Cara Mohon Kerja Kerajaan dan Soalan Lazim Permohonan Jawatan Kerajaan


Cara Mohon Kerja Kerajaan. Saya percaya masih ramai yang ingin bekerja sebagai penajwat awam tetapi masih tertanya-tanya bagaimana cara untuk memohon kerja kerajaan dan pelbagai persoalan yang mungkin timbul.

Salah satu yang menjadi tarikan untuk bekerja di sektor awam adalah kerana kelebihan-kelebihan yang diperolehi oleh penjawat awam.

Kini, permohonan untuk memohon jawatan dalam kerajaan semuanya perlu dibuat secara atas talian. Ikuti soalan-soalan lazim serta jawapan, berkenaan permohonan kerja kerajaan. Semoga ia dapat membantu anda yang masih tercari-cari cara untuk memohon kerja kerajaan. 



Soalan Lazim Cara Mohon kerja Kerajaan.

1. Bagaimanakah untuk memohon jawatan dalam kerajaan ? 

Permohonan untuk memasuki perkhidmatan awam persekutuan hendaklah dibuat secara online di Portal Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia iaitu www.spa.gov.my di Pendaftaran Pekerjaan Dalam Perkhidmatan Awam (SPA8i).

2. Bagaimana ingin mendapatkan Identity Number (MyID) bagi mengisi Pendaftaran Pekerjaan Dalam Perkhidmatan Awam (SPA8i) ?

Pemohon perlu mencipta Identity Number (MyID) dan kata laluan sendiri dengan klik “Daftar Akaun Baru” dan boleh merujuk manual panduan daftar akaun baru di tetingkap (Pendaftaran Pekerjaan Dalam Perkhidmatan Awam (SPA8i)).

3. Bagaimana saya ingin mengemaskini pendaftaran saya ?

Setelah calon berjaya mencipta MyID dan kata laluan (selepas proses pendaftaran), pemohon termasuklah dari kategori Pegawai Sedang Berkhidmat/PSL boleh mengemaskini semua data permohonan pendaftaran pada bila-bila masa sahaja tanpa perlu menghubungi SPA.

4. Apakah jawatan yang sesuai dengan kelulusan akademik saya ?

Maklumat mengenai kesesuaian jawatan yang dipohon dengan kelulusan akademik boleh didapati di ruangan Maklumat Jawatan (Gaji/Syarat Lantikan/Deskripsi Jawatan). Pemohon yang memiliki ijazah dibenarkan memohon jawatan yang mensyaratkan kelayakan masuk lebih rendah, walau bagaimanapun hanya sehingga peringkat Diploma/STP/STPM/STAM/HSC sahaja (one step lower).

5. Bilakah iklan jawatan kosong disiarkan ?

Mulai tahun 2009, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia tidak lagi mengiklankan kekosongan jawatan di akhbar seperti yang biasa dilakukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia sebelum ini sebanyak 2 kali setahun. 

Walau bagaimanapun Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia menyiarkan iklan sepanjang masa di portal Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia. Oleh itu, para pemohon juga boleh menyemak maklumat yang dimaksudkan serta perkara lain berkaitan dengannya dan mereka boleh memohon jawatan yang diminati yang sesuai dengan kelayakan yang mereka miliki. 

Permohonan boleh dibuat pada bila-bila masa sepanjang tahun. Selain itu, penerbitan iklan juga boleh dilakukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia pada bila-bila masa mengikut kesesuaian berdasarkan keperluan urusan pengambilan jawatan tertentu.

6. Perlukah saya menghantar biodata/maklumat peribadi (resume) untuk memohon jawatan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia ?

Tidak perlu. Pemohon hanya dikehendaki mengisi dengan teliti dan sempurna semua maklumat yang diperlukan dalam borang permohonan. Walau bagaimanapun, dokumen yang mengandungi maklumat tersebut serta dokumen lain yang berkaitan perlu dibawa pada hari temu duga.

7. Mengapa saya perlu memperbaharui pendaftaran ?

Setiap pendaftaran perlu diperbaharui dengan menggunakan MyID yang telah diberikan walaupun pemohon tidak pernah dipanggil peperiksaan atau temu duga dalam tempoh satu (1) tahun. Ini membolehkan SPA mendapatkan serta menyimpan maklumat terkini pemohon yang benar-benar berminat di dalam bank data SPA. 

Selain itu ia juga mengelakkan pemohon terlepas peluang untuk dipertimbangkan panggilan temuduga disebabkan tempoh sah laku pendaftaran yang telah luput selepas tempoh satu (1) tahun. Bagi pemohon PSL dan Pegawai Sedang Berkhidmat, pembaharuan pendaftaran juga perlu dilakukan sendiri dengan mendapatkan MyID terlebih dahulu di Pendaftaran Pekerjaan Dalam Perkhidmatan Awam (SPA8i).

Adalah dimaklumkan, SPA juga telah membangunkan aplikasi mudah alih mySPA8i dengan kerjasama MAMPU yang merupakan alternatif kepada Sistem Pendaftaran Pekerjaan Dalam Perkhidmatan Awam (SPA8i). mySPA8i terdiri daripada beberapa modul : -
  1. Pendaftaran MyID;
  2. Reset Kata Laluan;
  3. Maklumat Pemohon;
  4. Maklumat Akademik;
  5. Maklumat Kokurikulum;
  6. Maklumat Tambahan;
  7. Pegawai Sedang Berkhidmat;
  8. Jawatan Dipohon; dan
  9. Pengakuan Pemohon.
Selain itu, SPA juga telah membangunkan aplikasi mudah alih mySPAv2. Aplikasi ini bertujuan memberi kemudahan kepada pemohon yang telah berdaftar membuat semakan bagi urusan berikut:
  1. Semakan MyID
  2. Jadual Temu duga
  3. Keputusan Temu duga
  4. Jadual Peperiksaan
  5. Keputusan Peperiksaan
  6. Berita
  7. Hubungi Kami

8. Adakah semua institusi pengajian tinggi diiktiraf?

Tidak semua institusi pengajian tinggi (IPT), terutamanya institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), sama ada di dalam atau di luar Negara yang diiktiraf oleh Kerajaan. Oleh itu mereka yang ingin berkhidmat dengan Perkhidmatan Awam perlu memastikan IPT dan program pengajian telah diiktiraf oleh Kerajaan. Semakan senarai IPT dan program pengajian boleh dibuat melalui pautan https://app.mohe.gov.my/iktiraf/index.php?pg=1

9. Bolehkah saya memohon jawatan yang mensyaratkan kelayakan masuk yang lebih rendah?

Boleh berdasarkan kepada prinsip one step lower sahaja, Contoh: Jika anda memiliki kelayakan Diploma/STP/STPM/STAM/HSC anda boleh memohon jawatan yang mensyaratkan kelayakan masuk SPM/SPM(V)/SPMV/Sijil (bergantung kepada syarat lantikan). Demikian juga pemohon yang memiliki kelayakan ijazah sarjana muda di peringkat ijazah kepujian/am boleh memohon jawatan yang mensyaratkan kelulusan di peringkat Diploma/STP/STPM/STAM/HSC (bergantung kepada syarat skim lantikan) dengan syarat pemohon mempunyai kelayakan di peringkat Diploma/STPM STP/STPM/STAM/HSC berkenaan. Walau bagaimanapun, kelayakan di peringkat matrikulasi masih belum diiktiraf Kerajaan bagi maksud pelantikan dalam perkhidmatan awam.

10. Apa akan berlaku jika saya menolak tawaran jawatan?

Calon yang telah ditawarkan jawatan tetapi menolak tawaran tersebut tidak akan dikenakan apa-apa tindakan.

11. Adakah kumpulan pemohon yang diberi pertimbangan khas?

Orang Kurang Upaya (OKU), Orang Asli, peserta Program Pembasmian Rakyat Termiskin (PPRT) / Program Kesejahteraan Rakyat (PKR) dan Penerima Bantuan dari Kerajaan akan diberi pertimbangan berdasarkan tapisan khas yang ditetapkan. Mereka ini akan dipanggil temu duga berdasarkan tapisan kelayakan minimum yang ditetapkan dalam skim perkhidmatan atau iklan. Walau bagaimanapun semasa menghadiri temu duga, pemohon ini dikehendaki membawa dokumen berkaitan bagi membuktikan kesahihan tersebut.

12. Apakah keistimewaan pemohon dari kalangan pegawai kontrak?

Pegawai Kontrak juga dianggap sebagai Pegawai Sedang Berkhidmat (PSB) dan diberi keistimewaan dari segi tapisan yang lebih longgar/rendah berbanding dengan calon lantikan terus untuk dipanggil temu duga.

Walaubagaimanapun, pertimbangan pemilihan mereka tertakluk kepada prosedur dan peraturan yang sama seperti yang dikenakan kepada pemohon lantikan terus. Ini bermakna mereka tidak akan dilantik tetap secara automatik walaupun terdapat kekosongan jawatan yang mereka pohon.

13. Adakah calon pemegang biasiswa Kerajaan diberi keistimewaan?

Pemohon dari kalangan pemegang biasiswa Kerajaan tidak diberi sebarang keistimewaan. Mereka tertakluk kepada prosedur yang sama seperti yang terpakai kepada pemohon lain dan pertimbangan pemilihan mereka bergantung kepada merit.

14. Adakah pengalaman bekerja di sektor swasta diambil kira?

Tidak diambil kira. Namun demikian calon boleh memohon penetapan gaji masuk yang lebih tinggi berdasarkan pengalaman jawatan yang disandang dan kelayakan yang diperolehi.

15. Apakah kelebihan menyertai Perkhidmatan Awam?

Di antara kelebihan/kemudahan yang diperolehi setelah menyertai perkhidmatan awam adalah seperti Elaun Perumahan, Cost of Living Allowance (COLA), Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA), kenaikan gaji setiap tahun, kemudahan pinjaman kenderaan, cuti tahunan mengikut kelayakan, cuti bersalin serta pinjaman perumahan.

16. Adakah berlakunya diskriminasi di antara pelajar IPTA/IPTS?

Semua pemilihan calon akan dinilai secara adil/sama rata tidak kira sama ada calon dari IPTA/IPTS berdasarkan tapisan dan merit yang ditetapkan. Selain itu, semua calon yang melepasi tapisan akan dinilai berdasarkan prestasi semasa ditemu duga.

Sekiranya saya mempunyai Diploma, adakah saya boleh memohon jawatan bertaraf SPM?
Pemegang Diploma dibenarkan untuk memohon jawatan bertaraf SPM manakala Pemegang Ijazah boleh memohon jawatan bertaraf Diploma (sekiranya calon mempunyai Diploma).

17. Perlukah saya memperbaharui permohonan saya walaupun saya telah lulus peperiksaan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia atau status saya sebagai calon simpanan sebelum ini? Sekiranya saya memperbaharui permohonan saya, adakah ianya akan menjejaskan keputusan peperiksaan yang saya telah hadiri dan lulus?

Perlu. Sekiranya permohonan pendaftaran pemohon telah tamat tempoh sah laku maka pemohon perlu memperbaharui pendaftaran tersebut. Pembaharuan borang pendaftaran tidak akan menjejaskan keputusan peperiksaan atau status calon simpanan sebelum ini. Hanya maklumat yang diisi semasa mengisi borang pendaftaran sahaja yang akan berubah.

18. Adakah pilihan jawatan yang dipilih diberikan prioriti mengikut turutan pilihan seperti pendaftaran?

Panggilan temu duga bagi sesuatu jawatan bukanlah berdasarkan turutan pilihan jawatan semasa pendaftaran. Proses dibuat apabila berlakunya permohonan pengisian kekosongan jawatan oleh Kementerian/Jabatan. Sekiranya jawatan tersebut termasuk dalam pilihan jawatan yang dibuat, maka calon akan dipanggil temu duga.

19. Saya telah mendaftar dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia. Bilakah saya akan dipanggil temu duga?

Semua pemohon yang telah berdaftar dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia akan dipertimbangkan panggilan temu duga sekiranya:

  1. Terdapat kekosongan jawatan yang dipohon;
  2. Memenuhi syarat skim perkhidmatan jawatan yang dipohon; dan
  3. Melepasi asas tapisan dan merit yang ditetapkan.
  4. Setiap pemohon boleh menyemak pendaftaran melalui pautan Semakan Status Pendaftaran di Portal Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia. Semua status pendaftaran akan dikemaskini dalam tempoh masa 1 hari.

20. Kenapa saya tidak dipanggil temu duga?

Ada pelbagai sebab mengapa seseorang pemohon itu tidak dipanggil temu duga walaupun telah lama berdaftar dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia seperti:

  1. Tiada urusan pengambilan dijalankan disebabkan tiada laporan kekosongan jawatan dikemukakan oleh Kementerian/Jabatan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia;
  2. Permohonan yang dikemukakan oleh pemohon tidak lengkap dan tidak berjaya didaftarkan dalam bank data Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia;
  3. Pendaftaran pemohon telah luput tempoh sah laku pendaftaran dan pemohon tidak memperbaharuinya;
  4. Pemohon tidak memenuhi syarat yang ditetapkan dalam iklan atau dalam skim perkhidmatan bagi jawatan dipohon; dan
  5. Pemohon tidak melepasi asas tapisan dan merit yang ditetapkan oleh Suruhanjaya.

21. Apa akan berlaku jika saya tidak hadir temu duga ?

Pemohon yang tidak menghadiri panggilan temu duga tidak akan disenaraihitamkan.

22. Bolehkah saya menukar tarikh temu duga ?

Boleh dengan syarat mendapat kebenaran Suruhanjaya. Permohonan pertukaran tarikh temu duga terutama yang melibatkan pusat temu duga di Sabah dan Sarawak perlu dikemukakan dengan segera dengan menyertakan nama, no. kad pengenalan, no. telefon, jawatan, tarikh temu duga asal, tarikh temu duga baru dan alasan pertukaran bagi mendapatkan kebenaran Suruhanjaya. Permohonan boleh dikemukakan secara bertulis, faks atau emel kepada:

Urus Setia Temu Duga Bahagian Pengambilan Khas (Jawatan Bagi Kumpulan Sokongan II /Separa Perubatan):

Puteri Baginda Siti Noor Azura binti Saharudin
Emel : noorazura@spa.gov.my
Tel : 03-88806244

Urus Setia Temu Duga Bahagian Pengambilan (Jawatan Bagi Kumpulan Sokongan I /Kumpulan Pengurusan & Profesional)

Semua Pegawai Gred 41 dan ke atas (Sila rujuk Direktori Emel/Telefon di portal Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia)

Tel : 03-88856354 Faks : 03-88885044

23. Berapa lamakah masa yang diambil untuk dipanggil temu duga selepas proses pendaftaran di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia?

Tiada tempoh yang ditetapkan bagi proses di atas kerana selepas selesai proses pendaftaran, semua data permohonan akan disimpan di dalam Bank Data Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia. Proses tapisan hanya akan dijalankan setelah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia menerima laporan pengisian kekosongan jawatan dari Kementerian/Jabatan. Pemohon yang melepasi tapisan semasa akan dipanggil oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia bagi menghadiri ujian/ temu duga berdasarkan jawatan yang dipohon.

24. Mengapakah saya tidak berjaya dalam temu duga ?

Calon yang gagal temu duga disebabkan prestasi temu duga yang kurang memuaskan. Sebagai contoh, tidak membuat persediaan dari segi fizikal, tiada pengetahuan berkaitan jawatan yang ditemu duga, tidak membawa dokumen yang lengkap, personaliti yang tidak bersesuaian dan lain-lain kriteria yang diambil kira oleh panel temu duga. Semua panel temu duga yang dilantik mempunyai pengalaman serta lebih arif dalam perihal jawatan yang berkaitan bagi pemilihan calon yang bersesuaian untuk dilantik dalam perkhidmatan awam.

25. Mengapa saya tidak tersenarai dan tidak dipanggil dalam urusan temu duga yang dijalankan?

Antara sebab-sebab utama pemohon tidak berjaya dalam urusan panggilan temu duga yang dijalankan adalah disebabkan calon tidak melepasi asas tapisan semasa yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia berdasarkan jawatan yang dipohon dan tidak berjaya dalam peperiksaan khas yang dilaksanakan bagi jawatan yang berkaitan. Contohnya bagi permohonan latihan separa perubatan yang mana pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia mengutamakan pemohon yang memiliki sekurang-kurangnya Kepujian dalam subjek Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik bagi mendapatkan calon-calon yang bersesuaian serta berkebolehan untuk mengikuti latihan tersebut.

26. Adakah proses untuk dipanggil temu duga dibuat berdasarkan tarikh pendaftaran seseorang calon atau dengan kata lain calon yang mendaftar lebih awal akan diberi peluang untuk ditemu duga terlebih dahulu ?

Semua permohonan calon yang diterima sebelum tarikh tutup akan diproses. Calon-calon yang berjaya melepasi tapisan dan kriteria yang ditetapkan Suruhanjaya akan dipanggil temu duga tanpa mengambil kira tarikh pendaftaran seseorang calon itu.

27. Saya merupakan pemegang diploma. Perlukah saya membawa diploma dan transkrip semasa menghadiri temu duga sedangkan temu duga yang saya hadiri adalah jawatan yang mensyaratkan kelulusan SPM sahaja?

Calon perlu membawa diploma dan transkrip ketika menghadiri temu duga walaupun jawatan tersebut hanya mensyaratkan kelulusan SPM sahaja kerana berdasarkan panggilan surat temu duga, calon perlu membawa semua kelayakan akademik yang telah diperolehi oleh calon tersebut.

1 ulasan:

Back To Top