Cara Menguruskan Duit Raya Anak dan Hukum Menggunakan Duit Raya Anak


Semasa kecil kita memang suka mengumpul duit raya. Apabila meningkat dewasa dan berkeluarga, kita mengumpul pula duit raya bagi pihak anak kita ;-) Walaupun duit raya bukanlah satu kewajipan, tetapi ia dapat memberikan kegembiraan kepada kanak-kanak dan menceriakan suasana hari raya. 

Dalam satu ceramah Ustaz Wadi Annuar menyatakan bahawa memberi duit raya kepada anak kecil adalah salah satu bentuk sunnah. Ini adalah berdasarkan beberapa peristiwa Nabi Muhammad S.A.W yang banyak mengembirakan kanak-kanak.




Bagi anak-anak yang masih kecil, mereka masih belum pandai menguruskan duit raya yang mereka perolehi. Jadi, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menguruskan duit raya anak-anak mereka dengan baik.

Perlu diingatkan bahawa duit raya anak adalah kepunyaan anak kita dan ibu bapa hanyalah sebagai pemegang amanah untuk menjaga duit raya sehinggalah mereka pandai untuk menguruskan duit mereka sendiri. 

Pada kali ini, saya ingin kongsikan cara terbaik untuk menguruskan duit raya anak kita.

Asingkan

Pastikan duit raya untuk setiap anak anda diasingkan untuk mengelakkan percampuran duit raya. Ini adalah bertujuan untuk memastikan setiap anak kita mendapat jumlah duit raya yang sama (kerana biasanya orang akan bagi sama untuk setiap orang)

Tabung Khas

Sepertimana tabungan biasa, pastikan setiap anak kita mempunyai tabung yang berlainan. Menyediakan tabung untuk anak kita dapat mengajar anak kita untuk rajin menabung dan dalam masa sama memudahkan pengurusan duit raya anak kita. 

Simpan dalam Bank

Setelah habis raya, kira dan simpan duit raya anak kita ke dalam bank yang memberikan pulangan yang baik setiap tahun. Pastikan akaun tersebut dibuat khas untuk anak anda (dengan ibu / bapa sebagai penjaga), bukannya duit raya tersebut dimasukkan ke dalam akaun ibu bapa. Bagi saya, antara tabungan terbaik adalah di Tabung Haji. Anda bebas untuk memilih di mana anda nak simpan duit anak anda. 


SSPN-i Plus


Bagi ibu bapa yang masih belum mempunyai akaun simpanan untuk anak-anak mereka, SSPN-i Plus adalah pilihan yang boleh dipertimbangkan. SSPN-i Plus adalah gabungan antara tabung pendidikan dan juga takaful. Selain daripada itu, pembukaan akaun SSPN-i Plus ini juga boleh dilakukan secara online dan boleh dimulakan dengan hanya deposit RM30. Untuk maklumat lanjut, boleh baca artikel berkaitan cara buka akaun SSPN-i Plus secara online.

Hukum menggunakan Duit Raya anak.

Hukum menggunakan duit raya anak adalah sama seperti anda menggunakan duit orang lain. Ia adalah dalam konsep berhutang. Dan hutang wajib di bayar. Sekiranya anda terpaksa mendahulukan duit anak anda, pastikan anda membayar semula duit mereka dengan segera.  

Ini adalah kerana, duit raya yang diterima oleh anak kita adalah hak mereka. Kita tidak boleh menggunakan duit raya tersebut untuk membeli lampin atau pun keperluan harian kerana itu adalah dalam tanggungan kita sebagai ibu bapa.

Ok?

Itulah antara cara untuk menguruskan duit raya anak kita. Bagaimana cara anda menguruskan duit raya anak anda? Kongsikan diruangan komen :-)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Back To Top