Cara Menyambut Maulidur Rasul


Saban tahun kita meraikan sambutan Maulidur Rasul. Tetapi sejauh mana kita menghayati peristiwa itu dan mengambil pengajaran daripadanya. Walaupun ada yang berpendapat menyambut Maulidur Rasul adalah satu perkara yang tidak pernah dibuat oleh Rasullullah S.A.W dan tidak perlu dibuat, tetapi pada saya sambutan Maulidur Rasul adalah sebagai tanda kasih dan sayangnya kita kepada Rasullullah S.A.W.

Selama ini kita sambut hari kelahiran ibu, ayah, isteri dan anak-anak, kenapa tidak menyambut hari kelahiran insan yang paling perlu disayangi lebih dari keluarga malah diri kita sendiri? Selagi mana sambutan itu tiada unsur yang melanggar hukum syarak, maka ianya harus untuk dilakukan.

Jadi bagaimana untuk menyambut Maulidur Rasul?

Sebelum itu, saya mengingatkan diri saya dan anda semua bahawa menyayangi dan mencintai Rasullullah S.A.W bukanlah sesuatu yang bermusim tetapi perlulah diamalkan sepanjang hayat kita. Salah satu cara terbaik untuk memupuk dan mengukuhkan rasa kasih sayang kita terhadap perjuangan Rasullullah S.A.W adalah dengan menyambut Maulidur Rasul. 

Banyak juga orang yang kadang-kadang 'terlupa' tentang perjuangan Rasullullah S.A.W akan mula 'teringat' kembali apabila sampainya waktu sambutan Maulidur Rasul. Itulah antara hikmah sambutan Maulidur Rasul.

Ok. Bagaimana cara terbaik untuk menyambut Maulidur Rasul?

Perbanyakkan selawat

Orang yang terselawat hanya sekali ke atas Nabi Muhammad S.A.W akan dikurniakan 10 Rahmat daripada Allah. Tiada yang lebih indah dari mendapat Rahmat dari Allah kerana kita masuk ke dalam syurga juga dengan Rahmat Allah. Itulah antara kelebihan orang yang suka berselawat. Sekurang kurang berselawat adalah dengan menyebut Allahumma Solli Ala Muhammad. Oleh itu perbanyakkan lah selawat agar kita sentiasa di dalam Rahmat Allah.

Mengamalkan sunnah

Jika kita perhatikan, sebenarnya dalam setiap gerak geri dan kehidupan seharian kita ada sunnah yang boleh diamalkan. Bermula dari bangun pagi hinggalah kita kembali nak tidur, pelbagai sunnah boleh diamalkan. Setiap kali mengamalkan sunnah nya, ingat lah kepada baginda Rasullullah S.A.W. 

Tambah ilmu

Menuntut ilmu adalah fadhu bagi setiap insan. Rasullullah S.A.W mengajar kita hendaklah belajar bermula dari semasa kira di buaian hinggalah mati menjemput kita. Tambahan lagi, sambutan Maulidur Rasul biasanya menyediakan pelbagai ceramah dan kuliah bagi memperingati Nabi Muhammad S.A.W. Ambil lah peluang ini untuk mula menambah ilmu kita dan seterusnya menjadikan menuntut ilmu sebagai salah satu keperluan dalam hidup kita.

Istighfar

Nabi Muhammad S.A.W sendiri yang maksum tanpa dosa beristigfar tidak kurang dari 100 kali sehari. Jadi bagaimana pula dengan kita yang tidak lekang dari melakukan dosa? 

Sebarkan kebaikan

Kebaikan boleh datang dalam pelbagai bentuk. Kebaikan boleh disebarkan dengan ucapan ataupun perbuatan. Sekurang kurangnya sebarkanlah kebaikan dengan mengamalkan dan menunjukkan akhlak yang baik kepada orang lain tidak kira kepada orang Islam ataupun bukan Islam.  

Perbaiki diri

Manusia tidak pernah lekang dari melakukan kesalahan. Walau bagaimana pun, pintu keampunan Allah sentiasa terbuka. Allah lebih suka orang yang meminta ampun dan memperbaiki diri setelah melakukan kesilapan berbanding orang yang beramal tetapi hatinya kotor dan menunjuk-nunjuk.

Akhir kata, yang tidak menyambut Maulidur Rasul pun betul. Dan yang menyambut Maulidur Rasul pun betul. Jika Rasullullah S.A.W sudah bertaut di hati, tidak perlu untuk menyambut Maulidur Rasul. Bagi yang tercari-cari permulaan untuk berubah, mungkin inilah masa yang sesuai. Jangan lah kerana perbezaan pendapat perkara kecil ini memecahbelahkan umat Islam. 

Jika ada tersalah kata dalam artikel ringkas ini saya harap dapat ditegur dengan sopan pantun dan berhikmah. Sesungguhnya saya hanya insan biasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Back To Top