Cara Ajar Anak Cepat Pandai Membaca


Cara Ajar Anak Cepat Membaca. Sejak menjadi viral berkaitan pelajar tahun 1 dinasihatkan untuk mesti pandai membaca dengan lancar, ramai ibu bapa mulai risau tentang perkembangan pembelajaran anak-anak mereka. Ada yang memberikan pandangan yang positif, ada juga yang memberikan pendapat yang agak negatif.

Walaubagaimana pun, pada saya mengajar kanak-kanak membaca haruslah bermula dari rumah. Ibu bapa adalah guru pertama kanak-kanak bukan sahaja dari segi akhlak, malah dari segi akademik.

Pada kali ini saya nak kongsikan beberapa langkah yang boleh kita amalkan untuk membantu anak-anak belajar membaca.

Buku Rujukan Yang Baik

Salah satu bahan rujukan yang baik yang dicadangkan oleh kebanyakan ibu-ibu adalah set belajar membaca Bacalah Anakku. Buku ini dijual bersekali dengan video pengajaran. Dan anda juga boleh tonton video pembelajaran menggunakan set Bacalah Anakku di Youtube.

Masa Belajar

Kebanyakan para ibu yang dah berjaya mengajar anak mereka membaca menyatakan tempoh pembelajaran terutamanya sesi belajar membaca untuk anak-anak berusia 4-5 tahun adalah dalam lingkungan kurang dari 5-10 minit.

Lebih dari 10 minit anak-anak akan hilang fokus dan mula bosan serta akan buat perkara lain. Oleh itu, gunakan 10 minit yang diperuntukan itu dengan sebaiknya untuk mengajar anak-anak.





Video Belajar

Gunakan video bantuan pengajaran untuk anak-anak anda. Ini akan membantu anak untuk lebih memahami pelajaran yang diajar dan juga menarik minat anak untuk bermain sambil belajar.

Walaubagaimana pun, jangan jadikan video sebagai pengganti anda untuk mengajar anak-anak. Video hanyalah sekadar alat bantuan bukannya menggantikan anda untuk mengajar anak.

Bermain Sambil Belajar

Tempoh 10 minit yang diperuntukkan itu adalah waktu formal untuk belajar. Ini tidak bermakna, waktu lain mereka tidak perlu belajar. Kita boleh selitkan pelajaran yang diajar semasa waktu formal tadi semasa mereka bermain.

Sebagai contoh, mereka belajar suku kata 'bo', kita boleh ulang semula pelajaran tersebut semasa bermain 'bola' bersama anak-anak. Begitulah seterusnya.

Belikan Buku

Selain daripada mengajar anak mengeja dan membaca, kita juga perlu terapkan minat anak terhadap membaca. Salah satu cara adalah dengan membawa anak-anak ke kedai buku dan juga sediakan satu sudut khas di dalam rumah sebagai perpustakaan mini.

Ibu bapa juga perlu tunjukkan contoh yang baik dengan kerap membaca kerana anak-anak mudah mengikuti apa yang ibu bapa mereka lakukan.

Belajar Secara Berperingkat

Sebaik-baiknya buat permulaan, ajar anak mengenal huruf kecil dahulu. Kalau awal-awal guna huruf besar, atau campurkan huruf besar dan kecil dalam satu masa, makin keliru anak jadinya.

Lagipun kebanyakan ayat menggunakan huruf kecil, jadi biasakan dulu dia mengenal huruf kecil. Lama kelamaan bila dia dah faham dan kenal semua huruf kecil, baru ajar secara perlahan-lahan huruf besar. Insyaallah dia tak mudah keliru.


Sabar

Mengajar anak hendaklah dengan penuh kesabaran. Ini kerana anak anda mungkin tidak faham pada kali pertama dan perlu ulangan beberapa kali sebelum mereka boleh ingat. Anda juga perlu faham bahawa, tahap penerimaan setiap kanak-kanak adalah berbeza antara satu sama lain.

Jangan suka membandingkan proses pembelajaran anak dengan orang lain mahupun dengan adik beradik yang lain.

Uji Anak

Uji anak pada bila-bila masa. Contohnya masa bawa dia keluar berjalan-jalan, setiap kali nampak papan iklan atau plet kereta, cuba tanya dia huruf-huruf yang dia boleh baca. Ataupun masa korang tengah bersantai menonton tv bersama-sama, cuba minta anak sebut perkataan yang dia boleh nampak.

Sedikit sebanyak kita akan tau sejauh mana anak mampu memahami semua yang dia dah belajar selama ni. Sama ada dia mampu kenal huruf atau membaca perkataan yang mudah. Itu akan beri anda satu tanda aras di mana kemampuan membaca anak-anak pada masa tu. Jadi anda boleh tahu bahagian yang dia lemah.

Inilah antara tips untuk ajar anak cepat membaca. Saya juga masih mempraktikkan untuk anak sulong saya yang berusia 4 tahun 😊

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Back To Top