Cara Blogger Menyambut Tahun Baru 2016

Menyambut Tahun Baru 2016

Bagaimanakah seorang blogger menyambut tahun baru 2016? Tahun 2015 bakal melabuhkan tirai dan tahun 2016 akan menjelang tiba. Sebagai blogger baru, tahun 2015 adalah tahun yang boleh saya anggap peningkatan dalam 'kerjaya' sebagai seorang blogger. Walaupun setakat ini saya belum menjana pendapatan ribuan ringgit, tetapi saya mula dapat rasa masa depan blogging dengan lebih jelas. Tetapi dalam masa sama saya sentiasa fokus tujuan utama adalah untuk berkongsi pelbagai cara dengan para pembaca. 

Antara kejayaan yang saya perolehi selama 6 bulan berblog secara aktif adalah:

1. Diterima oleh Google Adsense dan mendapat akaun penuh Google Adsense

Blog ini berusia lebih kurang 6 bulan. Tetapi 3 bulan pertama agak suam-suam kuku dan saya jarang update blog ini. Hanya apabila memasuki bulan September 2015 saya mula serius untuk berblog. Walaupun ini bukanlah kali pertama saya berblog, tetapi blog-blog saya yang lepas telah lama terbengkalai. Google Adsense bukanlah sesuatu yang baru saya kenali, tetapi dari dahulu lagi permohonan untuk mendapatkan akaun Google Adsense saya kerap ditolak. Dan ketika itu, Google Adsense tidak menerima blog dalam bahasa malaysia. 

Baca kisah saya dapat akaun penuh Google Adsense di sini.

Sejak September 2015 saya berusaha berterusan dan konsisten untuk mencapai matlamat untuk mendapatkan akaun Google Adsense saya dengan usaha sendiri. Akhirnya dalam bulan November 2015 saya telah mendapat akaun penuh Google Adsense. Walaupun saya mendapatnya dengan jalan yang susah kerana menulis secara konsisten hampir setiap hari selama 3 bulan, tetapi saya rasa puas dengan kejayaan tersebut.  

2. Menjana pendapatan melalui program affiliate Klikjer

Ramai blogger sudah menjana ribuan ringgit dengan program affiliate. Untuk permulaan, fokus saya bukanlah untuk menjana pendapatan dengan blog. Tetapi lebih kepada perkongsian pelbagai cara untuk melakukan sesuatu. Walaupun blog ini tidak mungkin akan jadi sehebat Wikipedia, paling tidak, blog ini merupakan nota peribadi saya untuk masa akan datang dan jika blog ini dapat membantu pembaca, saya lebih gembira lagi. 

Baca pengalaman saya bersama affiliate Klikjer di sini.


Program affiliate Klikjer adalah antara program affiliate yang terawal yang saya sertai. Setakat ini telah memperolehi beberapa jualan dan saya percaya ianya akan terus berkembang. Ini juga merupakan satu kejayaan untuk blog ini dalam tahun 2015. Ini adalah berkat ilmu yang saya pelajari daripada ebook Teknik SEO dan juga Rahsia Trafik. Kedua-dua buku inilah yang banyak membantu dan memberi saya semangat. Selain itu pelbagai sumber internet lain saya baca untuk menambahkan ilmu dalam dunia blog.

3. Kepuasan dan perasaan sebagai seorang blogger

Boleh dikatakan bahawa sebelum ini saya berblog hanyalah bagai melepaskan 'batok di tangga'. Tetapi kini saya lebih fokus untuk mencapai matlamat saya dan setiap hari saya akan belajar benda baru dalam dunia blogging.

Ok. Itu adalah antara kejayaan saya berblog dalam tahun 2015.

Saya tahu kejayaan anda pasti lebih baik berbanding saya untuk tahun 2015 ini. Tapi saya cukup berpuas hati dengan pencapaian saya setakat ini sebagai part time blogger. Bagi yang baru nak cuba aktiviti blogging, saya amat mengalu-alukan penglibatan anda. Blogging bukan sahaja dapat memberikan pendapatan tambahan, tetapi ia juga dapat mendidik diri seseorang. Bagi saya sendiri, ada beberapa penambahbaikan ketara pada diri saya sejak saya berblog.

Mari saya kongsikan beberapa kebaikan yang saya dapat selepas mula berblog:

1. Pengurusan masa

Jika dulu semasa tidak berblog, setiap masa terluang banyak dihabiskan di hadapan televisyen. Tetapi sekarang hampir tiada masa terluang kerana setiap masa terluang diisi dengan aktiviti blogging. Pengurusan masa adalah amat penting terutamnya yang mempunyai keluarga seperti saya. Malah dengan sepasang anak, pastinya agak sukar untuk saya membahagikan masa antara kerja hakiki, bersama keluarga, rehat dan aktiviti blogging. 

Saya percaya setiap blogger perlu ada jadual harian blogging anda sendiri. Tanpa jadual, kita ada kemungkinan untuk terlalu taksub dengan blogging atau terus tidak mengemaskini blog kita. Ini semua bergantung kepada pengurusan masa kita. 

2. Keyakinan diri

Perkara yang selalu bermain di fikiran sebelum memulakan blog adalah "saya tidak pandai menulis", "ada orang nak baca ke nanti?" dan macam-macam persepsi negatif yang muncul dalam diri sendiri. Tetapi setelah memulakan blog, keyakinan diri semakin hari semakin bertambah, bukan sahaja dalam dunia blogging, tetapi juga dalam kehidupan seharian. 

3. Teknik penulisan

Saya memang dari dahulu suka menulis, tetapi tidak bermakna saya pandai menulis. Saya percaya, setiap orang ada gaya penulisan yang tersendiri dan di situlah terletaknya salah satu seni dalam berblog. Bagi saya, kita tidak perlu pandai menulis baru boleh memulakan blog, tetapi sebenarnya teknik penulisan itu akan terukir dengan kita memulakan blog. 

Lagi banyak artikel yang kita tulis, saya percaya gaya penulisan dan teknik penulisan kita akan terserlah dengan sendirinya. Inilah yang dikatakan belajar daripada pengalaman. Saya juga masih belajar dan terus belajar. 

4. Bersosial

Saya bukanlah orang yang paling peramah di dunia. Dalam kebanyakan masa saya lebih suka berfikir daripada bercakap. Ini sebenarnya agak berlawanan dengan motif memulakan blog. Memulakan blog bermaksud kita rela untuk berkongsi pengalaman dan maklumat dengan orang ramai dan berkenal-kenalan dengan rakan dan sahabat blogger yang lain. 

Tetapi dari masa ke semasa, saya akan terus cuba untuk memantapkan teknik komunikasi saya kerana saya percaya, seorang blogger bukan sahaja perlu pandai menulis, tetapi juga perlu mempunyai teknik komunikasi yang berkesan.

Ok? Kita teruskan..

Selain daripada semua kejayaan ini, ianya datang bersekali dengan cabaran dan dugaan yang saya percaya perlu dihadapi oleh semua blogger. Terutamanya part time blogger seperti saya. 

Antara cabaran yang saya hadapi adalah:

1. Kekangan masa untuk tulis blog

Walaupun semua orang mempunyai 24jam yang sama, tetapi penggunaan 24jam yang diberikan digunakan dengan cara yang berbeza oleh setiap orang. Bagi saya sendiri, mengemaskini blog setiap hari memakan masa lebih kurang 2 - 3 jam. Itulah masa yang saya peruntukkan untuk menulis blog setiap hari. Jadi saya perlu pilih masa selama 3 jam daripada 24 jam setiap hari untuk kemaskini blog saya. Bagaimana saya pilih? Baca cabaran seterusnya.. 

2. Pengurusan masa antara kerja hakiki dan blogging

Saya percaya setiap orang yang bergelar part time blogger kadang kala mempunyai masalah untuk membahagikan masa antara kerja hakiki dan blogging. Apa yang saya lakukan adalah menetapkan masa yang sama setiap hari iaitu selepas jam 12 tengah malam untuk menulis blog saya. Masa antara selepas pukul 7 sehingga pukul 12 tengah malam adalah waktu untuk bersama keluarga, bermain dengan anak-anak dan tidur. Waktu saya mula berblog biasanya antara jam 2 pagi hingga 5 pagi. Tambahan lagi saya lebih selesa menulis di waktu begini.

3. Pandangan orang sekeliling

Tidak semua orang boleh berpandangan positif dengan apa yang kita lakukan. Termasuklah juga dengan aktiviti blogging. Ada yang menganggap orang yang ada blog ini 'poyo', 'nak publisiti' dan buang masa. Tetapi bagi saya sendiri, sekiranya kita tahu apa yang kita lakukan itu betul dan sentiasa memberi manfaat kepada orang lain, lama-kelamaan orang sekeliling kita akan senyap.

4. Idea penulisan

Saya juga percaya semua blogger baru dan lama akan ada masalah ini di dalam perjalanan blogging mereka. Idea penulisan kadang kala datang bergolek, kadang kala perlu di korek, kadang kala perlu di baca dan kadang kala tak kunjung tiba. Bagi saya sendiri, saya lebih suka memikirkan tajuk atau topik yang saya akan tulis sebelum saya duduk di hadapan komputer. Kenapa? Bagi saya ini akan memudahkan saya untuk menulis artikel. Idea penulisan biasanya saya fikirkan semasa dalam perjalanan pergi dan balik kerja. Anda mungkin ada masa untuk brainstorming anda sendiri.

5. Kurang ilmu tentang blogging

Tiada siapa yang sempurna. Apa yang saya tahu berkaitan blogging adalah sangat asas. Cuma kerana minat yang tinggi, saya belajar sedikit demi sedikit berkaitan blogging, SEO dan lain-lain. Saya akui, hingga sekarang pun saya belum tahu banyak berkaitan dunia blogging. Apa yang saya fokuskan sekarang adalah untuk memberi manfaat kepada orang lain. 

Ok? Jadi apakah perancangan anda untuk meneruskan blogging dalam tahun 2016? 

Ini adalah perancangan saya untuk tahun 2016:

1. Tuliskan matlamat baru

Matlamat utama saya dalam tahun 2015 telah tercapai apabila saya berjaya memperolehi akaun penuh Google Adsense. Memang itulah yang saya sasarkan untuk blog saya pada tahun 2015. Bagi tahun 2016, matlamat saya adalah untuk fokus pada pendapatan melalui Google Adsense. Jadi saya perlu menarik seberapa banyak trafik ke blog ini. Dalam masa sama saya perlu lengkapkan diri dengan ilmu menjana pendapatan dengan Google Adsense. Selain daripada itu, saya nak melepasi tempoh survive sesebuah blog iaitu 1 tahun. Saya percaya jika saya berjaya lepasi tempoh 1 tahun, saya juga boleh lepasi tempoh 3, 5 atau 10 tahun berblog!

2. Audit blog

Audit blog sebenarnya perlu dijalankan secara berkala dan bukannya hanya pada hujung atau awal tahun. Sepertimana pentingnya audit dalam perniagaan dan kewangan, mengaudit blog juga adalah penting untuk menambahbaik blog kita. Antara perkara-perkara yang kita boleh diaudit untuk blog kita adalah:
  • Apa kekuatan blog saya?
  • Blog post mana yang menarik banyak pembaca? Kenapa?
  • Artikel mana yang lebih menarik pembaca? Panjang atau pendek?
  • Bagaimana blog saya menjana pendapatan?
  • Sumber mana yang lebih banyak? Iklan atau affiliate?
  • Adakah layout blog saya mudah untuk difahami?


3. Jadual Blogging

Memandangkan saya baru sahaja menerima cahaya mata yang kedua, saya pasti jadual untuk berblog saya perlu diubah. Tetapi dalam masa yang sama, anak-anak sayalah yang memberikan saya semangat untuk terus berblog dan memberi manfaat kepada orang lain.

Ok. Cukup setakat itu dulu. 

Akhir kata dari saya, blogging memerlukan kerja keras dan perlu dilakukan secara bijak. Saya tidak pasti dengan orang lain, tetapi bagi saya, perjalanan sebagai blogger baru memang mencabar dari segi fizikal, mental dan emosi. Walau bagaimanapun, saya tetap rasa bersyukur dengan kejayaan yang saya kecapi setakat ini dan diharapkan saya akan terus berjaya menembusi tempoh setahun berblog secara konsisten. 

Menurut sebahagian kajian, blogger yang berjaya melepasi paras setahun berblog dengan konsisten akan terus berblog dan berjaya. Dan itulah matlamat terbesar saya dalam tahun 2016 iaitu untuk terus berblog dan melepasi jangka masa setahun berblog secara konsisten!

Jika tidak keberatan, kongsikan matlamat anda untuk tahun 2016 di ruangan komen. Jika anda ada blog, apa matlamat anda untuk blog anda. Jika tiada blog, apakah matlamat utama anda pada tahun 2016.

Terima kasih kerana membaca Cara Blogger Baru Menyambut Tahun Baru 2016. Saya ucapkan Selamat Tahun Baru 2016.

6 ulasan:

  1. Pertamanya, tahniah kerana berjaya mengakhiri tahun 2015 dengan pelbagai kejayaan termasuklah dalam contest review lynk.my 2015 yang lepas... :)

    Sebagai orang yang berpengalaman, saya tidak nampak kekurangan @ mustahil tuan mampu berjaya dalam arena blogging.

    Walaupon hanya sebagai part time blogging tapi tuan nampak seoalah2 macam full time blogger jek.. :D

    Semoga 2016 tuan akan lebih berjaya...ameen!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Alhamdulillah..permulaan dunia blogging yang agak baik untuk tahun 2015..diakhiri penutup tahun 2015 dengan kejayaan dalam contest review lynk, tiada siapa yang menyangka..rezeki anak barangkali hehe..

      Aminn..terima kasih atas doa tuan dan semoga sama-sama berjaya ;-)

      p/s: memang tak salah saya sangka tuan sememangnya orang yang berpengalaman dalam arena blogging tetapi selalu merendah diri hehe ;-)

      Padam
  2. Balasan
    1. Aminn..siapa yang taknak berjaya kan?? Tapi kejayaan datangnya dengan usaha dan tawakal..

      Padam
  3. Ini memang pekerja cemerlang nampak gayanya ;-)

    BalasPadam

Back To Top