Cara Menghayati Bulan Ramadhan Al-Mubarak

Cara Menghayati Bulan Ramadhan Al-Mubarak

Cara Menghayati Bulan Ramadhan Al-Mubarak. Bulan Ramadhan adalah bulan yang dinantikan oleh semua umat Islam. Tetapi sejauh manakah kita sebagai umat Islam telah bersedia untuk menyambut bulan Ramadhan? Apakah persediaan yang patut kita buat untuk menyambut Ramadhan?

Persoalan-persoalan ini adalah antara yang bermain difikiran saya. Saya masih ingat satu ceramah agama yang menyatakan bahawa bulan Ramadhan adalah bulan 'peperiksaan' yang mana kita akan diberikan ujian dan semua orang akan bersungguh-sungguh menghadapinya. Tetapi janganlah Ramadhan itu dianggap sepertimana peperiksaan di sekolah ; selepas peperiksaan, pelajaran dilupakan. Pelajaran Ramadhan hendaklah diteruskan dan diamalkan sepanjang tahun dan setiap masa.

Ramadhan juga adalah pendidik diri bagi mereka yang ingin melakukan perubahan dalam diri. Mungkin daripada seorang perokok kepada tidak merokok, daripada seorang yang pemarah kepada penyabar dan lain-lain lagi perubahan yang kita inginkan.

Antara persediaan untuk menghadapi bulan Ramadhan adalah:

1. Doa

Kita hendaklah sentiasa berdoa untuk ditemukan dengan bulan Ramadhan kerana bulan Ramadhan adalah bulan yang paling 'untung' untuk setiap orang Islam. Semasa dalam bulan Ramadhan kita dikehendaki berdoa supaya bulan Ramadhan dapat kita hadapi dengan penuh keberkatan.

2. Bertaubat

Jika anda tercari-cari masa yang sesuai untuk berubah, bulan Ramadhan adalah bulan yang sesuai untuk anda mula berubah kepada yang lebih baik. Pohon keampunan daripada Allah dan mohon agar Ramadhan kali ini lebih baik daripada Ramadhan yang lepas.

3. Puasa Sunat

Biasakan puasa sunat pada bulan-bulan lain selain bulan Ramadhan supaya badan tidak terlalu terkejut apabila menghadapi bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan juga merupakan bulan untuk badan kita berehat setelah sepanjang tahun memproses pelbagai makanan.

4. Perbanyakkan baca Al Quran

Membaca al quran banyak faedahnya serta dapat menenangkan jiwa. Jadikan rutin harian sebelum bulan Ramadhan untuk membaca beberapa muka surat Al Quran sehari dan jika mampu, digandakan dalam bulan Ramadhan. Cara paling mudah untuk konsisten membaca Al Quran di bulan Ramadhan adalah dengan menetapkan matlamat dan masa untuk membaca Al Quran. Sebagai contoh, tetapkan masa selepas sahur selama 30 minit dan 30 minit selepas berbuka puasa untuk membaca Al Quran.


5. Mentadabbur Al Quran

Mentadabbur Al Quran adalah perkara yang paling penting dalam menhayati maksud sebenar apa yang terkandung di dalam Al Quran. Gunakan Al Quran yang disertakan dengan makna untuk memudahkan pemahaman kita tentang ayat-ayat yang dibaca.


6. Ilmu Puasa


Sebelum melaksanakan puasa Ramadhan, lengkapkan diri dengan hukum hakam puasa. Sentiasa peka dan mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang boleh membatalkan puasa. Sekarang ini banyak video kuliah atau buku hukum hakam puasa ada di pasaran. Dapatkan dan baca dengan teliti untuk menambahkan khusyuk semasa berpuasa.

Ensiklopedia Ramadhan


7. Jaga Pertuturan

Bulan Ramadhan semua syaitan diikat. Tetapi nafsu yang terdapat dalam diri manusia masih ada dan boleh mengganggu manusia dalam melakukan ibadah. Antara perkara yang perlu dijaga semasa berpuasa adalah mengawal perbuatan dan pertuturan kita. Biasakan lidah menyebut perkara yang baik dan zikrullah diluar bulan Ramadhan, insyaAllah semasa bulan Ramadhan, kita dapat mengelakkan diri daripada mengumpat atau mengatakan perkara-perkara yang tidak baik.

8. Solat Sunat Tarawikh & Solat Berjemaah

Ramai yang berpusu-pusu dalam melakukan solat sunat tarawikh. Tetapi kurang ramai yang berpusu-pusu untuk pergi solat 5 waktu secara berjemaah. Adalah baik jika bulan Ramadhan ini dijadikan medan perubahan untuk kita bersama-sama solat berjemaah di surau atau masjid dan melakukan solat sunat tarawikh di malam harinya.

9. Perbanyakkan Sedekah

Tidak kira sama ada sedekah dengan wang atau sedekah tanpa menggunakan wang, ianya adalah perkara yang sangat baik dilakukan diluar bulan Ramadhan dan digandakan ganjarannya dalam bulan Ramadhan.

10. Jamu Orang Berbuka

Orang yang menjamu orang lain berbuka akan mendapat pahala sama seperti orang yang berpuasa. Banyak masjid-masjid yang biasanya melakukan program berbuka, kita boleh menyumbang sama ada dengan wang ringgit atau dengan makanan supaya kita dapat menjamu orang berbuka.


11. Kemaafan

Memohon kemaafan adalah penting untuk menyucikan hati sebelum memasuki bulan Ramadhan. Disamping memohon kemaafan, kita juga hendaklah berlapang dada untuk memaafkan orang lain. 

Ok?

Itulah sebahagian senarai semak untuk kita lakukan sepanjang bulan untuk menghayati bulan Ramadhan. Semoga Ramadhan kali ini lebih baik daripada bulan Ramadhan yang terdahulu yang pernah kita lalui. 

Semoga Ramadhan kali ini menjadi titik tolak perubahan diri kita kepada yang lebih baik dan lebih dekat dengan Allah yang Maha Pencipta. 

Semoga kita keluar dari Ramadhan dengan mendapat kerahmatan, keampunan dan terlepas daripada seksaan Api Neraka.

Aminn..

Terima kasih kerana membaca Cara Menghayati Bulan Ramadhan Al-Mubarak.
Back To Top