Bagi yang sudah mula menyimpan, mesti mereka tahu bahawa untuk menyimpan duit merupakan sesuatu yang bukan mudah. Perkara yang lebih susah lagi adalah untuk mengekalkan simpanan tersebut. Di sini saya ingin berkongsi tentang 5 cara untuk mengekalkan duit simpanan yang kita dah bersusah payah simpan untuk masa depan / kecemasan / persaraan dan lain-lain kegunaan lagi.
Simpan di Tabung Haji
Tabung Haji amat dikenali sebagai sebuah bank bagi orang yang mahu menunaikan ibadah haji, tetapi tabung haji juga sebenarnya amat bermanfaat untuk sesiapa sahaja yang hendak menyimpan dan mengekalkan simpanan mereka. Saya lebih menyukai konsep simpanan tabung haji yang dahulu iaitu simpanan tidak boleh dikeluarkan kecuali penyimpan datang ke kaunter bersama buku simpanan. Bunyinya amat melecehkan dan sebab itu simpanan kita lebih mudah dikekalkan. Bagi memudahkan lagi penyimpanan ke dalam tabung haji, kaedah potongan gaji amat dicadangkan. Bermula lah membuat potongan gaji walaupun dengan hanya RM50 sebulan. Berapapun simpanan yang kita mulakan tidak penting, yang lebih penting, mulakan dari sekarang. Dan bila duit sudah cukup untuk pendaftaran haji, cepat-cepat mendaftar haji. Bila dapat nak pergi haji tu bergantung kepada rezeki masing-masing
Melabur di Fundsupermart.com
Saya yakin tidak ramai yang mengetahui tentang pelaburan di Fundsupermart. Fundsupermart merupakan platform atas talian untuk pelaburan unit amanah. Tetapi sebelum mendaftar, dinasihatkan untuk mendapatkan ilmu berkenaan Unit Amanah ni. Boleh berjumpa dengan agen pelaburan atau jika tiada masa, boleh membaca buku-buku berkaitan dengan unit amanah. Salah satu buku yang bermanfaat adalah buku Rahsia Melabur dalam Unit Amanah yang ditulis oleh Tuan Sunthara Segar. Buku ini menerangkan bagaimana untuk mengelakkan dari kerugian apabila melabur dalam unit amanah dan tiada resepi rahsia untuk cepat kaya dengan unit amanah.Â
Kebaikan melabur di dalam Fundsupermart adalah anda tidak memerlukan agen dan cas bayaran agen tidak dikenakan. Tetapi dalam masa yang sama penyelidikan untuk setiap pelaburan yang akan diambil perlu dilakukan oleh kita sendiri.Â
Terdapat pilihan pelaburan yang patuh syariah dan tidak patuh syariah. Bergantung kepada anda untuk memilihnya.Â
Kebanyakan kos jualan dan belian unit yang dilaburkan adalah 2% (tidak termasuk GST). Pelaburan boleh dilakukan secara manual (bila ada duit) atau melalui potongan gaji. Minimum pelaburan adalah lingkungan RM500-RM1000 dan tambahan pelaburan seterusnya minimum dari RM100-RM200.Â
Takaful dengan simpanan
Terdapat pelbagai jenis syarikat takaful di Malaysia dan setiap syarikat takaful ada menyediakan takaful berserta pelaburan / simpanan. Walaupun ramai yang tidak mengesyorkan mengambil takaful beserta simpanan kerana kurang dividen / pulangan yang diberikan, tetapi bagi saya, pelan tersebut adalah baik bagi seseorang yang ingin menyimpan secara tetap. Saya sendiri menggunakan BSNPru Takaful dengan simpanan. Setiap bulan saya akan membuat pembayaran takaful RM300 (RM100 takaful + RM200 simpanan). Bayaran simpanan adalah bergantung kepada diri kita sendiri untuk tetapkan semasa kontrak dibuat. Dalam masa 3 tahun, tanpa disedari, jumlah tekumpul dalam dana simpanan takaful saya sudah mencecah RM8000+.
Jumlah simpanan hanya dapat diperiksa oleh agen yang anda daftar. Jadi kita tidak akan tahu jumlah sebenar simpanan yang terkumpul dalam tabung simpanan kita. Cara untuk mengeluarkan simpanan juga agak leceh (tapi bermanfaat untuk sesiapa yang nak kekalkan simpanan /pelaburan).Â
Simpanan Emas
Emas adalah antara medium pelaburan yang sentiasa mendapat perhatian. Pelaburan emas sebenarnya adalah sebuah pelaburan untuk jangka masa panjang bukannya pelaburan sehari dua. Bagaimana menyimpan emas dapat mengekalkan simpanan? Secara logiknya, tiada orang yang pergi membeli belah dengan membawa sebiji gold bar / dinar emas. Walaubagaimanapun , emas boleh (tetapi tidak digalakkan) dipajak sekiranya keadaan memaksa atau berlaku sebarang kecemasan.
Psikologi manusia juga secara automatik akan 'menyayangi' emas dan secara automatik juga emas tersebut akan disimpan sahaja (tetapi sentiasa bernilai!)
Nota : Simpanan emas yang telah cukup nisab dan haulnya mesti dikeluarkan zakat 2.5% dari nilai semasa emsa tersebut.
Antara syarikat yang dipercayai untuk pembelian dan penjualan semula emas adalah Public Gold kerana emas-emas keluaran syarikat tersebut mempunyai kecairan yang tinggi. Dan kebanyakan syarikat emas lain hanya membeli balik emas yang mereka jual. Mulakan pelaburan/simpanan emas dari kecil-kecilan seperti 1 dinar atau 1g gold bar setiap bulan. Sebelum belajar melabur emas, boleh baca ebook percuma daripada Tuan Zulkifli untuk mendalami ilmu pelaburan / simpanan emas ini.
Simpanan Perak
Simpanan perak kurang popular kerana kecairannya yang rendah iaitu tidak mudah ditunaikan / dipajak semula selepas dibeli. Walaubagaimanapun, kebanyakan para penganalisis pelaburan logam berharga mengesyorkan pelaburan perak kerana dalam jangka masa panjang, pulangannya dijangka akan melampaui pulangan pelaburan emas. Ini adalah kerana perak banyak digunakan dalam industri berbanding emas yang hanya digunakan untuk perhiasan diri. Sumber asli perak juga semakin berkurangan berbanding keperluan industri.Â
Sekiranya pelaburan/simpanan jangka masa panjang menjadi pilihan anda, simpanan perak adalah salah satu daripada pilihan yang anda ada. Antara syarikat yang menjual dan membeli perak adalah Public Gold dan Buysilvermalaysia. Kedua-duanya mempunyai reputasi yang baik.Â
Terima kasih kerana membaca Cara Mengekalkan Duit Simpanan. Kongsikan cara anda mengekalkan duit simpanan anda di ruangan komen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan