Cara Mencegah Diri Daripada Menjadi Mangsa Ragut


Jenayah ragut adalah salah satu jenayah yang kerap berlaku di negara ini. Sebagai pengguna dan juga rakyat, kita perlulah sentiasa berwaspada dan berhati hati dalam kehidupan seharian untuk mengelakkan dari berlakunya kejadian ragut kepada diri dan keluarga kita.

Secara umumnya, jenayah ragut kerap dilakukan oleh penunggang motosikal tetapi ada juga peragut yang menggunakan taktik lain untuk melakukan jenayah ragut.

Kes ragut bukan hanya menyebabkan kerugian, tetapi dalam masa yang sama boleh membahayakan nyawa mangsa dan menyebabkan kecederaan.

Jadi apakah yang anda lakukan untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa ragut?

Ok. 


Pada kali ini, saya akan kongsikan 12 perkara yang perlu kita lakukan untuk mengelakkan diri kita daripada menjadi mangsa ragut. 


  1. Elakkan Jalan Bersendirian kerana orang yang berjalan bersendirian terutamanya wanita adalah sasaran utama para peragut untuk melakukan kegiatannya. Sebaik-baiknya berjalanlah dengan kawan terutamanya jika anda melalui jalan yang agak sunyi.
  2. Pilih Jalan Yang Ramai Orang. Jika ada jalan alternatif yang lebih baik dan selamat (walaupun mungkin lebih jauh), saya nasihatkan untuk lalui jalan yang sentiasa ada orang lalu lalang di kawasan tersebut. Kawasan yang ramai orang biasanya lebih selamat dan sekiranya berlaku apa-apa, boleh meminta bantuan daripada orang berhampiran.
  3. Berjalan menjauhi jalan raya. Sekiranya anda terpaksa berjalan bersendirian, pastikan anda tidak berjalan berhampiran dengan jalan raya. Ini adalah kerana modus operandi peragut biasanya adalah dengan menaiki motosikal dan meragut orang yang berjalan berhampiran dengan jalan raya. Jadi , sebaik-baiknya jalanlah di kaki lima untuk mengurangkan risiko anda diragut.
  4. Kurangkan bawa beg tangan. Benda yang biasa diragut adalah beg tangan dan juga perhiasan wanita. Jika boleh, kurangkan membawa beg tangan mahal anda kerana ini akan menarik perhatian peragut. Alternatifnya, anda boleh menggunakan beg galas untuk menggantikan beg tangan.
  5. Pegang beg tangan dengan betul. Jika anda membawa beg tangan, silang kan beg tangan anda supaya ia tidak mudah untuk di ambil. Sebagai alternatif lain, sekiranya bahu kanan anda menghala jalan raya, letakkan beg tangan anda di bahu kiri dan begitulah sebaliknya. Sekiranya anda telah ada pasangan, minta pasangan (lelaki / suami) anda yang bawa beg tangan anda. 
  6. Simpan dompet berasingan. Apabila berlaku ragut, selain daripada kehilangan wang ringgit, anda juga akan kehilangan maklumat peribadi seperti kad pengenalan, lesen memandu dan lain-lain. Jadi sebaik-baiknya simpan dokumen penting tersebut bukan di dalam beg tangan. Anda mungkin boleh simpan semua dokumen tersebut dalam dompet dan dompet tersebut anda masukkan dalam poket, bukannya di dalam beg tangan.
  7. Jalan berlawan arah jalan. Sekiranya anda berjalan berhampiran jalan raya, pastikan anda berjalan menghadap kenderaan yang datang. Ini adalah penting untuk memastikan anda dapat lihat kenderaan yang datang menghampiri anda.
  8. Jangan memakai hiasan keterlaluan. Ramai yang sengaja mendedahkan diri kepada bahaya ragut dengan memakai perhiasan seperti rantai dan gelang yang keterlaluan. Ia bukan sahaja boleh menimbulkan sifat riak dalam diri, malah dapat membahayakan keselamatan anda.
  9. Wang ATM. Jika anda mengambil duit di mesin ATM, pastikan anda terus masukkan ke dalam poket sebelum keluar daripada kiosk ATM. Apabila sampai di dalam kereta barulah masukkan ke dalam dompet atau beg tangan. Ini adalah penting kerana, ada kes di mana peragut yang menunggu mangsa di luar mesin ATM sambil memerhatikan dimana wang yang diambil mangsa disimpan. 
  10. Elakkan tidur dalam kenderaan awam. Tidur di dalam kenderaan awam biasanya tidak membahayakan. Tetapi anda perlu berhati-hati dan peluk beg anda erat-erat. Sebaik-baiknya, elakkan tidur di dalam kenderaan awam. 
  11. Elakkan kongsi lokasi anda berada di media sosial. Dalam zaman teknologi ini, ada penjenayah yang bijak mencari mangsa di dalam media sosial. Adalah dinasihatkan untuk tidak sewenang-wenangnya tag lokasi anda berada kerana ia boleh membahayakan anda.
  12. Pastikan tingkap kereta anda sentiasa tertutup, terutamanya ketika berhenti di lampu isyarat. Selain itu, elakkan meletakkan beg tangan di kawasan yang dapat dilihat dan digapai dari luar. Sebaik-baiknnya letakkan beg tangan di bahagian bawah tempat duduk kereta anda. Jika anda menaiki motosikal, tutup beg anda dengan kain untuk mengelakkan ianya dipandang oleh orang yang berniat jahat. 
Ok?

Itulah 12 cara untuk mencegah daripada menjadi mangsa ragut. Semoga artikel ini bermanfaat untuk anda semua. Kongsikan juga tips ini kepada rakan dan keluarga untuk membuka mata orang lain supaya berhati-hati dalam kehidupan seharian kita.

Terima kasih kerana membaca Cara Mencegah Diri Daripada Menjadi Mangsa Ragut.

1 ulasan:

Back To Top