Cara Menggunakan Alat Pemadam Api Dengan Betul


Apa yang anda tahu tentang alat pemadam api? Adakah anda tahu cara menggunakan alat pemadam api? Adakah anda ada menyediakan alat pemadam api di rumah? Ini adalah soalan-soalan asas yang pernah ditanyakan kepada saya semasa menghadiri taklimat bantuan kecemasan dan kebakaran. Pada pengamatan saya, masih ramai di kalangan masyarakat kita yang ambil ringan tentang cara menggunakan alat pemadam api. Malah ada yang tidak mengambil tahu tentang alat pemadam api. 


Apa yang anda tahu tentang alat pemadam api?

Alat pemadam api adalah untuk memadamkan api (memanglah!). Selain daripada itu apa yang anda tahu tentang alat pemadam api? Anda perlu tahu bahawa alat pemadam api terdiri daripada beberapa jenis. Jenis alat pemadam api dikategorikan berdasarkan kandungan alat pemadam api itu sendiri. Kandungan bahan yang terdapat dalam alat pemadam api dibezakan dengan jenis kebakaran yang boleh dipadamkan.

Untuk pengetahuan anda, kebakaran boleh dikategorikan kepada 5 jenis kebakaran yang dikelaskan mengikut abjad A, B, C, D dan E.
  1. Jenis Api kelas A, kebakaran yang berlaku pada barang padat bukan logam seperti kain, kayu, kertas dan lain-lain.
  2. Jenis Api kelas B, kebakaran yang berlaku disebabkan oleh cecair yang mudah terbakar seperti Minyak, Alkohol, Cat, Solvent, Methanol dan lain-lain
  3. Jenis Api kelas C, kebakaran yang berlaku disebabkan oleh gas atau wap yang mudah terbakar seperti hidrogen, methane, propane, oxy-acetylene, gas LPG dapur dan lain-lain.
  4. Jenis Api kelas D, kebakaran yang berlaku pada logam seperti magnesium, merkuri dan lain-lain 
  5. Jenis Api kelas E,  kebakaran yang berlaku disebabkan oleh bahan elektrik dan lintar pintas.
  6. Jenis Api kelas F, kebakaran yang berlaku disebabkan oleh bahan masakan seperti minyak masak atau lemak.
Perlu saya ingatkan bahawa kelas api mungkin ada perbezaan mengikut negara ataupun akan dipinda dari semasa ke semasa. Pengkelasan yang saya kongsikan adalah berdasarkan pengkelasan api di Malaysia. Mengenali jenis api adalah penting, tetapi mengetahui jenis pemadam api yang sesuai untuk memadamkan api tersebut adalah jauh lebih penting.

Jenis Alat Pemadam Api

Alat pemadam api yang kerap kita lihat adalah alat pemadam api ringan. Alat pemadam api ini boleh digunakan semasa berlaku kebakaran kecil untuk mengelakkan daripada abi merebak ke tempat lain. Tong Alat Pemadam Api biasanya berwarna merah dan dibezakan dengan stiker atau tandaan berwarna untuk setiap jenis alat pemadam api ringan. Secara umumnya, alat pemadam api ringan boleh dibahagikan kepada 4 jenis iaitu:




1. Jenis Air

Alat pemadam api ringan dengan bahan air ditandakan dengan label Merah bertulisan 'Water'.  Alat pemadam api ringan jenis air ini sesuai untuk digunakan untuk kebakaran yang melibatkan bahan padat bukan logam seperti kayu, kain dan kertas. Jenis air ini tidak sesuai untuk memadamkan kebakaran yang melibatkan pendawaian elektrik, kebakaran minyak ataupun logam.

2. Jenis Buih (Foam)

Alat pemadam api ringan dengan bahan Foam di tandakan dengan tulisan 'Foam' berwarna hitam. Alat pemadam api jenis ini sesuai untuk kebakaran yang melibatkan minyak atau cecair mudah terbakar. Selain itu juga alat pemadam api jenis Foam boleh juga digunakan untuk memadam kebakaran yang disebabkan oleh bahan padat bukan logam seperti kayu, kertas dan kain.


3. Jenis Karbon Dioksida (CO2)

Alat pemadam api jenis CO2 ditandakan dengan tulisan putih berlatarbelakang hitam 'Carbon Dioxide'. Jika anda pernah belajar sains, pembakaran berlaku menggunakan gas Oksigen dan membebaskan karbon dioksida. Karbon dioksida adalah gas yang tidak menggalakkan pembakaran. Oleh sebab itulah ianya boleh digunakan untuk memadamkan kebakaran kecil. Alat pemadam api jenis CO2 ini sesuai untuk digunakan untuk kebakaran yang melibatkan minyak atau cecair mudah terbakar dan juga kebakaran yang melibatkan pendawaian elektrik.


4. Jenis Dry Powder

Alat pemadam api jenis Dry Powder di tandakan dengan tulisan putih berlatarbelakangkan warna biru dengan perkataan 'Dry Powder'. Alat pemadam api ringan jenis ini adalah yang paling banyak digunakan kerana kebolehannya untuk memadamkan api untuk kebanyakan situasi yang melibatkan kebakaran bahan padat bukan logam, elektrik, cecair mudah terbakar dan juga kebakaran disebabkan oleh gas. Oleh sebab itu, jika kita perhatikan, di dalam kebanyakan pejabat akan menyediakan alat pemadam api jenis Dry Powder.


Kebaikan dan kelemahan Alat Pemadam Api

Setiap perkara ada kebaikan dan kelemahannya. Secara umumnya, kebaikan menyediakan dan menggunakan alat pemadam api jauh lebih menyerlah daripada kelemahannya. Ini adalah kerana kebaikan utama menggunakan alat pemadam api adalah ia dapat mengawal api daripada merebak dan dapat menyelamatkan nyawa. Kelemahan alat pemadam api pula adalah:

  • Hanya boleh digunakan sekali.
  • Pemilihan alat pemadam api yang sesuai amat penting bergantung kepada keadaan sesuatu tempat
  • Pemadam api perlu diselenggara sekurang-kurangnya setahun sekali walaupun tidak digunakan. Ini adalah penting untuk memastikan bahawa tekanan gas dalam alat pemadam api masih cukup untuk digunakan.

Ok?

Seterusnya saya akan kongsikan cara menggunakan alat pemadam api dengan betul. Secara umumnya, cara menggunakan alat pemadam api adalah sama untuk setiap jenis alat pemadam api. Terdapat 4 langkah untuk menggunakan alat pemadam api ringan yang boleh diringkaskan kepada 4 huruf iaitu P (Pull/Tarik), Aim (Hala), Squeeze (Tekan Picu), Sweepe (Gerakkan ke kanan dan ke kiri).



Perkara paling penting semasa berlaku kebakaran kecil sama ada di rumah atau di pejabat adalah untuk tidak terlalu cemas. Sekiranya ada alat pemadam api, gunakan dengan betul alat pemadam api tersebut untuk memadamkan kebakaran. 

Ada beberapa perkara yang SANGAT perlu diingati semasa memadamkan kebakaran kecil menggunakan alat pemadam api: 


  • Semua orang yang tidak berkenaan untuk memadamkan kebakaran hendaklah keluar dari bangunan yang terbakar.
  • Penggunaan alat pemadam api hendaklah SESUAI dengan jenis kebakaran. Ini adalah penting kerana penggunaan alat pemadam api yang tidak sesuai mungkin boleh menyebabkan kebakaran menjadi semakin marak dengan cepat. Sebagai contoh, api yang disebabkan oleh Elektrik atau Minyak Masak jangan sesekali cuba dipadamkan dengan air atau alat pemadam api jenis air. Ini akan menyebabkan kebakaran bertambah teruk.
  • Semasa menggunakan alat pemadam api, serbur mengikut arah angin untuk mendapatkan hasil yang maksimum.
  • Sekirnya ada, semburkan beberapa alat pemadam api serentak (oleh beberapa orang) kepada sumber api.
  • Pastikan juga pintu keluar untuk anda keluar.
  • Minta bantuan orang lain untuk hubungi pihak bomba dengan segera.

Itulah serba sedikit maklumat berkenaan alat pemadam api dan juga cara menggunakan alat pemadam api dengan betul. Sekiranya api gagal untuk dikawal, selamatkan diri anda dan rakan-rakan terlebih dahulu. Keselamatan nyawa jauh lebih penting daripada harta benda kita. 

Semoga kita semua sentiasa dijauhi daripada bencana kebakaran. Aminn.

1 ulasan:

Back To Top