Cara Buat Duit Dengan Forex Online Trading


Cara Buat Duit Dengan Forex. Boleh ke buat duit dengan Forex? Persoalan boleh atau tak buat duit dengan Forex  sebenarnya boleh dibincangkan dari 2 sudut yang berbeza. 

Sudut yang pertama adalah point utama iaitu cara buat duit dengan menyertai Forex dan sudut ke dua adalah apa sebenarnya hukum buat duit dengan Forex. Forex itu sendiri sebenarnya ada dua iaitu forex offline dan forex online.

Saya sendiri mula mengetahui tentang pelaburan Forex online ini beberapa tahun yang lepas. Ramai juga kawan-kawan yang menyertai forex ini dengan pelbagai jenis teknik. Ada yang secara manual dan ada juga yang menggunakan software khas.

Tetapi saya sendiri tidak pernah cuba menyertai forex. Ini adalah kerana kebanyakan dari pembacaan saya menunjukkan skim forex secara online dihukumkan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Sebelum saya bercerita lebih panjang berkenaan forex, ada baiknya saya terangkan sedikit apa sebenarnya yang dikatakan sebagai Forex.

Forex adalah singkatan bagi Foreign Exchange iaitu tukaran wang asing. Secara umumnya konsep buat duit dengan forex online ni adalah hampir sama dengan Trader Saham. Beli masa harga rendah, jual semasa harga mahal.  

Sejak akhir-akhir ini, nampaknya pelaburan Forex trading online kembali menambat minat ramai. Ramai yang menunjukkan kehebatan Forex trading online yang boleh untung besar setiap hari. Ada juga hanya menggunakan bantuan robot yang menjalankan urusniaga secara automatik; atau boleh bayar lebih untuk teknik copy; iaitu anda cuma perlu tiru sahaja daripada pemain Forex online yang lain.

Apa Status Buat Duit Dengan Forex Online di Malaysia?

Menurut pembacaan saya, tiada satu pun broker-broker online tempatan atau luar negara menawarkan Forex Trading Online yang halal.

Boleh baca sedikit keterangan di:





Berikut adalah kenyataan rasmi yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan Pada Februari 2012:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012 telah membincangkan Hukum Perdagangan Pertukaran Matawang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual Spot Forex) Melalui Platfom Elektronik.Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

Setelah mendengar taklimat dan penjelasan pakar daripada Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (ISRA) serta meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik adalah melibatkan item ribawi (iatu mata wang) dan dari sudut fiqhiyyah ia tertakluk di bawah hukum Bay al-Sarf yang perlu dipatuhi syarat-syarat umum jual beli dan syarat-syarat khusus bagi Bay al-Sarf seperti berikut:

Syarat-syarat umum jual beli:

  1. Pihak yang berakad mestilah mempunyai kelayakan melakukan kontrak (Ahliyyah al-Ta’aqud);
  2. Harga belian hendaklah diketahui dengan jelas oleh kedua-dua pihak yang berakad;
  3. Item belian hendaklah suatu yang wujud dan dimiliki sepenuhnya oleh pihak yang menjual serta boleh diserahkan kepada pembeli;
  4. Sighah akad hendaklah menunjukkan keredhaan kedua-dua pihak, tidak ada unsur penempohan dan sighah ijab dan qabul mestilah bersepadanan dan menepati antara satu sama lain dari sudut ciri-ciri dan kadarnya.

Syarat-syarat khusus Bay al-Sarf:

  1. Berlaku taqabbudh (penyerahan) antara kedua-dua item yang terlibat dalam platform forex sebelum kedua-dua pihak yang menjalankan transaksi berpisah daripada majlis akad;
  2. Jual beli matawang hendaklah dijalankan secara lani dan tidak boleh berlaku sebarang penangguhan; dan
  3. Akad jual beli al-sarf mesti bebas daripada khiyar al-Syart.

Selain memenuhi syarat-syarat tersebut, Muzakarah juga menegaskan bahawa operasi perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) hendaklah bebas daripada sebarang unsur riba, elemen al-Salaf wa al-Bay (pemberian hutang dengan syarat dilakukan transaksi jual beli), unsur perjudian, gharar yang berlebihan dan kezaliman atau eksploitasi.

Berdasarkan kajian terperinci yang telah dilakukan, Muzakarah mendapati bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik mengandungi unsur-unsur seperti riba melalui pengenaan rollover interest, pensyaratan jual beli dalam pemberian hutang melalui leverage, qabd yang tidak jelas ketika transaksi pertukaran, penjualan mata wang yang tiada dalam pegangan dan spekulasi yang melibatkan perjudian. Selain itu ianya juga tidak sah dari sisi undang-undang Kerajaan Malaysia.

Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik yang ada pada masa ini adalah haram kerana ia bercanggah dengan kehendak syarak dan juga tidak sah dari sisi undang-undang negara. Selaras dengan itu, umat Islam adalah dilarang daripada melibatkan diri dalam perdagangan mata wang seumpama ini.

Muzakarah juga menegaskan bahawa keputusan yang diputuskan ini tidak terpakai ke atas urus niaga pertukaran mata wang asing menerusi kaunter di pengurup wang berlesen dan urus niaga pertukaran mata wang asing yang dikendalikan oleh institusi-institusi kewangan yang dilesenkan di bawah undang-undang Malaysia.

Sumber asal: e-Fatwa




Walaupun keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan sudah dikeluarkan sejak 2012, masih terdapat ramai yang tidak mengendahkan fatwa tersebut. Ada juga yang menyatakan bahawa buat duit dengan Forex online ni halal kalau ada ilmu.

Walaupun ramai yang ghairah untuk mencari duit secara online. Pada saya, online forex trading bukanlah cara  buat duit yang sesuai kerana terdapat banyak kesamaran dalam pelaburan tersebut. 

Terdapat banyak lagi cara untuk buat duit secara online yang lebih jelas modus operandinya dan menghasilkan duit yang lebih berkat. Daripada melabur di forex online adalah lebih baik melabur di saham yang patuh syariah, jual barang secara online dan lain-lain lagi cara buat duit yang boleh diceburi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Back To Top