WHAT'S NEW?
Loading...

Cara Mudah Menyediakan Tabung Pendidikan Anak


Cara Mudah Menyediakan Tabung Pendidikan Anak. Setiap ibu bapa pasti ingin melihat anak-anaknya mengecapi kejayaan. Salah satu cara untuk membantu anak-anak berjaya dalam hidup adalah dengan menyediakan keperluan pendidikan kepada anak-anak kita. Perbelanjaan pendidikan semakin hari semakin meningkat sejajar dengan peningkatan kos sara hidup dan ini sebenarnya akan memberikan cabaran kepada ibu bapa untuk memberikan taraf pendidikan terbaik kepada anak-anak.

Bagi mengelakkan berlakunya kes ketinggalan dalam pelajaran yang disebabkan oleh faktor kewangan, kita sebagai ibu bapa perlulah menyediakan tabung pendidikan untuk setiap anak-anak kita. Tabung tersebut hendaklah disediakan semenjak anak tersebut lahir dan apabila anak tersebut telah meningkat dewasa tabungan tersebut boleh digunakan sebagai sumber kewangan untuk melanjutkan pelajaran anak tersebut.

Pada kali ini, saya akan kongsikan beberapa cara untuk kita menyediakan tabung pendidikan untuk anak-anak kita. 

Tabung Haji


Tabung Haji bukan sahaja berperanan untuk simpanan bagi menunaikan haji dan umrah, tetapi tabung haji juga boleh dijadikan sebagai salah satu tabung pendidikan untuk anak-anak kita. Simpan sedikit melalui potongan gaji ke tabung haji sebagai tabung pendidikan anak kita. Apabila mereka ingin melanjutkan pelajaran, simpanan tersebut boleh digunakan sebagai sumber kewangan tambahan untuk menampung kos melanjutkan pelajaran tersebut.

Simpanan Emas


Simpanan emas juga sesuai dijadikan sebagai simpanan pendidikan anak-anak. Cara simpanan emas untuk tabung pendidikan ank ini saya ambil daripada blog Tuan Mohd Zulkifli iaitu salah seorang yang pakar dalam pelaburan emas. Menurut beliau simpanan emas lebih selamat berbanding dengan simpanan wang biasa kerana nilai emas yang semakin tinggi pada masa hadapan berbanding nilai matawang yang semakin menurun pada masa akan datang. Disarankan untuk kita menyimpan sekurang-kurangnya 1 gram emas sebulan sebagai simpanan pendidikan anak kita. Harga emas sekarang adalah lebih kurang RM130/gram dan nilainya hampir pasti akan naik dalam 10 atau 20 tahun akan datang jika kita menyimpan 1 gram setiap bulan secara konsisten. Jika nak menuntut ilmu emas boleh ke blog Tuan Mohd Zulkifli.

Skim Simpanan Pendidikan Nasional

tabung pendidikan anak, simpanan pendidikan anak

Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) diwujudkan bertujuan untuk membantu ibu bapa menyediakan simpanan pendidikan anak sejak dari kecil lagi. Selain daripada itu, ia juga mengelakkan ibu bapa daripada terlalu bergantung kepada pinjaman PTPTN untuk melanjutkan pelajaran anak-anak. Dua (2) kategori utama dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional adalah SSPN-i dan juga SSPN-i Plus. Kedua-duanya baik untuk simpanan pendidikan anak-anak. Perbezaan utama kedua-dua kategori simpanan ini adalah SSPN-i Plus melibatkan komitmen bulanan dan juga termasuk perlindungan takaful untuk anak-anak kita. Maklumat lanjut anda boleh baca di Cara Buka Akaun SSPN-i Secara Online.

Ok.

Apa persamaan ketiga-tiga medium simpanan untuk tabung pendidikan anak ini?

Setiap satu daripadanya tidak mudah untuk dikeluarkan dan digunakan. Jadi kebarangkalian duit tabungan tersebut digunakan untuk tujuan lain adalah rendah. Dengan erti kata lain, sediakan satu tabungan khas sebagai simpanan pendidikan anak-anak sejak dari awal kelahiran mereka yang boleh digunakan untuk pendidikan mereka apabila diperlukan kemudian hari.

Oh ya.

Jangan terkeliru antara duit anak dan duit simpanan pendidikan anak.

Duit anak adalah duit hakmilik anak seperti simpanan duit raya dan sebagainya. Simpanan pendidikan anak pula adalah duit ibu bapa yang diketepikan sedikit bagi tujuan simpanan pendidikan anak untuk masa hadapan. Bagi saya, 2 simpanan ini adalah berbeza. Simpanan pendidikan anak adalah kewajiban yang perlu disediakan oleh ibu bapa kepada anak-anak. Manakala duit anak adalah hak milik anak yang perlu dikembalikan kepada anak apabila cukup umurnya. Walaubagaimanapun, ianya bergantung juga kepada kestabilan ekonomi sesebuah keluarga itu :-)

Ok?

Itu sahaja dari saya pada kali ini. Terima kasih kerana membaca Cara Menyediakan Tabung Pendidikan Anak. Semoga sedikit sebanyak memberi manfaat kepada para pembaca. Silakan Share sekiranya bermanfaat :-)

0 comments:

Catat Ulasan

click tracking