Cara Penggunaan Ubat Di Kalangan Kanak-Kanak


Penggunaan Ubat yang betul amat penting terutamanya jika melibatkan kanak-kanak. Sebagai ibu bapa, kita harus ambil tahu tentang tatacara penggunaan ubat yang betul untuk anak-anak kita untuk memastikan penyakit anak kita dapat dikawal atau disembuhkan. Saya tertarik dengan satu temubual dalam program Assalamualaikum di TV Al Hijrah pada 12 November 2016 berkaitan tajuk "Penggunaan Ubat di Kalangan Kanak-Kanak".

Berikut adalah kesimpulan yang saya dapat daripada siaran tersebut:

  • Penggunaan ubat batuk dan selsema di kalangan kanak-kanak berumur bawah dua tahun adalah tidak digalakkan. Hampir semua ubat batuk dan selsema adalah tidak sesuai untuk kanak-kanak.  
  • Tidak semua ubat yang selamat digunakan oleh orang dewasa boleh digunakan untuk kanak-kanak. Kita perlu faham bahawa metabolisma kanak-kanak dan orang dewasa adalah berbeza, oleh itu penggunaan ubat di kalangan kanak-kanak perlu ubat dan dos yang sesuai.
  • Sekiranya ubat batuk dan selsema digunakan untuk kanak-kanak di bawah 2 tahun, ia boleh menyebabkan sawan, gangguan pernafasan, peningkatan kadar degupan jantung dan kematian pada kanak-kanak.
  • Batuk dan selsema biasa akan sembuh sendiri tanpa rawatan dalam masa 5-7 hari. Penggunaan ubat batuk dan selsema tidak dapat mempercepatkan proses penyembuhan.
  • Pastikan anak anda mendapat bekalan cecair secukupnya. Gunakan titisan garam isotonik untuk mencairkan hingus dan mukus. Sedut hingus dari hidung menggunakan penyedut yang boleh dibeli di farmasi.
  • Gunakan alat penyukat yang sesuai seperti picagari sewaktu memberi apa-apa jenis ubat-ubatan kepada bayi dan kanak-kanak. Ini adalah untuk memastikan dos yang diberikan kepada anak kita adalah tepat.
  • Sekiranya bayi anda demam, dapatkan pemeriksaan dari doktor dengan segera. Suhu yang tinggi di kalangan bayi boleh menyebabkan berlaku komplikasi yang lebih serius.
  • Ubat menurunkan suhu seperti paracetamol adalah selamat digunakan untuk bayi. Ikut arahan berkenaan dos dan cara penggunaan seperti yang diterangkan oleh doktor atau ahli farmasi.
  • Sekiranya anak anda memerlukan vitamin tambahan, dapatkan produk yang sesuai dengan umur anak anda.
  • Sentiasa ambil tahun dan peka dengan label ubat. Ubat yang tidak sesuai untuk kanak-kanak biasanya akan tercatat pada label ubat tersebut. Sekiranya masih ragu-ragu, sila tanya doktor atau ahli farmasi yang berdekatan dengan anda.


Sumber : Fahmi Hassan (F. H. Abad)


Sekiranya anda berasa was-was tentang cara penggunaan ubat untuk anak-anak anda, pastikan anda bertanya kepada ahlinya iaitu doktor atau ahli farmasi. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Back To Top