WHAT'S NEW?
Loading...

Cara Mengenalpasti Scam Kesihatan


Apa itu scam kesihatan? Apa yang saya faham adalah ianya merupakan salah satu taktik yang digunapakai oleh syarikat yang tidak bertanggungjawab dalam memasarkan produk kesihatan mereka. Secara jujurnya, kadangkala saya pelik kenapa ramai orang yang mudah percaya dengan pelbagai tuntutan kesihatan yang dinyatakan oleh syarikat-syarikat pengeluar produk ini.

Saya juga yakin bukan semua produk itu 'indah khabar dari manfaatnya', mungkin ada produk yang betul-betul berkesan tetapi jika tuntutan kesihatan yang dinyatakan melampau, itu adalah sesuatu yang boleh memesongkan kefahaman pengguna.

Saya tertarik dengan satu post Facebook yang ditulis oleh seorang doktor berkenaan Scam Kesihatan ini. Oleh kerana saya tidak mampu untuk menulis berkaitan scam kesihatan ini seteliti beliau, saya hanya kongsikan apa yang beliau tuliskan di sini. Semua kredit adalah untuk Dr Affiq Rahim 

---------------------------------------------------------------------------------
Kebelakangan ini kita melihat lambakan produk kesihatan dan kecantikan samada di kedai-kedai kosmetik mahupun di media sosial.

Lihat sahaja di kedai-kedai yang menjual supplement atau herba atau produk kosmetik, anda pasti akan rambang mata melihat satu persatu produk keluaran tempatan. 

Di Facebook pula, para peniaga rancak menjalankan aktiviti pengiklanan FB Ads untuk menarik dan memukau 'targetted' pengguna untuk mencuba produk kesihatan mereka. 

Namun begitu hal yang lebih membimbangkan adalah produk kesihatan dan kecantikan ini diiklankan lebih MUJARAB dan seribu kali "POWER" daripada ubat-ubat yang dicipta oleh syarikat farmaseutikal di makmal mereka yang jauh lebih canggih dan terkini.

Produk-produk pseudosains atau palsu ini diiklankan mampu menyembuh seribu satu penyakit, menyambung tulang hanya dengan menggunakan kad ion negatif, herba mujarab yang menyembuhkan penyakit kronik, ubat penyakit kronik bawah lidah dan pelbagai lagi dakwaan kehebatan luar biasa produk mereka.

Lebih bingung dakwaan keberkesanannya hanya disandarkan kepada TESTIMONI semata-mata dan bukan bukti SAINTIFIK melalui penyelidikan makmal atau secara KLINIKAL (Kajian ke atas manusia). 

Inilah yang dinamakan SCAM KESIHATAN.

=====
SCAM KESIHATAN: ANCAMAN KESIHATAN ZAMAN MODEN
=====

Sebelum ini, jika kita merujuk perkataan SCAM ianya diassosiasikan dengan penipuan DUIT samada secara online atau SKIM CEPAT KAYA. 

SCAM Kesihatan telah wujud beratus tahun lagi namun semakin cepat berkembang pada era teknologi dan informasi di hujung jari. 

SCAM KESIHATAN adalah merujuk kepada PENIPUAN produk atau servis kesihatan dengan mendakwa ianya berkesan merawat atau menyembuh penyakit atau sebarang masalah kesihatan. Akan tetapi, produk atau servis tersebut tidak terbukti secara kaedah saintifik, tidak selamat dan tidak effektif untuk menyelesaikan masalah pesakit. [1]

Penipuan produk dilakukan samada dengan penjualan ubat, peralatan kesihatan, makanan supplemen, servis kesihatan atau produk kosmetik. 

Pemasaran produk tipu pula dilakukan samada melalui Surat Khabar, Majalah, Komersial TV, Radio dan terkini adalah Blog dan Media Sosial seperti Facebook, Instagram dan YouTube. Bagi yang lebih advance, mereka akan mengupah artis, selebriti atau pendakwah/ustaz untuk mempromosikan produk tipu tersebut dan memukau masyarakat untuk mempercayai kehebatan produk mereka. 

=====
7 Tips MengenalPasti SCAM Kesihatan [2]
=====

1. SATU PRODUK, PENAWAR BANYAK PENYAKIT

Berhati-hati jika produk/ servis yang ditawarkan berupaya menyembuhkan pelbagai jenis penyakit dengan hanya sejenes produk/servis sahaja. 

Ada iklan di FB yang mendakwa Herba Ajaib mereka mampu menyembuhkan penyakit KANSER, penyakit KRONIK seperti Kencing Manis, penyakit SENDI seperti GOUT, penyakit berjangkit seperti HIV, Hepatisi dan bermacam-macam lagi.

Sudah pasti produk sebegini adalah satu pembohongan dan tiada kajian langsung tentang keberkesanannya. Produk dihasilkan bukan daripada kajian makmal tetapi berdasarkan petua-petua orang zaman dahulu atau bersandarkan kepada mitos kesihatan semata-mata.

2. PRODUK YANG BERSANDARKAN TESTIMONI

Pesakit dinasihatkan berhati-hati jika produk tersebut gagal menunjukkan kajian makmal / klinikal yang dijalankan ke atas produk mereka. Peniaga akan berulang kali menunjukkan kejayaan testimoni pengguna. Contohnya:

"Alhamdulillah, selepas pakai produk XXX, gula makcik turun daripada 11 kepada 2.0. Doktor pon terperanjat tengok gula tu."  

Persoalannya, berapa banyak pula testimoni kegagalan produk mereka atau adakah sahih testimoni tersebut daripada pengguna sendiri atau direkacipta untuk melariskan jualan? 

3. PENYEMBUHAN EKSPRESS / SEGERA

Sesetengah rawatan perubatan moden mengambil masa yang lama untuk sembuh atau berada dalam keadaan terkawal penyakit mereka. Kebanyakkan adalah penyakit KANSER, KRONIK seperti KENCING MANIS, DARAH TINGGI, KEGAGALAN BUAH PINGGANG dan banyak lagi. 

Oleh itu berhati-hati jika ada produk atau servis yang menawarkan penyembuhan ekspress seperti 
.
"HILANG BERAT BADAN 30kg DALAM MASA 7 HARI" atau 
"BEBAS KENCING MANIS DALAM MASA SEMINGGU" atau 
"KANSER SEMBUH DALAM MASA 5 HARI" dan yang sewaktu dengannya.   

4. PRODUK SERATUS PERATUS NATURAL / ALAMI

Kebanyakkan agensi kesihatan samada dalam dan luar negara telah membuktikan kebanyakan produk scam kesihatan mengandungi bahan terlarang pada dos merbahaya dan bahan kimia tersebut boleh meragut nyawa pengguna. 

Pengguna dinasihatkan tidak tertipu dengan dakwaan produk mereka tiada bahan kimia tanpa produk tersebut mendapat sijil pengesahan atas dakwaan mereka daripada pihak berautoriti. 

5. PRODUK/RAWATAN AJAIB 

Sistem amaran kita perlu sentiasa aktif apabila melihat iklan seperti berikut:  
"Penemuan Ajaib" atau
"Rahsia Merawat bla...bla..bla TERBONGKAR" atau
"Sains Membuktikan Hanya Dengan Mengambil produk XXX....masalah kesihatan sembuh" atau yang sewaktu dengannya untuk penyakit-penyakit yang serius seperti Kanser, Jantung, Kencing Manis dan pelbagai lagi. 

Sekiranya penawar tersebut dijumpai, Kementerian Kesihatan Malaysia akan mengkaji terlebih dahulu dan mewar-warkannya jika terbukti benar sebagai kaedah rawatan terkini. 

Berita sahih penemuan tersebut tidak akan muncul di iklan FB Ads, Iklan Komersial TV, Iklan Radio dan sebagainya.

6. TEORI KONSPIRASI

Di Barat, syarikat farmasi dan agensi kesihatan dituduh berkerjasama untuk menyembunyikan 'penawar ajaib' untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

Di Malaysia juga lebih kurang sama cuma sentimen agama dan bangas akan sering dilaungkan untuk menakut-nakutkan pengguna seperti:
" Ini adalah agenda YAHUDI dan Nasrani untuk melemahkan UMAT ISLAM" atau
" Konspirasi Rothschild" atau 
" Konspirasi Big Pharma dan Kerajaan Malaysia untuk mengaut keuntung" dan yang sewaktu dengannya. 

Ini adalah taktik "Fear Factor" yang digunakan oleh scammer kesihatan untuk mengalih perhatian kepada produk pseudosains mereka dan juga menakutkan pengguna agar mempercayai helah mereka.

7. MENGGUNAKAN AGAMA

Kini, banyak produk kesihatan menggunakan dalil atau justifikasi agama untuk melariskan produk mereka. Tidak dinafikan hadis-hadis sahih tentang perubatan oleh Nabi Muhammad SAW atau ayat-ayat AL-Quran sebagai as-syifa untuk kesihatan kita. 

Namun, yang menjadi masalah apabila para scammers kesihatan mentafsir ayat al-quran atau hadis tanpa neraca ilmu, tanpa pengetahuan bahasa Arab, tanpa mendengar syarahan ulama tentang hadis dan ayat-ayat quran tersebut lalu didakwa produk XXX ini adalah selari dengan tuntutan hadis atau ayat al-quran tersebut.

Begitu juga sebarang produk yang kononnya dibacakan ayat al-quran 30 juzu oleh para huffaz yang didakwa mampu menyembuh pelbagai jenis penyakit. Ada yang dibongkarkan bahawa ianya tipu belaka dan pengeluar hanya meletakkan radio atau speaker bacaan al-quran ke atas tong-tong air yang disediakan di kilang mereka.  

Sama juga produk makanan sunnah atau servis kesihatan yang kononnya dapat melancarkan perjalanan darah, membaiki sel-sel tisu yang rosak, membuang sel kanser dan sebagainya tanpa mengemukakan bukti saintifik tentang dakwaan tersebut bersama dalil yang sahih. 

Bak kata Kata Dr. Salah al-Khalidi:

“Sesungguhnya sebahagian manusia telah tersalah dalam hubungan mereka dengan al-Quran. Mereka memasuki alam al-Quran (menghayati al-Quran) yang luas dengan cara yang tidak betul… ada pula yang mengambil al-Quran dengan niat serta latarbelakang tertentu, juga tujuan yang hendak diperolehinya maka dia menyelewengkan jalannya, memutar belitkannya, memaksa-maksa dalil dan nas serta memayah-mayahkan ulasan untuk dijadikan alasan bagi dirinya..”[3].

Berhati-hatilah kita dengan scammers kesihatan yang menunggang agama hatta imej mereka yang berkopiah dan memakai gelaran agama. 

Ada banyak lagi tips mengenalpasti scam kesihatan yang akan saya kongsikan dalam artikel lain pula. 

=====
Kesimpulan
=====

Seperti mana-mana sistem scam/penipuan ianya bermatlamat mengaut keuntungan semata-mata. Jika scam kewangan / skim cepat kaya, kesan paling jelas adalah kerugian wang.

Namun bagi scam kesihatan kesannya lebih parah daripada kehilangan wang sahaja. Pengguna boleh kerosakan buah pinggang, kegagalan fungsi hati, risiko dipotong kaki kerana gangrene, kesan alahan teruk sehingga anaphylaxis dan paling merbahaya adalah MAUT. 

SCAM Kesihatan juga antara punca pesakit lambat mendapatkan rawatan awal di premis kesihatan. Sikap bertangguh dan suka mencuba produk kesihatan terlebih dahulu tidak akan menyelesaikan masalah kesihatan mereka bahkan memburukkan keadaan lagi sehingga ramai yang menyesal selepas mendapat komplikasi yang teruk. 

Penguatkuasaan ke atas aktiviti para scammers bukanlah mudah. Masyarakat perlu sentiasa peka dan segera melaporkan kepada Kementerian Kesihatan jika anda mengesyaki wujudnya elemen scam kesihatan samada di internet mahupun di dunia nyata. 

Orang awam boleh menyemak status pendaftaran produk dengan melayari laman sesawang Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) iaitu www.bpfk.gov.myatau menghubungi BPFK di talian 03-78835400. 

Sekiranya didapati terdapat produk tidak berdaftar dalam pasaran atau mengesyaki wujud elemen scam kesihatan, orang ramai digalakkan untuk membuat aduan kepada Bahagian Perkhidmatan Farmasi, KKM melalui laman sesawang www.pharmacy.gov.my atau talian 03-78413200/3396.

Jangan jadi Mangsa Scam Kesihatan. Jadi Bijak, Peka dan Berhati-Hati dengan setiap produk kesihatan atau kecantikan. 


=====
Rujukan
=====
2. “Health fraud.” National Library of Medicine, 11 May 2016. Web. 29 May 2016. https://www.nlm.nih.gov/medlineplus/healthfraud.html
3. Salah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi, Mafatih li al-Ta`amul ma`a al-Quran, m.s 90, Jordan: Dar al-Manar. http://drmaza.com/home/?p=429
4. FDA. Health Fraud Scams …are Everywhere - FDA Fact Sheet. 2011. http://www.fda.gov/downloads/ForConsumers/ProtectYourself/HealthFraud/UCM302359.pdf

Tahniah saya ucapkan kepada Dr Affiq Rahim kerana berani bersuara di dalam hiruk pikuk pelbagai promosi produk kesihatan :-) Bagi pengeluar, pengedar dan stokis pula, pastikan anda jujur dalam membuat sebarang tuntutan kesihatan dan berlaku jujur kepada para pengguna anda.


click tracking