Cara Penyimpanan Susu Ibu Yang Terbaik

Penyimpanan Susu Ibu

Hampir semua ibu ingin menyusu penuh anak-anak mereka sehingga genap berumur 2 tahun. Tetapi bukan semua orang dapat peluang tersebut. Ini semua bergantung kepada rezeki setiap ibu tersebut. Ada yang dapat menyusukan setahun, ada yang dapat menyusukan 6 bulan dan lain-lain. Bagi yang dapat menyusukan anak penuh 2 tahun, anda haruslah bersyukur dan tidak sesekali merendahkan orang yang tidak berkemampuan untuk berbuat demikian.

Artikel kali ini bukanlah untuk berhujah tentang menyusu badan atau tidak, tetapi hanyalah sedikit perkongsian cara untuk menyimpan stok susu ibu. Saya sememangnya tidak menyusukan anak (sebab isteri saya yang susukan anak), tetapi bagi saya, pengetahuan bagaimana cara penyimpanan susu ibu perlu diketahui oleh para suami dan ahli keluarga juga untu memastikan susu ibu yang telah diperah akan dapat mengekalkan nutrien sepertimana ianya segar dari badan ibu.

Ok.

Setelah susu di pam, susu hendaklah disimpan dalam bekas yang sesuai sama ada di dalam botol susu ataupun di dalam plastik ziplock penyimpanan susu. Perlu diingatkan bahawa sekiranya menggunakan plastik ziplock untuk menyimpan susu ibu, plastik tersebut hanya boleh digunakan sekali sahaja. Jika penyimpanan menggunakan botol susu, botol tersebut boleh digunakan berulang kali. Tetapi keburukan botol pula adalah ianya memakan ruang yang besar dalam peti sejuk kita. Botol lebih sesuai digunakan sekiranya kita ada freezer khas untuk penyimpanan susu yang diperah.

Setiap kali selepas perahan, tuliskan tarikh anda memerah susu pada bekas simpanan. Ini adalah penting untuk memastikan susu yang diperah dahulu akan digunakan terlebih dahulu. Sebaik-baiknya, susunkan susu perahan mengikut tarikh dengan yang paling awal di bahagian hadapan dan yang terkemudian di bahagian belakang. 

Walaubagaimanapun, kajian telah menunjukkan bahawa, lebih lama anda simpan susu ibu yang diperah tidak kira sama ada di dalam peti sejuk atau di dalam freezer, kandungan Vitamin C dalam susu ibu tersebut akan semakin berkurangan. 

Suhu Bilik

Susu ibu yang baru diperah bole bertahan di dalam suhu bilik selama 4 jam (maksimum 6 jam). Selepas 4 jam, susu ibu akan basi dan tidak boleh digunakan lagi. Walaubagaimanapun, sekiranya masih tiada kesan basi selepas 4 jam, susu perlu disimpan ke dalam peti sejuk secepat mungkin. Suhu bilik adalah antara 20 - 25 darjah Celcius. Dan sekiranya suhu bilik lebih tinggi daripada itu, kemungkinan susu ibu yang diperah akan lebih cepat rosak sekiranya tidak disimpan di dalam peti sejuk.

Cooler

Sekiranya anda membuat perahan di tempat kerja dan kemudian di simpan di dalam bag sejuk dengan pek ais (cooler bag), susu perahan tersebut boleh bertahan sehingga 24 jam. Selepas balik daripada pejabat, terus masukkan ke dalam freezer.

Peti Sejuk

Susu ibu yang disimpan di dalam peti sejuk (tetapi bukan di bahagian freezer) boleh bertahan sehingga 3-5 hari. Walaubagaimanapun, susu perahan hendaklah disimpan dibahagian belakang dalam peti sejuk untuk mengelakkan perubahan suhu yang drastik semasa pintu peti sejuk dibuka untuk mengambil barang-barang yang lain. 

Peti Sejuk Satu Pintu

Sekiranya peti sejuk anda adalah peti sejuk satu pintu. Anda boleh simpan susu perahan di dalam freezer sehingga 2 minggu.

Peti Sejuk Pintu Berasingan

Sekiranya peti sejuk anda mempunyai bahagian khas dan pintu yang berlainan untuk freezer, anda boleh simpan susu perahan antara 3-6 bulan.

Freezer

Jika anda ada mesin freezer, anda boleh simpan susu ibu perahan antara 6-12 bulan. Freezer kini boleh didapati dengan harga yang sangat berpatutan bermula dari RM500 dan ke atas.


Bagaimana cara mencairkan susu ibu perahan yang beku?

Cairkan susu dengan tarikh yang paling awal. Letakkan susu yang beku dari bahagian frezer ke dalam peti sejuk (bahagian bawah) pada malam sebelum anda bercadang untuk menggunakannya. Anda juga boleh perlahan-lahan memanaskan susu dengan meletakkan ia di bawah aliran air suam atau dalam semangkuk air suam.

Jangan panaskan botol beku dalam ketuhar gelombang mikro atau dengan cepat di atas dapur. Beberapa kajian menunjukkan bahawa pemanasan susu ibu dengan cepat boleh menjejaskan antibodi yang terkandung dalam susu tersebut. Pemanasan yang cepat juga menyebabkan susu ibu tersebut seperti pecah minyak dan mengubah rasa susu tersebut.

Penyelidikan lanjut diperlukan sama ada susu dibekukan sebelum ini yang sudah dicairkan boleh dibekukan semula dan digunakan dengan selamat, ramai pakar mengesyorkan untuk membuang susu yang tidak digunakan dalam masa 24 jam selepas ia dicairkan.

Ok?

Sememangnya tiada susu yang dapat menandingi susu ibu. Penyusuan secara eksklusif kepada bayi amatlah digalakkan sekurang-kurangnya 6 bulan pertama dan selepas itu barulah makanan lembut diperkenalkan kepada bayi anda.

Terima kasih kerana membaca Cara Penyimpanan Susu Ibu Yang Terbaik. Sekiranya ada info tambahan, anda boleh kongsikan di ruangan komen.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Back To Top