Cara Ibu Hamil Tidur Dengan Lena


Cara Ibu Hamil Tidur Dengan Lena. Ibu yang hamil, khususnya yang berada dalam trimester ketiga pastinya menghadapi kesukaran, lebih-lebih lagi untuk mendapatkan tidur yang sempurna pada waktu malam. Hal ini adalah disebabkan oleh keadaan janin yang semakin membesar dan menyukarkan pergerakan ibu, malah menjadikan keadaan mereka tidak selesa, lebih-lebih lagi dalam keadaan yang berbaring. 

Terdapat pelbagai alternatif dan cara yang boleh dilakukan oleh ibu yang hamil serta pasangan mereka bagi mendapatkan tidur yang sempurna.

1. Tempat tidur yang selesa

Perkara paling penting yang boleh dilakukan oleh ibu hamil, ataupun pasangan ialah dengan menyediakan tempat tidur yang selesa dan sesuai. Tempat tidur yang selesa, bersih dan kemas dapat menjamin kualiti tidur seseorang ibu hamil, malah pasangan mereka boleh membantu untuk menjadikan tempat tidur tersebut sebagai suatu tempat rehat yang paling aman untuk ibu hamil. 

Bersihkan tempat tidur daripada barang-barang yang tidak sepatutnya seperti buku, majalah, longgokan kain ataupun alat kawalan televisyen agar ia kemas dan ibu juga tenang untuk menyiapkan diri bagi mendapatkan tidur yang sempurna. Selain itu, ibu hamil juga boleh menyiapkan minyak aromaterapi atau haruman yang sesuai di dalam bilik bagi mencipta suasana yang menenangkan seterusnya membantu ibu untuk tidur lebih sempurna.

2. Posisi Tidur

Selain daripada itu, ibu hamil juga boleh mencuba untuk tidur dalam posisi yang berbeza daripada kebiasaan mereka. Tidur dalam kedudukan yang mengiring dikatakan posisi yang paling sesuai dan selesa bagi ibu yang sedang hamil. Ini kerana dalam kedudukan mengiring, terutamanya apabila mengiring ke sebelah kiri, ia dapat membantu pengaliran darah kepada fetus dan ginjal ibu hamil. 

Tidur dalam kedudukan yang terlentang, lebih-lebih lagi dalam trimester ketiga, adalah tidak digalakkan untuk ibu hamil kerana ia boleh memberi tekanan kepada usus dan mengganggu pengaliran ke jantung. Ibu hamil juga boleh menggunakan bantal yang banyak sebagai sokongan kepada kedudukan dalam tidur. Bantal boleh diletakkan di bawah perut ketika dalam kedudukan mengiring bagi memberi keselesaan dan bantal juga boleh diletakkan di bahagian belakang sebagai sokongan.

3. Pengambilan Air 

Masalah lain yang seringkali dihadapi oleh ibu hamil yang dapat mengganggu kualiti tidur mereka ialah kerap terjaga dan bangun pada pertengahan waktu tidur untuk membuang air kecil. Keadaan ini boleh dielakkan sekiranya ibu hamil mengurangkan pengambilan air pada waktu malam dan hanya melebihkan pengambilan air pada waktu siang hari. 

Selain itu, ibu hamil juga boleh mengamalkan pengambilan susu sebelum tidur. Susu bukan sahaja membantu bagi mendapatkan kandungan yang sihat, malah susu juga dapat membantu ibu hamil bagi mendapatkan tidur yang lebih nyenyak dan berkualiti.

4. Urutan

Bagi mendapatkan tidur yang lebih sempurna pada malam hari, ibu hamil juga boleh mencuba kaedah urutan seluruh badan bagi melegakan bahagian badan yang lenguh atau sakit. Pasangan boleh membantu untuk melakukan urutan ini selama 10 hingga 15 minit setiap hari, untuk bahagian yang sering memberi kesakitan kepada ibu hamil seperti belakang, kaki dan bahu. 

Urutan ini bukan sahaja dapat melancarkan pengaliran darah, malah membantu melegakan emosi ibu hamil. Urutan sebegini juga dapat mengeratkan kasih sayang antara pasangan dan seterusnya mempengaruhi emosi ibu untuk tenang dan mendapat tidur yang sempurna.

5. Senaman Ringan

Melakukan senaman ringkas yang bersesuaian dengan keadaan ibu hamil juga dapat membantu mereka untuk tidur dengan lebih baik. Senaman pernafasan yang dilakukan sebelum tidur boleh membantu agar ibu hamil berasa tenang dan melegakan tekanan yang mereka hadapi. 

Selain itu, senaman ringkas yang lain juga boleh membantu menguatkan kandungan dan melancarkan pengaliran darah kepada janin dan jantung. Ini seterusnya memberi peluang kepada ibu untuk berehat dan tidur dengan sempurna pada malam hari. 

6. Irama Mendidik Jiwa

Di samping itu, ibu hamil juga boleh mendengar alunan muzik atau bacaan ayat Al-Quran yang menenangkan diri mereka sebelum tidur. Muzik yang menenangkan atau ayat Al-Quran ini boleh membantu ibu hamil sebagai suatu proses meditasi atau melapangkan fikiran. Hasil daripada ketenangan ini dapat membantu ibu untuk tidur dengan betul dan lebih sempurna.

2 ulasan:

  1. yeah memang best tips ni. saya pun ada praktikkan masa preggy anak-anak yang sebelum ni. Alhamdulillah selesa.

    BalasPadam
  2. Ya saya waktu hamil mmg perlukan tmpt yang luas & selesa, untuk kurangkan pengambilan air waktu malam tu boleh diganti ke waktu siang kan.

    Sebabnya waktu hamil ni boleh sembelit kalau tak cukup minum air.

    BalasPadam

Back To Top