Cara Mengenali Ubat / Produk Berdaftar Dengan Kementerian Kesihatan Malaysia


Jika kita lihat semua iklan produk sama ada di media social, media cetak atau media elektronik semua akan menyatakan bahawa produk mereka mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia. Adakah kita boleh terima kenyataan tersebut bulat bulat tanpa sebarang keraguan? Atau jika ianya dinyatakan oleh selebriti atau orang kenamaan pastinya itu sesuatu yang benar?

Bagi saya, memang tugas mereka dalam mengiklankan produk untuk meyakinkan pengguna berkenaan kegunaan dan keselamatan produk mereka, tetapi dalam masa sama pengguna juga harus ambil tahu bagaimana cara untuk memastikan ubat ubatan, supplement atau jamu yang mereka makan benar - benar selamat.

Bagi yang belum tahu, keselamatan ubat ubatan di Malaysia amat berkait dapat dengan pendaftaran produk itu sendiri. Hanya produk yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia sahaja yang dijamin keselamatan, keberkesanannya dan kualitinya. Ini juga bermakna, ubat yang tidak berdaftar adalah tidak selamat dan boleh membahayakan keselamatan pengguna.


Apa itu produk & ubat?

Ramai yang salah anggap tentang makna kedua-dua terma ini. Mereka menyangka bahawa sesuatu produk bukanlah ubat dan ubat bukanlah suatu produk. Tetapi sebenarnya, kedua dua nya mempunyai kaitan antara satu sama lain. Jika dirujuk dalam Akta Jualan Dadah 1952, Produk merupakan apa-apa sahaja di dalam bentuk farmaseutikal dosage form seperti tablet, kapsul atau  pil.

Selain itu, mana-mana cecair atau serbuk yang mempunyai tuntutan perubatan juga boleh dikelaskan sebagai satu produk dan perlu berdaftar. Manakala ubat secara umumnya pula ketahui sebagai mana-mana produk yang digunakan untuk mencegah atau merawat sesuatu penyakit. Ini bermakna ubat juga merupakan satu produk.


Kategori ubat

Ubat boleh dikategorikan kepada 3 kumpulan utama iaitu:

  • Ubat Terkawal
  • Ubat Dikaunter (OTC)
  • Ubat Tradisional

Ubat Terkawal

Ubat terkawal adalah ubat yang hanya boleh digunakan di hospital, klinik dan kedai farmasi berdaftar. Ubat terkawal tidak boleh dijual di kedai runcit, pasar malam, dan juga tidak boleh dijual secara atas talian. Pembekalan dan penjualan ubat terkawal juga hanyalah boleh dilakukan oleh doktor dan ahli farmasi berlesen.

Ubat Dikaunter (OTC)

Ubat dikaunter lebih dikenali sebagai ubat biasa yang tidak terkawal dan boleh didapati di kedai-kedai runcit, kedai serbaneka mahupun stesen minyak. Contoh paling mudah adalah Panadol. Ubat dikaunter juga merangkumi pelbagai supplement atau makanan tambahan seperti multivitamin.

Ubat Tradisional

Ubat Tradisional adalah produk yang disediakan daripada sumber herba seperti tongkat ali, kacip fatimah, ubi jaga dan lain-lain herba. Semua produk herba perlu didaftarkan untuk memastikan keselamatan dan kualitinya. 

Kenapa perlu berdaftar?

Produk yang berdaftar adalah produk yang telah diuji dari segi kualitinya, keselamatan dan keberkesanannya. Selain daripada itu, pengguna perlu tahu bahawa terdapat ubat / produk yang tidak berdaftar dicampurkan dengan racun lain bagi mempercepatkan kesan ubat tersebut dan racun tersebut boleh memudaratkan pengguna.

Saya nasihatkan, berhati-hati dengan jamu-jamu yang dikatakan dapat menyembuhkan sakit-sakit sendi dan sakit-sakit badan. Sekiranya produk tersebut tidak berdaftar, kebarangkalian besar produk tersebut ada dicampurkan dengan racun Steroid. Steroid adalah salah satu racun yang kerap dicampurkan dalam sediaan yang tidak berdaftar. Penggunaan steroid tanpa pemantauan doktor akan menyebabkan pengguna mengalami masalah lain seperti tulang rapuh, gemuk air, kencing manis dan menyebabkan kerosakan buah pinggang.


Bagaimana cara mengenali produk / ubat yang berdaftar?

Terdapat 2 ciri utama untuk memastikan ubat tersebut adalah ubat yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.

  • Pelekat Hologram
  • Nombor Pendaftaran MAL

Pelekat Hologram

Pelekat Hologram adalah satu stiker kecil berbentuk segi empat tepat yang MESTI ditampalkan pada setiap produk yang berdaftar. Ini adalah kerana hanya syarikat pengeluar yang sah sahaja boleh membeli stiker hologram ini. Stiker hologram ini juga adalah terkawal kerana di dalam Malaysia hanya terdapat satu syarikat yang mengeluarkan stiker ini. Ini adalah penting untuk memastikan stiker ini tidak dapat ditiru.

Nombor Pendaftaran MAL

Sehingga hari artikel ini ditulis, terdapat 5 jenis nombor pendaftaran produk. Iaitu pendaftaran bagi ubat terkawal, ubat OTC, ubat tradisional, produk supplement dan juga ubat untuk haiwan. Setiap nombor pendaftaran mempunyai ciri berikut:

  • Bermula dengan MAL
  • Diikuti dengan 8 digit nombor
  • Dan diakhiri dengan huruf (setiap huruf mewakili satu kategori ubat / produk)
Jom fahami berkenaan pendaftaran produk melalui diagram di bawah:



Anda juga boleh membuat semakan secara online produk berdaftar di laman NPRA.

Terima kasih kerana membaca cara mengenali produk berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. Semua produk berdaftar perlu nombor MAL dan pelekat hologram. Jika ada produk yang memberikan nombor selain nombor MAL ada kemungkinan produk tersebut tidak berdaftar.

Jadi sentiasalah berhati-hati dan berwaspada dengan ubat-ubatan dan produk kesihatan yang kita beli dan guna.


Back To Top