Ads Top

Cara Jimat Elektrik Yang Kerap Diabaikan

>
cara jimat duit, tips jimat duit, cara jimat elektrik, tips jimat elektrik

Cara Jimat Elektrik Yang Kerap Diabaikan. Salah satu cabang pengurusan kewangan adalah berkenaan bagaimana cara untuk berjimat. Sebanyak mana pun pendapatan kita setiap bulan, tetapi jika tidak diikuti dengan perbelanjaan berhemah, pastinya duit sentiasa terasa tidak mencukupi.

Berjimat cermat juga akan memberikan satu disiplin kepada pengamalnya untuk sentiasa berwaspada dengan setiap duit yang dikeluarkan. Bil-bil yang tidak tetap seperti bil elektrik, bil air adalah antara penyumbang kepada pembaziran kewangan. Ini kerana penggunaan elektrik dan air sebenarnya boleh dioptimumkan untuk mengurangkan bil yang perlu di bayar setiap bulan.

Kenapa perlu jimat elektrik?

Sekiranya anda bijak jimat elektrik, anda mungkin tergolong dalam golongan yang diberikan subsidi penggunaan elektrik RM20 oleh kerajaan (jika bil elektrik anda RM20 dan ke bawah). Selain itu untuk jangka masa panjang, duit penjimatan elektrik boleh digunakan untuk perkara yang lebih bermanfaat atau dijadikan simpanan untuk masa hadapan.
Pada kali ini, saya nak membincangkan beberapa perkara yang boleh menjimatkan penggunaan elektrik di rumah kita. Cara jimat ini mungkin anda telah tahu, tetapi dalam kebanyakan masa, kita kerap kali mengabaikan dan menganggap ianya tidak signifikan untuk dilakukan.

Hakikatnya, perbuatan yang kecil itu jika dijadikan amalan berterusan akan dapat menjimatkan elektrik dan juga mengurangkan kos pembayaran bil elektrik.

Matikan Suis

Ringkas dan mudah difahami. Matikan mana-mana suis perkakasan elektrik yang tidak digunakan. Sebagai contoh, jika anda mempunyai modem internet, matikan modem tersebut pada waktu ia tidak digunakan sebagai contoh waktu malam ketika semua orang tidur atau pada waktu siang di mana tiada orang di rumah.

Selain itu, matikan juga suis-suis lampu di bilik atau ruang yang tidak digunakan. Perbuatan-perbuatan kecil ini sebenarnya boleh menjimatkan elektik dan mengurangkan bil elektrik anda sekurang-kurangnya 10% daripada bil eektrik anda.

Cabut Plug

Ada percanggahan pendapat sama ada dengan mencabut plug boleh menjimatkan elektrik atau tidak. Walaubagaimana pun, pihak TNB sendiri menasihatkan agar pengguna mencabut kepala plug perkakasan elektrik yang tidak digunakan untuk mengurangkan kadar tenaga elektrik yang terbebas secara 'pasif'.

Tambahan lagi, ini juga dapat mengelakkan perkakasan elektronik kita terdedah kepada panahan petir yang boleh menyebabkan kerosakan kepada perkakasan tersebut.

Jenis Lampu

Secara umumnya, mentol menggunakan tenaga elektrik yang lebih banyak berbanding lampu kalimantang. Tetapi dengan perkembangan teknologi, telah muncul lampu LED yang mana penggunaannya jauh lebih menjimatkan daripada lampu kalimantang.

Sebaik-baiknya, tukar semua lampu rumah anda dengan lampu jenis LED secara berperingkat. Lampu-lampu yang rosak boleh terus digantikan dengan lampu LED.

Penghawa Dingin

Penghawa dingin adalah satu keperluan terutamanya di Malaysia yang mempunyai iklim yang panas sepanjang tahun. Walaubagaimana pun, penggunaan penghawa dingin biasanya boleh meningkatkan bil elektrik sehingga 100% jika tidak digunakan dengan bijak.

Berikut adalah sebahagian daripada tips jimatkan elektrik untuk pengguna penghawa dingin:

  • Matikan suis utama selepas digunakan
  • Setkan timer penggunaan
  • Tetapkan suhu pada 24 darjah celcius. Lebih sejuk anda set, lebih banyak tenaga digunakan.
  • Pastikan ruangan tertutup. Jika ada ruang untuk udara keluar, masa yang diambil untuk menyejukkan ruang lebih lama dan tenaga lebih banyak digunakan.
  • Lakukan penyelenggaraan penghawa dingin secara berkala.
Jadi, gunakan penghawa dingin dengan bijak agar penggunaan elektrik lebih jimat.





Mesin Basuh

Secara umumnya, tiada perbezaan penggunaan elektrik antara penggunaan mesin basuh manual ataupun mesin basuh automatik.

Satu perkara yang penting apabila menggunakaan mesin basuh adalah berkiatan dengan kapasiti mesin basuh tersebut. Pakaian yang dibasuh hendaklah mengikut kapasiti mesin basuh. Jangan terlalu ringan dan jangan melebihi had. Jika terlalu ringan, anda telah membazir tenaga dan mungkin menyebabkan anda membasuh baju dengan lebih kerap.

Jika berat pakaian yang dibasuh melebihi muatan / kapaiti mesin basuh, motor mesin basuh perlu bekerja melebihi hadnya dan menggunakan tenaga elektrik yang lebih banyak. Disamping itu, pakaian anda juga tidak dapat dibersihkan dengan baik kerana muatan yang berlebihan.

Peti Sejuk

Setiap rumah pastinya ada peti sejuk. Peti sejuk adalah antara perkakasan elektrik yang perlu sentiasa dihidupkan. Penggunaan yang berterusan ini pastinya akan memberikan impak yang besar kepada pengguna tenaga elektrik.

Walaubagaimana pun, ada beberapa tips jimat elektrik yang boleh dipraktikkan untuk memastikan peti sejuk tersebut menggunakan tenaga elektrik dengan efektif.

Semasa pemilihan peti sejuk, pilih peti sejuk yang mempunyai pintu freezer dan pintu simpanan sejuk yang berasingan (2 pintu). Ini adalah untuk mengurangkan udara sejuk terlepas dari freezer yang mana boleh meningkatkan penggunaan elektrik.

Lebih besar ruangan freezer peti sejuk anda, lebih banyak tenaga elektrik digunakan.

Pastikan juga pintu peti sejuk sentiasa tertutup apabila tidak digunakan. Sekiranya pintu terbuka, udara sejuk akan keluar dan peti sejuk perlu bekerja keras untuk menyejukkan semula barang yang terdapat di dalamnya.

Didik Keluarga

Setiap rumah terdiri daripada pelbagai lapisan umur. Ada yang masih kanak-kanak dan ada juga yang telah dewasa. Penjimatan elektrik hanya akan berjaya dengan kerjasama dari setiap ahli dalam rumah. Ianya tidak akan berkesan sekiranya hanya kita seorang sahaja yang bersungguh-sungguh untuk jimat elektrik sedangkan ahli keluarga yang lain mengambil sikap sambil lewa.

Didik juga anak-anak sejak kecil tentang berjimat cermat. Kebanyakan kanak-kanak suka bermain pintu peti sejuk dan suka untuk membiarkan ianya terbuka. Terangkan kepada mereka bahawa perbuatan tersebut akan menyebabkan pembaziran tenaga dan meningkatkan bil elektrik.

Bagi orang dewasa pula, pelbagai cara boleh dilakukan untuk mendidik mereka. Salah satunya dengan menggunakan konsep 'denda'. Sediakan satu tabung khas untuk denda. Setiap orang yang terlupa untuk tutup lampu bilik, meninggalkan kipas terbuka atau tidak mencabut plug yang tidak digunakan boleh dikenakan denda RM0.50 (nilai denda bergantung kepada anda).

Ok.

Cara jimat elektrik ini adalah sebahagian daripada pengurusan kewangan yang bijak. Anda tidak perlu membeli mana-mana device yang dikatakan boleh menjimatkan elektrik selagi mana anda boleh mengamalkan cara jimat elektrik ini. Dengan berjimat cermat dalam penggunaan barangan elektrik, kita akan dapat meningkatkan simpanan kita dengan lebih cepat dan ini akan menjamin kehidupan masa depan yang lebih cerah.


Terima kasih kerana membaca Cara Jimat Elektrik Yang Kerap Diabaikan. Jangan lupa untuk like Facebook Wikicara.org, Follow Instagram dan juga Subscribe Youtube Channel saya. Sila berikan komen anda berkenaan artikel ini di ruangan komen ye.

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.