Cara Didik Anak Lelaki


Cara Didik Anak Lelaki. Anak-anak adalah anugerah yang paling bernilai kepada setiap pasangan yang bergelar ibu bapa. Setiap anak harus diberi didikan yang sempurna sesuai dengan peralihan umur yang mereka lalui. Cara untuk mendidik anak lelaki dan anak perempuan adalah berbeza dan pendekatan yang digunakan untuk kedua-duanya juga adalah sedikit berbeza. 

Karakter dan tingkahlaku anak lelaki yang secara zahirnya lebih kasar dan lasak menjadikan kaedah untuk mendidik anak lelaki turut berbeza berbanding anak perempuan yang lebih lebut dan sensitif jiwanya.

Anak lelaki secara lahirnya kelihatan seperti agak sukar untuk diatur dan keras perilakunya, dan mereka mungkin sukar untuk menerima teguran berbanding anak perempuan.

1. Zahirkan Kasih Sayang

Pendekatan paling berkesan untuk mendidik anak lelaki dengan berkesan ialah dengan mengajar anak-anak lelaki untuk menunjukkan kasih sayang mereka dengan terbuka. Anak lelaki lazimnya sukar untuk menunjukkan kasih sayang meskipun terhadap ibu bapa dan adik-beradik mereka sendiri.

Anak-anak lelaki harus diasuh untuk menunjukkan kasih sayang mereka, dan tidak malu untuk mengucapkan kata-kata sayang kepada ibu bapa dan adik-beradik mereka. Di sinilah peranan ibu bapa untuk memupuk kasih sayang kepada anak-anak lelaki dan menunjukkan contoh kasih sayang agar mudah untuk diikuti oleh anak-anak lelaki.

2. Beri Sokongan

Selain itu, pendekatan yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk mendidik anak lelaki ialah dengan menyokong setiap tindakan dan aktiviti berfaedah yang dilakukan oleh anak-anak lelaki. Ini adalah penting bagi mendukung pembentukan karakter anak-anak lelaki dan seterusnya menyokong cita-cita yang mereka ingini. Ibu bapa tidak seharusnya menghakimi apa yang ingin dilakukan oleh anak-anak lelaki dan menolak setiap minat yang dijalani oleh mereka.

Apa yang paling penting bagi ibu bapa ialah dengan menilai apakah minat dan aktiviti yang diminati oleh anak-anak lelaki tersebut berfaedah dan tidak melanggar batasan agama serta moral. Sokongan yang ditunjukkan terhadap anak-anak ini boleh sama ada berbentuk sokongan moral atau sokongan secara fizikal.

Sokongan moral ini amat penting dalam membentuk emosi yang stabil untuk anak-anak lelaki dan membina karakter yang baik dalam diri anak lelaki. Sokongan secara fizikal pula adalah dengan menyediakan kelengkapan yang sewajarnya sejajar dengan minat yang diingini oleh anak-anak tersebut.

Sebagai contoh, sekiranya anak lelaki minat dan suka untuk bermain bola sepak, maka adalah wajar bagi ibu bapa untuk menyediakan pakaian, kasut dan bola yang bersesuaian dengan kehendak anak tersebut. Hal ini sekaligus dapat menjadi galakan dan bimbingan yang positif kepada anak lelaki dan menjadikan mereka sebagai seorang anak yang berkeyakinan dalam diri hasil sokongan berterusan daripada ibu bapa.


3. Beri Tanggungjawab

Di samping sokongan yang berterusan, anak-anak lelaki juga perlu diasuh untuk menjadi seorang ketua dan bertanggungjawab atas setiap tindak tanduk dan perbuatan yang mereka lakukan. Ini adalah penting bagi menjadikan mereka seorang lelaki yang baik serta menghormati orang lain dewasa kelak.

Anak lelaki ini harus didedahkan dengan rasa tanggungjawab dengan memberikan mereka peranan serta tugasan tertentu dalam kegiatan seharian di rumah, meskipun hanya dengan membasuh pinggan dan cawan yang mereka gunakan sendiri.

Tanggungjawab dan tugas-tugas kecil yang diberikan kepada anak-anak lelaki ini boleh menjadi permulaan bagi mereka membiasakan diri untuk melakukan kerja-kerja rumah dan turut sama membantu ibu mereka melakukannya.

Selain daripada dapat membentuk peribadi yang baik dalam diri mereka, tugasan-tugasan ini boleh membuatkan mereka sedar bahawa setiap daripada individu perlu bertanggungjawab atas apa yang mereka lakukan dan tidak meminta orang lain untuk melakukannya bagi diri mereka.

4. Bersikap Terbuka

Selain itu, ibu bapa juga harus bersikap terbuka dengan anak-anak lelaki ini. Keterbukaan ini merangkumi perkongsian cerita atau pengalaman dengan anak-anak mengenai apa yang pernah dilalui dan juga turut terbuka dalam menjadi pendengar kepada kisah anak lelaki tersebut.

Ibu bapa khususnya seorang bapa boleh berkongsi kisah mereka ketika zaman persekolahan untuk dikongsi kepada anak lelaki dan membiarkan mereka memahami bagaimana kehidupan bapanya pada waktu kecil dahulu. Ini secara tidak langsung boleh menimbulkan rasa hormat anak tersebut terhadap ibu bapanya kerana tiada rahsia yang disimpan dan merasakan bahawa mereka juga boleh berkongsi kisah yang serupa kepada ibu bapa.

Sekaligus, ia menjadikan anak ini lebih peka dengan perasaannya dan tidak segan untuk bercerita masalah yang mereka hadapi dengan ibu bapa mereka.

5. Bersabar

Mendidik anak lelaki lebih mencabar dan perlukan kesabaran yang tinggi. Adalah penting untuk ibu bapa sentiasa bersabar semasa melayan kerenah anak lelaki yang lebih aktif dan bertenaga. Pastikan bahawa kemarahan ibu bapa tidak menyebabkan proses pembelajaran anak lelaki terbantut dan menyebabkab mereka takut untuk mencuba sesuatu yang baru.

6. Sentiasa Nasihat

Menjadi tanggungjawab ibu bapa semasa mendidik anak-anak untuk sentiasa memberi nasihat demi nasihat tanpa jemu supaya anak tahu yang mana salah dan yang mana betul. Nasihat kali pertama mungkin masih belum difahami oleh anak tersebut, tetapi jika ianya diulang-ulang, pastinya lama kelamaan nasihat tersebut akan melekat dalam minda anak.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Back To Top