Cara Menangani Anak Tantrum Secara Hikmah


Cara Menangani Anak Tantrum. Sebelum kita pergi lebih jauh, tahukah anda apa itu tantrum? Tantrum sebenarnya berasal dari bahasa inggeris yang memberi maksud kemarahan yang tidak terkawal yang berlaku pada kanak-kanak.


Dalam bahasa mudahnya adalah, keadaan di mana anak kita menangis dan mengamuk lebih daripada biasa. Tantrum ini biasanya berlaku di usia 2 hingga 4 tahun dan berkurangan apabila kanak-kanak tersebut semakin meningkat usia. Tantrum adalah hasil dari kemampuan yang tidak mencukupi dalam mengungkapkan keinginan “dalam bentuk kata-kata”. 


Bagaimana untuk menangani anak tantrum?

1. Jaga tuturkata

Bagi yang beragama islam, ucapkanlah istigfar sekiranya anak anda mengamuk dan buat perangai. Istighfar boleh meredakan kemarahan kita dan dalam masa sama membolehkan kita berfikir dengan lebih rasional. Berfikirlah secara positif bahawa anak yang tantrum itu adalah cara Allah ingin menguji kita dan juga menghapuskan dosa-dosa kita. Jangan sesekali menghamburkan perkataan yang tidak elok kepada anak-anak kerana ia mungkin akan menjadi ikutan anak-anak dan juga merupakan doa ibu bapa kepada anak-anak.

2. Bertenang dan bersabar

Ibu bapa hendaklah berfikir secara rasional dan sentiasa bertenang. Anak yang sedang tantrum ibarat api yang sedang mula membara. Jangan kendalikan anak dalam keadaan marah kerana "api melawan api" hanya akan menyebabkan api semakin besar. Ibu bapa hendaklah menjadi 'air yang menyejukkan keadaan. Fikirkan keadaan tersebut sebagai sesuatu yang 'normal'.

3. Tanya Kehendak Anak

Adakalanya anak kita tantrum atas sebab yang ibu bapa tidak ketahui. Anak-anak berumur 2 tahun ke atas biasanya sudah boleh bercakap dan faham soalan ibu bapa. Tanya anak anda apa yang mereka nak atau perlukan. Jika mereka tidak mahu cakap, minta mereka tunjukkan apa yang mereka mahukan. Dalam kebanyakan situasi, anak-anak akan tunjukkan apa yang mereka mahukan.  

4. Pujuk dengan hikmah

Fikirkan, pasti ada sesuatu yang menyebabkan anak kita berkelakuan begitu. Timbulkan rasa belas kasihan dalam hati semasa melihat anak anda menangis dan mengamuk. Dalam keadaan tertentu, anak tantrum dapat di tenangkan dengan pujukan dan pelukan daripada ibu bapa.

5. Alihkan Fokus

Anak kerap tantrum atau mengamuk ketika inginkan sesuatu terutamanya ketika kita membeli belah? Cuba alihkan fokus mereka kepada sesuatu yang lain. Seperti contoh, anak anda inginkan permainan, anda boleh suba alihkan perhatian mereka dengan mengajak mereka ke tempat lain atau dengan barang lain yang lebih bermanfaat seperti buku yang berwarna-warni.

6. Sedikit tegas

Adakalanya tantrum menjadi 'tabiat' anak kita ketika menginginkan sesuatu. Jika ini berlaku, kita perlu mula bertegas dengan pendirian kita. Jika barang yang diinginkan sememangnya tidak bermanfaat untuk anak kita, anda tidak perlu belikan dan berikan alasan kepada anak anda kenapa barang tersebut tidak baik untuk mereka. Mereka mungkin tidak dapat menerimanya untuk pertama kali, tetapi setelah beberapa kali, anak anda akan mula faham.

7. Ganjaran

Ada anak yang boleh menerima 'offer' daripada ibu bapa semasa mereka mengamuk. Sebagai contoh, anak kita inginkan permainan yang tidak berfaedah, offer anak kita sesuatu yang lebih berfaedah dan berikan alasan kita. 

8. Diamkan diri

Ada juga anak yang "tak makan saman" dengan pujukan ibu bapa. Jika itu berlaku anda boleh cuba biarkan sebentar ( dalam beberapa minit ) anak anda yang tantrum sebelum anda lakukan perkara-perkara di atas. Mendiamkan diri akan menunjukkan ketegasan ibu bapa dan juga dalam masa sama menguji tahap kesabaran ibu bapa.

9. Jangan Pukul

Sangat tidak digalakkan untuk menyakiti anak yang sedang tantrum. Lebih-lebih lagi jika anak anda masih kecil dan masih belum faham banyak perkara. Walaupun mungkin ianya berkesan untuk jangka masa pendek, tetapi bimbang kesannya untuk masa akan datang.

Ini hanyalah sebagai panduan kita bersama untuk menangani anak tantrum. Ibu dan bapa perlu kreatif dalam menghadapi perangai dan ragam anak yang pelbagai. Saya pasti setiap ibu bapa mempunyai cara tersendiri untuk menghadapi anak yang sedang mengamuk. 

Setiap kali saya melihat anak saya menangis atau mengamuk, saya membayangkan diri saya sendiri semasa saya kecil. Mungkin beginilah keadaan saya semasa saya kecil. Dari situ timbul rasa keinsafan dalam diri dan juga lebih memahami kehendak anak-anak. 

Ok?

Salah silap harap dimaafkan. Terima kasih kerana membaca Cara Menangani Anak Tantrum Secara Hikmah. Jika anda ada perkongsian lain cara menangani anak tantrum, boleh coretkan di ruangan komen :-)


Back To Top