapan pengambilan ubat dan juga tindak balas fizikal di antara ubat-ubatan tersebut.Â
- SIMPAN ubat mengikut suhu yang dicadangkan sepertimana yang tercatat pada botol, kotak atau sisipan ubat anda. Tempat yang sesuai untuk simpanan mengikut suhu adalah: Dalam ruang tengah peti sejuk : 2-8°C. (Contoh: insulin, ubat titis mata, suspensi antibiotik yang telah dibancuh), Tempat dingin bilik berhawa dingin : 8-15°C (Contoh: kapsul gel lembut), Suhu bilik : 15-30°C (Contoh: ubat tablet dan kapsul)
- SIMPAN ubat dalam bekas yang asal, jangan tanggalkan label ubat asal yang mengandungi maklumat seperti nama ubat, kekuatan ubat, cara pengambilan, kaedah penyimpanan dan tarikh luput.
- JANGAN simpan ubat anda di dalam kereta dalam jangkamasa yang lama. Ini adalah kerana suhu dalam kereta biasanya adalah sangat panas yang dapat merosakkan ubat.
- JANGAN simpan ubat anda di tempat yang terdedah kepada cahaya matahari, suhu tinggi dan kawasan yang lembap seperti di tepi tingkap, di atas peti sejuk dan di dalam bilik mandi.
- JANGAN simpan ubat di dalam peti sejuk kecuali diarahkan berbuat demikian (sila rujuk kepada sisip sungkusan ubat).
- JANGAN simpan ubat yang telah tamat tarikh luput, rosak atau hilang labelnya.
Itulah cara untuk menyimpan ubat dengan betul dan selamat. Penyimpanan ubat yang betul dapat menyelamatkan orang di sekeliling kita daripada tersalah makan ubat. Sekiranya terasa ragu-ragu tentang sesuatu ubat, bertanyalah kepada doktor atau ahli farmasi yang berdekata anda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan