Cara Bertukar Kepada KWSP Patuh Syariah

KWSP Patuh Syariah, KWSP Patuh Shariah

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melancarkan simpanan persaraan baharu Simpanan Shariah pada 1 Januari 2017. Ia merupakan alternatif kepada simpanan KWSP konvensional yang ada sekarang. KWSP juga telah mengumumkan bahawa pendaftaran bagi pertukaran akaun KWSP Konventional kepada akaun KWSP Patuh Syariah boleh dibuat bermula pada 8 Ogos 2016 sehingga 23 Disember 2016. Semua rakyat Malaysia yang mempunyai akaun KWSP dipelawa untuk untuk menukarkan akaun mereka kepada KWSP Patuh Syariah.


Apakah sebenarnya KWSP Patuh Shariah?

Simpanan Shariah merupakan satu inisiatif oleh KWSP bagi membolehkan ahli KWSP memilih untuk akaunnya diuruskan dan dilaburkan dalam pelaburan yang patuh Syariah. Pilihan ini terbuka untuk semua ahli tanpa mengira bangsa, agama dan status warganegara.

Kenapa Simpanan Shariah diperkenalkan?

Akuan patuh syariah diperkenalkan kerana terdapat permintaan di kalangan ahli KWSP supaya akaun mereka diuruskan dan dilaburkan mengikut Syariah. Selain itu, berdasarkan hasil Kaji Selidik Rundingan Ahli ke atas Inisiatif Penambahbaikan Simpanan Persaraan Ahli KWSP yang telah dijalankan pada April 2015, sebanyak 71% responden (ahli) bersetuju pilihan simpanan persaraan patuh Syariah diperkenalkan. Ini juga memberikan satu petanda positif bahawa penduduk di Malaysia terutamanya yang beragama Islam amat mementingkan kehalalan dan keberkatan dalam pelaburan mereka.

Bilakah inisiatif ini akan dilaksanakan?

Pendaftaran Simpanan Shariah akan dilaksanakan bermula pada 8 Ogos 2016 dan sebanyak RM100 bilion dana patuh syariah diperuntukkan bagi 2017. Bagi melayakkan ahli mendapatkan tarikh kuat kuasa pilihan Simpanan Shariah pada 2017, ahli mestilah memilih untuk bertukar ke Simpanan Shariah selewat-lewatnya pada 23 Disember 2016, tertakluk kepada peruntukkan dana tersebut. Dengan erti kata lain, menggunakan konsep "siapa cepat, dia dapat" sehingga dana yang diperuntukkan telah habis digunakan. Tetapi jangan risau, pada tahun 2018, dana baru akan diberikan untuk pendaftaran simpanan KWSP patuh syariah. 

Apakah ciri-ciri utama Simpanan Shariah?

Semua ahli KWSP tanpa mengira agama, bangsa dan status warganegara boleh memilih Simpanan Shariah; Simpanan Shariah diuruskan dan dilaburkan berdasarkan Akad Wakalah di mana Lembaga KWSP dilantik dan diamanahkan untuk bertindak bagi pihak ahli untuk menguruskan dan melaburkan simpanan ahli mengikut Syariah;

Simpanan Shariah diperakukan oleh Jawatankuasa Penasihat Shariah, KWSP yang terdiri daripada tidak kurang daripada tiga orang yang berkelayakan dalam bidang Syariah atau yang mempunyai pengetahuan atau pengalaman dalam bidang Syariah dan perbankan, kewangan, undang-undang atau apa-apa disiplin lain yang berkaitan. 

Berikut adalah ahli-ahli dalam Jawatankuasa Penasihat Shariah, KWSP:



Prof. Dr. Mohamad Akram Laldin (Pengerusi)
Pengarah Eksekutif
International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA)



Prof. Madya Dr. Aznan Hasan
Profesor Madya
Institut Perbankan dan Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)



Dr. Zaharuddin Abdul Rahman
Pensyarah Kanan
Kulliyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)



Prof. Dr. Engku Rabiah Adawiah Engku Ali
Profesor
Institut Perbankan dan Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)



Dr. Kamaruzaman Noordin
Pensyarah Kanan
Jabatan Syariah dan Pengurusan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

Bolehkah ahli KWSP mempunyai dua akaun KWSP – Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah?

Tidak, ahli KWSP hanya boleh mempunyai satu akaun sahaja sama ada Simpanan Konvensional atau Simpanan Shariah. Ahli KWSP yang memilih Simpanan Shariah tidak boleh membatalkan pilihannya selepas tarikh kuat kuasa dan kembali ke Simpanan Konvensional.

Bagi mereka yang ingin bertukar Kepada KWSP Patuh Syariah, ahli perlu hadir ke mana-mana kaunter KWSP bermula 8 Ogos 2016 dengan membawa bersama Mykad bagi warganegara Malaysia atau Pasport bagi bukan warganegara untuk pengesahan identiti ahli. Ahli perlu menyerahkan dokumen pengenalan diri dan menurunkan cap ibu jari pada Akad Simpanan Shariah yang telah dicetak. Buat masa ini, pendaftaran secara atas talian tidak disediakan.


Tarikh kuat kuasa akaun Simpanan Patuh Syariah?

Tarikh kuat kuasa pilihan adalah pada 1 Januari mengikut tahun peruntukan dana patuh Syariah tahunan yang diluluskan kepada ahli. Apabila pendaftaran Simpanan Shariah telah memenuhi kuota dana yang diperuntukkan pada tahun tersebut, ahli yang telah membuat pilihan Simpanan Shariah tetapi belum berjaya memperolehi peruntukan dana tersebut, perlu menunggu peruntukan dana patuh Syariah tahunan seterusnya.

Bagaimanakah cara untuk saya mengetahui jika permohonan saya untuk memilih Simpanan Shariah telah berjaya?

Permohonan ahli yang berjaya akan menerima Notis dan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) pengesahan tarikh kuat kuasa tidak kurang daripada tujuh (7) hari sebelum tarikh kuat kuasa pilihan Simpanan Shariah.

Sekiranya ahli tidak menerima sebarang makluman berkenaan tarikh kuat kuasa ianya disebabkan oleh:

Sebarang pertanyaan, sila hubungi:
Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922-6000; atau layari www.kwsp.gov.my.

Dalam satu post Facebook Dr Zaharuddin bin Abd Rahman, yang merupakan salah seorang ahli jawatankuasa penasihat syariah KWSP ada menjawap persoalan mengapa akaun KWSP bagi pemegang beragama islam tidak ditukarkan secara automatik kepada akaun patuh syariah. Berikut adalah ulasan beliau:

MENGAPA KWSP TIDAK AUTOMATIS TUKAR BAGI MUSLIM? 

Alhamdulillah selesai menukar ke Simpanan Syariah pagi tadi jam 7:30 pagi. JANGAN bimbang, saya yakin alokasi rm 100 bilion adalah mencukupi untuk peringkat awal, jika ada permintaan lebih, sudah ada peruntukan yang menanti. Setiap hari dijangka RM 3- 5 bilion simpanan pencarum akan berubah ke simpanan syariah.

Justeru tidak perlu terlalu tergesa-gesa pada hari ini kerana masih besar alokasi simpanan Syariah.

Mengapa tidak auto tukar untuk orang Islam?

TIDAK boleh auto kerana keperluan legal utk pastikan benar-benar identiti pencarum menukar sukarela. Jika tidak, bakal bercanggah dengan peruntukan perlembagaan yang tidak benarkan keputusan secara tidak pilihan sendiri dalam hal melibatkan agama. Kita tidak mahu wujudnya pertikaian kemudian hari dan sudut perlembagaan dan undang-undang. Tambahan pula simpanan syariah TIADA jaminan minima bagi dividen dan iulan itulah ciri pelaburan untuk patuh Shariah.

Kesimpulan, kenapa ahli beragama Islam tidak auto Simpanan Shariah?

Terdapat risiko perundangan sekiranya penentuan jenis akaun ahli dibuat berdasarkan agama dan ianya dilihat sebagai bertentangan dengan Artikel 8(2) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan "...tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang.." . Jika kalian tidak setuju jawpaan ini, maka silakan baca jawapan seterusnya.

Perubahan ke Simpanan Syariah memerlukan akad Wakalah melalui ijab dan qabul secara jelas bertulis. Buat masa ini KWSP tiada kaedah yang lebih efektif dan berkesan selain secara fizikal di kaunter kerana untuk diuruskan secara patuh Syariah, ia memerlukan terma khusus dan mandat jelas kepada KWSP utk mengurus dan melaburkan secara patuh Syariah. Hal seperti ini TIDAK BOLEH secara automatik tanpa disedari pihak pencarum.

Kerana pihak KWSP TIDAK punyai data status agama yang lengkap bagi semua ahli pencarumnya, ini kerana dahulunya, pendaftaran tidak mewajibkan status agama ahli dinyatakan. Hanya status bangsa yang ada, bangsa semata-mata tidak mampu secara jelas menentukan agama seseorang.

Saiz permulaan dana Simpanan Shariah yang perlu diuruskan oleh KWSP akan menjadi lebih besar dan ini akan menyukarkan perancangan pelaburan KWSP yang perlu memastikan pertumbuhan yang mendadak ke atas pelaburan aset patuh syariah bagi setiap kelas aset, selari dengan pertambahan simpanan ahli Simpanan Shariah.

Simpanan Syariah ada ciri-ciri yang penting dan sangat berbeza dari konvensional seperti tiada jaminan MINIMA dividen pada kadar 2.5 % seperti konvensional dan pulangan juga adalah berasaskan prestasi sebenar dan sebarang jaminan dividen boleh menjatuhkannya ke dalam elemen riba. Justeru, jika diubah secara automatis, dibimbangi apabila berlakunya perbezaan dividen di antara Syariah dan Konvensional, mereka yang ditukar secara automatik akan membantah dan mempertikai apabila dividen Halal lebih rendah. Perlu diingat, dividen kedua-duanya kini boleh berbeza, lebih rendah atau lebih tinggi.

Jika kalian mampu membaca sehingga di sini, saya ucapkan tahniah kerana menjadi masyarakat yang tidak malas membaca dan mendapatkan fakta sebenar sebelum mengomen.

Rujukan : Laman Rasmi KWSP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Back To Top