Cara Memilih Dan Menggunakan Kad Kredit Dengan Bijak

Kewangan, Tips & Trik, Cara Memilih Kad Kredit Dan Menggunakan Kad Kredit, Kad kredit terbaik, promosi kad kredit, AKPK,

Cara Memilih Dan Menggunakan Kad Kredit Dengan Bijak. Betul ke kad kredit melambangkan kekayaan seseorang? Bagi saya kad kredit sama sekali tidak melambangkan seseorang itu kaya. Malah penggunaan kad kredit yang tidak terkawal bukan sahaja boleh menyebabkan pengurusan kewangan seseorang terjejas, malah boleh membawa kepada kebankrapan. 

Menurut maklumat daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), sebanyak 80% daripada golongan pemuda yang hadir bagi sesi Program Pengurusan Kredit di AKPK adalah berkaitan dengan pengurusan dan penggunaan kad kredit. Ini menunjukkan bahawa kesedaran penggunaan kad kredit dikalangan golongan muda masih agak rendah.

Disamping keburukan kad kredit yang kerap di war-warkan, pastinya ada kebaikan disebaliknya. Antara kebaikannya adalah kita dapat mengurangkan membawa duit tunai dan dapat rebat atau mata ganjaran setiap kali penggunaan kad kredit. Oleh itu, bagi saya jika kita betul-betul perlu menggunakan kad kredit, mohon dan gunakan satu kad kredit sahaja. 

Sebelum memilih kad kredit mana yang terbaik untuk anda, pastikan diri anda sudah ada sifat-sifat ini:

  • Pandai mengurus kewangan
  • Boleh mengawal nafsu berbelanja
  • Tidak mudah terpengaruh dengan promosi
  • Boleh membezakan antara keperluan dan kehendak
Jika sifat-sifat ini sudah menebal dalam diri anda, barulah anda boleh kelangkah yang seterusnya untuk memilih kad kredit terbaik untuk kegunaan anda.

Cara Memilih Kad Kredit

1. Fahami Terma dan Syarat

Sebelum anda bersetuju untuk menggunakan mana-mana pembekal kad kredit, anda akan diberikan satu dokumen yang menggariskan terma dan syarat pemegangan kad kredit bersama-sama dengan kad kredit anda. Baca dengan teliti syarat dan terma yang diberikan. Kebiasaannya, syarat dan terma yang diberikan meliputi jenis-jenis caj yang dikenakan, hak-hak dan tanggungjawab pemegang kad dan pengeluar kad kreditnya, penggunaan kad kredit, syarat-syarat pembayaran balik, prosedur membuat aduan dan kerahsiaan maklumat kad kredit. 

2. Fahami Caj Kad Kredit

Bagi yang mahu menggunakan kad kredit, anda harus faham bahawa penggunaan kad kredit tertakluk kepada beberapa jenis caj iaitu:

a) Yuran penyertaan (sekiranya ada)

Setiap pengeluar kad kredit mempunyai yuran penyertaan yang berbeza dan adakalanya penyertaan adalah percuma.


b) Yuran tahunan

Ini adalah yuran sama rata yang perlu dibayar setahun sekali. Anda dikehendaki membayar yuran tersebut walaupun anda tidak pernah menggunakan kad kredit anda. Yuran tahunan biasanya adalah di dalam lingkungan RM60 hingga RM90 untuk kad klasik dan RM130 hingga RM195 untuk kad emas.


c) Caj Kewangan (Faedah)

Ini adalah caj yang dikenakan kepada anda oleh pengeluar kad kredit ke atas baki yang belum dijelaskan selepas tarikh tamat tempoh. Caj ini biasanya dikira berdasarkan baki harian. Bermula daripada 1 Julai 2008, kadar faedah yang dikenakan adalah secara bertingkat mengikut amalan pembayaran balik pemegang kad. Ini bertujuan untuk menggalakkan penggunaan kad kredit secara berdisiplin di kalangan pemegang kad. 

d) Yuran Pendahuluan Wang Tunai

Ini adalah yuran yang dikenakan bagi setiap kali pendahuluan wang tunai diperoleh. Yuran ini biasanya 3% hingga 5% daripada jumlah pendahuluan wang tunai yang diambil dan merupakan tambahan kepada caj kewangan yang dikenakan ke atas jumlah pendahuluan yang diberikan kepada anda. Caj kewangan dikira bermula daripada tarikh wang tersebut diambil atau apabila jumlah tersebut tercatat ke dalam akaun kad kredit anda. Jumlah pendahuluan wang tunai ini mungkin dihadkan untuk setiap pelanggan.



e) Caj Bayaran Lewat

Ini adalah caj yang dikenakan jika anda gagal untuk menjelaskan sekurang- kurangnya jumlah bulanan minimum sebelum tarikh yang ditetapkan. Jika anda bayar selepas tarikh tamat tempoh, anda akan dikenakan caj kewangan (faedah ke atas baki belum jelas) dan caj bayaran lewat. Caj bayaran lewat boleh mencecah 1% daripada baki belum jelas atau jumlah maksimum sebanyak RM75 manakala jumlah minimum sebanyak RM5

f) Caj Kewangan, Yuran dan Tempoh tanpa Faedah

Anda boleh menikmati tempoh tanpa faedah, kebiasaannya selama 20 hari dari tarikh urus niaga mula direkodkan (untuk pembelian sahaja) sekiranya anda tidak mempunyai sebarang jumlah tertunggak yang perlu dibayar dari bulan sebelumnya. Oleh itu, sekiranya anda hanya membayar sebahagian atau jumlah minimum baki yang perlu dibayar, anda akan dikenakan faedah ke atas semua pembelian yang dibuat melalui kad kredit anda dari tarikh urus niaga direkodkan.

3. Bandingkan Fi dan Caj

Setiap pengeluar kad kredit mempunyai fi dan caj yang berbeza, sebagai pengguna yang bijak, anda haruslah membuat perbandingan antara setiap pengeluar kad kredit bagi mendapatkan nilai yang lebih untuk langganan kad kredit anda.

Jika anda tiada masa untuk membuat survey terhadap setiap satu kad kredit yang ada di Malaysia ni, anda boleh lawati RinggitPlus untuk membaca perbandingan antara kad kredit di laman tersebut.

4. Hadiah Promosi

Pengeluar kad kredit mungkin menawarkan anda hadiah promosi seperti telefon bimbit, dompet kulit dan sebagainya untuk mempromosikan kad kredit mereka. Walau bagaimanapun, sebelum memohon, adalah penting untuk anda memahami syarat-syarat yang terkandung di dalam tawaran tersebut. Telitilah syarat-syarat yang ditetapkan untuk hadiah promosi dan denda yang akan dikenakan jika syarat-syarat tersebut tidak dipatuhi.

5. Kadar Caj Rendah Sementara

Untuk menarik perhatian anda, pengeluar kad kredit mungkin mengenakan yuran dan caj kewangan pada kadar rendah atau memansuhkan caj-caj tersebut sama sekali untuk sesuatu tempoh masa yang tertentu. Risalah promosi mungkin menitikberatkan kadar faedah permulaan yang rendah dengan saiz fon yang besar dan mudah dibaca, kadang-kadang tanpa mempamerkan tarikh luput. Kadar faedah selepas tamat tempoh promosi pula tidak dinyatakan dengan begitu jelas, iaitu dengan menggunakan saiz fon yang kecil dan mungkin hanya tercatat di sebelah belakang borang permohonan atau di muka surat terakhir risalah promosi yang mengandungi banyak muka surat.

Anda perlu memahami syarat-syarat promosi dan menyedari bila tempoh promosi akan tamat kerana anda mungkin dikenakan caj seperti biasa atau pada kadar yang jauh lebih tinggi setelah tempoh tersebut berakhir.

6. Syariah Komplians 

Sebagai seorang Muslim, adalah penting untuk kita memilih kad kredit yang tidak terlibat dengan sistem riba dan gharar. Pilih kad kredit islamic yang menawarkan kad kredit dengan kadar caj yang kompetitif. Ini adalah penting untuk keselamatan kita di dunia dan juga di akhirat kelak.

Ok?

Itu adalah cara untuk memilih kad kredit bagi yang terfikir untuk menggunakan kad kredit bagi apa tujuan sekalipun. Buatlah perbandingan pengeluar kad kredit dan pilihlah kad kredit yang terbaik untuk anda.

Mendapatkan kad kredit biasanya tidak sukar bagi mereka yang layak (dari segi kewangan), tetapi anda haruslah menggunakan kad kredit tersebut dengan bijak. Di sini saya gariskan beberapa panduan untuk menggunakan kad kredit dengan bijak.


Cara Menggunakan Kad Kredit Dengan Bijak


1. Hadkan Penggunaan Kad Kredit

Hadkan penggunaan kad kredit anda untuk tujuan tertentu sahaja seperti untuk membuat tempahan hotel atau mengisi petrol untuk kenderaan anda. Ini adalah bertujuan untuk mengawal penggunaan kad kredit dan memudahkan pemantauan penggunaan kad kredit. Bagi membeli barangan dapur dan kegunaan harian, digalakkan menggunakan wang tunai.

2. Bayaran Penuh

Buat bayaran penuh sebelum tamat tempoh setiap bulan. Ini adalah penting untuk mengelakkan anda dikenakan caj tambahan dan faedah kerana tidak membayar penuh. Saya cadangkan untuk anda asingkan sedikit gaji anda kedalam akaun khas yang bertujuan untuk membayar hutang kad kredit setiap bulan. 


3. Had Penggunaan Rendah

Had penggunaan biasanya bergantung kepada jenis kad kredit. Pilihlah had penggunaan paling rendah yang anda mampu untuk bayar setiap bulan.


4. Jangan Dedahkan Info Kad Kredit

Info kad kredit anda adalah rahsia besar diri anda. Jangan tulis info kad kredit anda di mana-mana kertas untuk mengelakkan kecurian penggunaan kad kredit.

5. Jangan Bagi Pinjam Kad Kredit

Jangan sesekali memberi kepercayaan kepada orang lain untuk menggunakan kad kredit anda. Ini juga penting untun mengelakkan kecurian maklumat kad kredit anda.

6. Semak penyata penggunaan kad kredit

Pastikan anda menyemak penyata kad kredit anda untuk mengenalpasti sekiranya ada transaksi yang tidak dikenali atau mencurigakan. Sekiranya ada sebarang transaksi yang mencurigakan, maklumkan kepada pengeluar kad kredit anda.


7. Jangan simpan maklumat kad kredit 

Jika anda pernah membeli secara atas talian menggunakan kad kredit, jangan simpan maklumat kad kredit anda sebagai cara bayaran kerana ini akan menyebabkan anda kerap membeli secara atas talian dan juga boleh menyebabkan maklmumat kad kredit anda dicuri.

8. Jangan Guna Kad Kredit

Tips ini adalah yang paling saya suka ;-) Jika anda rasakan diri anda tidak dapat mengawal diri dari berbelanja, elok tak payah guna langsung kad kredit.

Ingatlah bahawa kad kredit adalah kad hutang. Membeli dengan kad kredit adalah membeli secara hutang dan perlu dibayar dikemudian hari. Jangan suka-suka swipe sana sini akhirnya perit untuk membayar hutang kad kredit.

Setelah saya membaca semua maklumat berkaitan dengan kad kredit, saya percaya bahawa cara terbaik untuk mengawal perbelanjaan dan berjimat dalam perbelanjaan adalah dengan membeli secara tunai. Walaubagaimanapun, saya percaya ada pengguna yang boleh mengawal diri semasa menggunakan kad kredit dan dapat menggunakannya dengan bijak.

Terima kasih kerana membaca Cara Memilih Dan Menggunakan Kad Kredit. 

Fikir dulu sebelum Swipe! ;-)

Sumber rujukan:

Back To Top