WHAT'S NEW?
Loading...

Cara Meningkatkan Semangat Untuk Tulis Blog

Tulis Blog

Bagi blogger baru, menulis blog pada permulaan pastinya dengan penuh semangat, tetapi lama kelamaan, setiap blogger pasti akan merasakan kurang semangat untuk tulis blog dan juga untuk memikirkan apa yang nak ditulis dalam blog. Disebabkan itulah lama-kelamaan blog akan terabai dan blogger meninggalkan blog yang ditulis begitu sahaja. Dalam pengamatan dan pengalaman saya sendiri, ada beberapa sebab kenapa perkara ini terjadi.

Tiada Sebab dan Matlamat Untuk Tulis Blog

Objektif atau sebab untuk menulis blog adalah sesuatu yang perlu difikirkan sejak awal penyediaan dan penulisan blog. Tanpa sebab yang kukuh, kita akan cepat berputus asa dalam buat blog yang berjaya. Fikirkan sebab dan matlamat untuk anda tulis blog dan fokus dengan sebab dan matlamat tersebut. Catatkan dengan jelas matlamat anda dan fokus untuk mencapai matlamat tersebut.

Tiada trafik

Masalah untuk menarik trafik pastinya akan dan pernah dilalui oleh hampir semua blogger baru. Ya, termasuk saya sendiri. Perlu diingatkan bahawa trafik tidak akan datang bergolek ke blog kita. Bagi blog baru, kitalah yang perlu promosikan blog kita kepada orang lain supaya dikenali dan diketahui kewujudannya. Dalam masa sama belajar teknik SEO serba sedikit. Kita tidak perlu menjadi pakar SEO dahulu baru nak buat blog. Ianya boleh bergerak seiringan.

Tak Pandai Buat Blog

Ada juga yang berhenti tulis blog disebabkan kekurangan ilmu dalam menyediakan blog itu sendiri. Tidak dinafikan serba sedikit kita perlu tahu tentang teknikal dalam menyediakan blog. Tetapi sebenarnya mudah sahaja untuk menyediakan dan mula menulis di blog. Atau jika anda betul-betul tidak tahu untuk buat blog, boleh upahkan orang lain untuk buatkan blog. Boleh cuba cari perkhidmatan buat blog di iLancee.

Tiada Income

Siapa yang tak nak buat duit dengan blog kan? Memang menjadi cita-cita blogger untuk buat duit dengan blog tetapi tidak semua dapat berjaya dengan blog. Konsistensi dan strategi amat penting dalam menjana income melalui blog. Bagi saya, apa yang lebih penting adalah niat untuk membantu orang lain terlebih dahulu dan tulis blog dengan hati. InsyaAllah blog kita akan menjana pendapatan.

Tiada masa tulis blog

Bagi part time blogger, masalah utama untuk menulis blog adalah masa. Tiada masa yang cukup untuk tulis blog. Bagi saya sendiri, menulis blog perlukan masa yang sesuai dan selesa selepas penat bekerja di siang hari. Masa terbaik untuk saya menulis blog adalah selepas jam 12 malam (selepas tidurkan anak). Apa yang cuba saya sampaikan adalah, setiap orang mempunyai masa dan kita perlu uruskan masa kita untuk menulis blog. Buat jadual harian untuk tulis blog anda sendiri kerana setiap orang mempunyai kekangan masing-masing.

Bagi saya, untuk blog kita dikenali adalah memakan masa. Mungkin dengan ilmu menarik trafik dan teknik SEO akan mempercepatkan sedikit proses tersebut. Tetapi tulis blog tetap memerlukan penulisan yang berterusan. Itu adalah pandangan saya dalam memahami dunia penulisan blog. Orang lain mungkin ada pandangan yang berbeza. Apa yang saya kongsikan adalah dari perspektif diri dan hidup saya.

Ok.

Seterusnya, saya nak kongsikan pula cara untuk meningkatkan semangat untuk terus tulis blog.

cara Tulis Blog

1. Perhatikan blog orang lain

Berjuta-juta blog telah dihasilkan di dunia ini. Pilih beberapa blog yang anda rasa suka dan berminat dengan teknik dan gaya penulisan mereka. Tidak kiralah blogger tempatan atau antarabangsa, anda perlu ada panduan untuk menulis blog. Perhatikan gaya penulisan mereka dan cuba aplikasikan dalam blog anda. Bukan tiru, tetapi lebih kepada belajar cara dan gaya penulisan blog.

2. Perhatikan blogger yang telah berjaya

Rasanya banyak blogger yang telah berjaya menjana pendapatan melalui blog. Jadikan mereka sebagai contoh dan semangat untuk kita terus berusaha menulis blog dan insyaAllah tidak mustahil kita juga akan berjaya seperti mereka dikemudian hari.

3. Lihat Stat Blog

Melihat statistik blog boleh memberikan anda semangat atau menurunkan semangat. Jika stat menaik, kita akan terus bersemangat untuk menulis blog dan sebaliknya mungkin berlaku jika stat kita tidak bergerak atau menurun. Tetapi inilah dunia penulisan blog. Setiap orang akan mengalami turun naik.

4. Blog tentang sesuatu yang diminati

Amat penting untuk memulakan blog dengan topik yang kita minati. Jika anda minat berkongsi kehidupan seharian anda, teruskan tulis blog tentang kehidupan anda. Untuk blog ini, saya kongsikan kompilasi pelbagai cara yang saya pelajari. Saya belajar sesuatu dan dalam masa sama mengajar orang lain yang mungkin mengalami masalah yang sama.

5. Lihat pendapatan blog

Secara jujurnya, sejak blog ini dibuat pendapatannya tidaklah banyak mana. Hanya cukup untuk membayar domain untuk beberapa tahun lagi. Tapi itulah antara yang memberikan saya semangat untuk terus berusaha memberikan yang terbaik untuk para pembaca blog saya.

6. Tambah ilmu tentang blog

Penulis blog perlu sentiasa mengikuti perkembangan dunia blogger. Mungkin ada perubahan dalam cara menarik trafik dan teknik SEO dan sebagainya yang kita boleh aplikasi dalam blog kita dari masa ke semasa. Selain daripada itu, kita juga perlu menambah ilmu luar dari dunia blog kerana lebih banyak ilmu baru kita dapat, lebih banyak kita boleh kongsikan dalam blog kita.

7. Betulkan niat untuk blog

Niat untuk tulis blog hendaklah sentiasa disemak dari masa ke semasa. Jangan terlalu mementingkan duit dan mengambil kesempatan ke atas kelemahan orang lain. Sebaliknya, berikan yang terbaik dalam blog kita dan insyaAllah duit akan datang dengan sendirinya.

8. Selalu dengar motivasi pasal blog

Saya tidak pasti samada ada atau tidak podcaster untuk blog dari Malaysia. Tetapi terdapat beberapa blogger dari luar negara seperti di Darren (Problogger) dan Pat Flyn (Smartpassiveincome) yang saya ikuti mereka di Podcast yang menerangkan tentang selok belok menjadi penulis blog. Saya kerap dengar podcast semasa di dalam kenderaan terutamanya ketika pergi bekerja. Podcast-podcast sebegini akan menaikkan semangat saya untuk terus tulis blog.

9. Cari teman berblog

Teman berblog adakalanya penting untuk memberikan idea yang bernas untuk pembangunan blog kita. Jika ada rakan anda yang turut berminat untuk menulis blog, berikan mereka peluang untuk menulis di blog anda. Dalam masa sama, ia dapat mengelakkan dari kita terasa bersendirian dan membantu kita dalam penulisan artikel dalam blog kita.

Ok. Itulah serba sedikit cara meningkatkan semangat untuk terus tulis blog yang saya sendiri amalkan. Saya percaya setiap orang akan ada cara tersendiri untuk meningkatkan motivasi untuk terus tulis blog. Saya harap anda boleh kongsikan cara anda memotivasikan diri untuk terus menulis blog di ruangan komen sebagai panduan kita bersama.

Terima kasih kerana membaca Cara Meningkatkan Semangat Untuk Terus Tulis Blog. Jangan lupa untuk follow saya di Google+ dan Facebook sebagai tanda sokongan terhadap blog ini. Terima kasih.

0 comments:

Catat Ulasan

click tracking