Cara Memilih Nama Anak Dalam Islam


Apabila sesebuah pasangan mendapat berita mereka akan dikurniakan dengan cahaya mata, mereka akan mula mencari nama yang sesuai untuk anak tersebut. Adakalanya anak di dalam kandungan baru sahaja beberapa bulan, nama telah tersedia untuk bayi tersebut. 

Memilih nama anak dalam Islam hendaklah mematuhi beberapa panduan yang telah digariskan dalam agama. Ini kerana nama yang kita berikan itu akan menjadi sebahagian daripada kehidupan anak tersebut. Selain itu, nama itu juga akan menjadi doa untuk anak tersebut setiap kali nama mereka dipanggil.

Bila nak beri nama?

Memilih atau mencari nama untuk anak boleh dimulakan pada bila-bila masa sahaja. Tetapi menetapkan nama pada seorang bayi disunatkan dilakukan pada hari ke 7 kelahiran bayi tersebut. Dan disunatkan juga untuk diaqiqahkan serta di cukur rambut bayi tersebut pada hari yang sama. Perlu diingatka bahawa perkara ini adalah perkara sunat dan sekiranya terdapat halangan untuk dilakukan semasa hari ke 7 tidaklah menjadi masalah yang besar mahupun berdosa kepada ibu bapa bayi tersebut.


Nama Dalam Islam

Setiap perkataan yang keluar daripada mulut kita adalah satu doa. Jika baik perkataan yang keluar, maka itu adalah satu doa yang baik. Jika buruk perkataan yang keluar, maka itu menjadi doa yang tidak baik untuk dirinya. Nama-nama yang terbaik adalah dengan mengambil nama-nama Nabi dan Rasul, para sahabat dan para salihin. Semoga akhlak anak tersebut menjadi baik sepertimana pemilik asal nama tersebut.


1. Maksud yang baik

Pastikan bahawa nama yang diberikan mempunyai maksud yang baik yang boleh memberikan anak tersebut doa yang baik setiap kali nama mereka dipanggil. Untuk memastikan nama yang dipilih mempunyai maksud yang baik, kita boleh merujuk kepada para ustaz dan ustazah atau sekurang-kurangnya membuat rujukan daripada sumber bacaan. Bunyi nama yang sedap tidak semestinya mempunyai maksud yang baik.

Perlu juga diketahui bahawa nama dalam islam tidak semestinya dalam bahasa arab selagi mana ianya mempunyai maksud yang baik dalam bahasa tersebut.


2. Pastikan Ejaan

Anda juga perlu pastikan ejaan bagi nama tersebut dalam tulisan rumi dan jawi. Ini adalah kerana maksud nama yang anda pilih mungkin boleh berubah bergantung kepada bagaimana nama tersebut dieja dalam bahasa arab. Sebagai contoh, nama yang bermula dengan huruf A boleh dieja dengan huruf jawi Alif (أ) ataupun Ain (ع). Kedu-duanya akan memberikan maksud yang berlainan dalam bahasa arab walaupun dari segi tulisan rumi dieja dengan ejaan yang sama.

3. Mudah dipanggil dan disebut

Menjadi trend masa kini memberikan nama anak dengan 3 atau 4 patah perkataan. Nama yang dipilih pun bukan main kompleks untuk disebut. Secara umumnya tiada halangan untuk memberikan nama sebegitu selagi ia memberikan maksud yang baik. 

Tetapi yang menjadikan ianya kurang baik adalah apabila memanggil nama anak tersebut, ia dipanggil dengan nama timangan yang tiada kaitan pun dengan nama mereka seperti 'Boboi' dan lain-lain. Dan sekiranya anak tersebut bersekolah kelak, kawan-kawan dan guru pun agak sukar untuk memanggil mereka. Adalah lebih baik jika memberikan nama yang ringkas yang mudah disebut dan nama panggilan boleh terus menggunakan nama sebenar mereka. 

4. Mudah ditulis

Kadangkala rasa agak kasihan dengan anak yang mempunyai nama yang terlalu panjang kerana mereka sendiri agak sukar untuk menulis nama semasa baru mula bersekolah. Ramai juga guru yang mengadu agak sukar untuk menulis nama anak murid kerana nama mereka yang terlalu panjang dan sukar untuk disebut.

Ok?

Inilah tips ringkas cara memilih nama anak dalam islam. Secara keseluruhannya, perkara yang paling penting semasa memilih nama dalam islam adalah dengan  memilih nama yang mempunyai maksud yang baik. Semoga nama tersebut menjadi doa yang baik untuk anak-anak kita.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Back To Top