Ada orang kata mengumpat tidak boleh dielakkan. Penyataan itu sebenarnya tidak tepat dan sepatutnya berbunyi begini. "Kita mesti mengelakkan diri dari mengumpat!". Saya juga percaya ramai yang tidak sedar bahawa mereka sebenarnya sedang mengumpat.
Kenapa saya tiba-tiba cerita berkaitan mengumpat? Tiada sebab khusus tetapi saya terfikir untuk tulis berkaitan perkara ini sebagai peringatan kepada diri saya sendiri.
Apa sebenarnya maksud mengumpat, memuji dan memfitnah?
Mengumpat adalah menceritakan sesuatu berkenaan orang lain tentang sesuatu yang tidak disukai oleh orang yang diumpat.
Memuji pula adalah menceritakan sesuatu tentang orang lain berkaitan perkara yang disukai oleh orang yang dipuji.
Memfitnah pula adalah menceritakan sesuatu yang tidak benar tentang orang lain terutamannya tentang sesuatu perkara yang tidak disukai oleh orang tersebut.
Perbuatan mengumpat adalah berdosa besar kerana ianya boleh memecah belahkan keluarga, masyarakat dan negara. Mengumpat juga diibaratkan seperti memakan daging saudara sendiri. Selain daripada itu, perbuatan mengumpat merupakan dosa antara manusia dengan manusia. Jadi, dosa mengumpat hanya dapat diampunkan sekiranya pengumpat meminta maaf dengan orang yang diumpat. Â
Di dalam zaman serba canggih ini, mengumpat boleh di kategorikan dalam dua bentuk.
- Mengumpat dengan ucapan
- Mengumpat dengan tulisan
Mengumpat dengan ucapan
Mengumpat dengan ucapan berlaku dalam perbualan seharian. Ia disebarkan dari mulut ke mulut, dari telinga ke telinga.Â
Mengumpat dengan perkataan
Wujudnya media social seperti Facebook dan Twitter serta sistem komunikasi seperti WhatsApp bukan sahaja dapat memudahkan jaringan antara individual, tetapi dalam masa sama ia boleh menjadi medium mengumpat yang lebih pantas berbanding mengumpat dengan ucapan.
Ok. Untuk mengelakkan diri daripada mengumpat, terdapat 7 perkara yang boleh dilakukan oleh setiap orang.
1. Kawal Pergaulan
Jarang sekali orang mengumpat jika sedang duduk bersendirian. Mengumpat biasanya dilakukan dalam satu kumpulan (tidak kira sama ada kumpulan realiti atau maya). Bagi mengelakkan diri daripada mengumpat, pilih kawan-kawan yang tidak mengumpat. Jauhkan diri daripada kumpulan yang kerap mengumpat. Sekiranya semasa perbualan bersama kawan-kawan, anda dapat rasakan ada perbualan yang menjurus kepada mengumpat, anda boleh tukar tajuk perbualan ataupun meninggalkan kumpulan tersebut dengan cara yang baik.
2. Bersangka baik
Dalam kebanyakan masa, mengumpat berlaku disebabkan prasangka yang kurang baik terhadap orang lain. Setkan dalam minda anda untuk sentiasa bersangka baik terhadap orang lain. Bersangka baik dapat menghapuskan perasaan ingin mengumpat dan memfitnah.Â
3. Tambah ilmu akhirat
Ilmu adalah segala-galanya dalam apa jua bidang. Begitu juga dengan ilmu akhirat. Jika diperhatikan, banyak amaran dalam Islam berkaitan buruknya mengumpat. Bagi yang mengetahui perkara ini pastinya akan berasa takut untuk mengumpat. Ketahui dosa dan balasan bagi orang yang suka mengumpat, pastinya kita akan rasa takut untuk mengumpat.
4. Muhasabah diri
Jika pernah terdetik dalam hati kita untuk menceritakan sesuatu tentang orang lain, perhatikan dulu keadaan diri kita. Adakah benar kita jauh lebih baik dari orang lain? Adakah kita tidak pernah melakukan sebarang kesalahan? Apakah perasaan anda apabila orang lain bercerita sesuatu yang buruk tentang anda? Soalan-soalan begini akan memberikan impak yang besar sebelum seseorang itu berani untuk mengumpat.
5. Banyakkan memuji
Saya percaya lebih ramai orang suka mengumpat daripada memuji orang lain. Basahkan lidah dengan memuji orang lain dengan ikhlas dapat membersihkan hati yang berkeladak dan menimbulkan aura positif dalam diri anda.
6. Berfikir sebelum cakap
Kadangkala, ucapan lebih pantas keluar daripada fikiran. Lebih tepat lagi, cakap tanpa berfikir. Sebaik-baiknya, tapis setiap ucapan yang akan keluar dari mulut kita dahulu sebelum dilafazkan. Bak kata peribahasa Melayu, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Kalau terlajak mengumpat, dosa hukumnya. Fikirkan dahulu sebelum bercakap seperti adakah ada orang yang akan tersinggung dengan ucapan kita? Baik dan buruknya setiap ucapan?
7. Kurangkan bercakap
Maksud kurangkan bercakap adalah hanya bercakap berkaitan perkara-perkara yang memberi manfaat bukannya bual-bual kosong. Kebanyakan mengumpat bermula dengan perbualan kosong dan akhirnya akan bercerita tentang orang lain dan mengumpat.Â
Ok?
Mengumpat ini memang mudah dan 'seronok' dilakukan. Tetapi ia sebenarnya tidak memberikan apa-apa faedah dan manfaat kepada orang lain. Malah boleh menyebabkan terputusnya silaturahim.Â
Elakkan guna ucapan ini.."aku bukan nak mengumpat..tapi..."
Ini adalah ayat yang kerap saya dengar apabila orang nak memulakan proses mengumpat. Jika anda dengar ucapan tersebut, cepat-cepatlah angkat kaki dari perbualan tersebut. Jika anda tidak beralih, anda juga dikira bersubahat sebagai seorang pengumpat - Berkawan dengan tukang besi bau besi, berkawan dengan penjual minyak wangi akan berbau wangi..
Sekadar peringatan untuk diri saya sendiri dan orang lain juga. Jika artikel ini bermanfaat sila share ye untuk peringatan bersama :-) Saya juga dengan rendah diri meminta maaf kepada sesiapa yang saya pernah mengumpat samasa ada secara sedar atau tidak..Â
Terima kasih kerana membaca Cara Mengelakkan Diri Daripada Mengumpat. Jangan lupa semak ucapan anda sebelum lafaz ;-)