Cara Bermain Pokemon Go di Malaysia


Saya percaya hampir semua orang tahu berkenaan Pokemon. 

Sebelum saya bercerita lebih panjang, saya ada soalan untuk anda. 

Antara animasi Pokemon dan permainan Pokemon, yang mana satu yang paling awal dikeluarkan? Adakah permainan merupakan adaptasi animasi atau sebaliknya?

Jika anda sudah melihat animasi Angry Birds, kisah Pokemon tidak jauh bezanya. Permainan Pokemon telah mula diperkenalkan sejak tahun 1995 yang mula dimainkan di peranti Gameboy. Setelah mendapat sambutan hangat daripada peminat, pihak Pokemon Company dan Nintendo kemudiannya mengeluarkan animasinya pula.

Animasinya telah mempunyai ribuan episod yang terbahagi kepada banyak seasons. Kini yang sedang di paparkan di Astro adalah Pokemon Black & White. Apa yang menariknya, walaupun sudah 20 tahun dikeluarkan, konsep asal permainan Pokemon masih sama dari awal ia diperkenalkan sehingga hari ini iaitu untuk menjadi Pokemon Master dan menangkap semua Pokemon di dunia.

Pada ulang tahun ke 20 Pokemon, pihak Pokemon Company International  dengan kerjasama Niantic bersama telah mengumumkan akan mengeluarkan permainan pokemon realiti tambahan (augmented reality) untuk peranti android dan iOS yang dipanggil Pokemon Go.


Apa itu Pokemon Go?

Pokémon Go adalah permainan yang menggabungkan dunia realiti dan juga maya (virtual). Dalam permainan ini, pembangun permainan Pokemon Go menyatakan bahawa pemain boleh menangkap Pokemon di dunia nyata.

Semasa saya mula mendengar konsep permainan ini pada tahun 2015. Saya sentiasa terfikir bagaimana permainan ini akan dimainkan. Ini adalah video awal yang dikeluarkan oleh Pokemon Company.



Walaupun video tersebut 'too good to be true' tapi saya tetap menantikan konsep dan cara bermain permainan Pokemon Go ini.

Pokémon Go dilancarkan di Malaysia

Pokémon Go dilancarkan keseluruh dunia pada 6 Julai 2016 tetapi telah disekat semula untuk kebanyakan negara kerana masalah server oleh sebab sambutan yang melebihi jangkaan pengeluar permainan Pokemon Go. Salah satu negara yang masih agak lambat dapat bermain Pokemon Go adalah Malaysia. Rakyat Malaysia hanya dapat bermain Pokemon Go bermula pada bulan Ogos 2016.



Memandangkan Pokemon GO telah dilancarkan, saya sentiasa ternanti-nanti adakah permainan kad seperti Yu Gi Oh! boleh dijadikan permainan realiti maya seperti permainan ini untuk menjadikan permainan tersebut lebih hebat. Ini cumalah harapan saya.

Selepas meneliti permainan ini, ternyata, Pokemon Go mempunyai kebaikan dan keburukannya juga..

Kebaikan Pokemon Go

Percuma
Bermain Pokemon Go secara relatifnya adalah percuma sepertimana permainan online lain. Walaubagaimanapun pemain boleh membeli pelbagai upgrade sekiranya ingin naik level dengan lebih pantas.

Senaman
Em..secara teorinya, untuk menangkap Pokemon, anda perlu bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Perkara ini adalah lebih baik jika dibandingkan dengan permainan konsol yang menyebabkan kita duduk satu tempat tanpa bergerak.

Kawan Baru
Bermain Pokemon Go akan membolehkan anda berlawan dan mencari kawan baru. Tambahan lagi kebanyakan Gym dan Pokestop berada di kawasan tumpuan orang ramai.


Keburukan Pokemon Go

Kerja Terabai
Sepertimana permainan yang lain, adakalanya pemain terlalu taksub dengan sesuatu permainan dan mula mengabaikan kerja lain dan malah mungkin mengabaikan keluarga dan anak-anak.

Kemalangan
Kes pertama yang melibatkan kemalangan semasa bermain Pokemon Go telah dilaporkan di New York. Saya harap tiada berita bahawa ada rakyat Malaysia yang kemalangan disebabkan oleh Pokemon Go.

Bateri Smartphone Cepat Habis
Oleh kerana permainan Pokemon Go ini menggunakan GPS dan internet, saya pasti bateri telefon kita akan cepat habis. Mungkin jika kita kerap bermain, bateri anda tidak akan sampai separuh hari pun. Jadinya kita perlu membawa power bank ke mana-mana.

Ok.


Jadi, bagaimana cara bermain Pokemon Go di Malaysia?

Pertama sekali, anda perlu muat turun Pokemon Go di Google Play. Perlu diingatkan bahawa anda MESTI muatturun permainan Pokemon Go dari Google Play dan jangan menggunakan yang telah dihack atau APK untuk negara lain. Ini mungkin akan menyebabkan akaun anda akan disekat oleh sistem Pokemon Go.

Jika anda berada di tempat berhampiran dengan kawasan tumpuan orang ramai, anda agak bertuah kerana agak mudah untuk bermain Pokemon Go. Kebanyakan Gym (tempat untuk lawan) dan Pokestop di tagkan di kawasan-kawasan tersebut. Tetapi jika anda duduk di kawasan perkampungan atau jauh dari kawasan tumpuan pelancong, kebarangkalian tiada Pokemon di tempat anda adalah besar.

Untuk lebih memahami cara permainan Pokemon Go, boleh lihat video di bawah:





Apa pun, bagi yang berminat untuk bermain Pokemon Go, anda perlu pastikan anda sentiasa dalam kawalan dan tidak terlalu taksub sehingga mengabaikan perkara lain. Tambahan lagi pelbagai fatwa daripada ulama telah dikeluarkan berkaitan permainan Pokemon Go ini. Jadi pilihan di tangan anda sama ada untuk bermain Pokemon Go atau tidak.

Terima kasih kerana membaca Cara Bermain Pokemon Go di Malaysia. Anda main Pokemon Go atau tak? Kongsikan di ruangan komen.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Back To Top