Cara dan Etika Berdoa Menurut Imam Ghazali

cara dan etika doa

Berdoa adalah cara terbaik untuk menghubungkan sifat kehambaan kepada Tuhan yang Maha Pencipta, Tuhan Sekalian Alam. Allah S.W.T amat sukakan hambanya yang banyak berdoa kepadaNya kerana doa adalah salah satu cara dalam beribadah kepadanya dengan penuh pengharapan.

Apa sahaja permintaan hendaklah diminta terus kepada Allah. Allah adalah 'kabel' terbesar bagi umat Islam yang menginginkan sesuatu. Mintalah kepada Allah nescaya Allah akan perkenankan. Tambahan lagi di bulan Ramadhan, pintu Rahmat dibuka seluas-luasnya untuk umat Islam beribadah dan berdoa kepada Allah.

Bagi saya, dalam banyak-banyak doa, ada 3 perkara yang perlu diminta oleh semua umat islam iaitu doa untuk mendapat Rahmat daripada Allah, doa mendapat keampunan daripada Allah dan doa minta terlepas daripada dimasukkan ke dalam api neraka. 

Di dalam kitab Al Azkar karya Imam Nawawi ada menyatakan bahawa, Imam Ghazali di dalam kitab Ihya' Ulumuddin menyatakan bahawa etika berdoa ada sepuluh perkara:

  1. Memilih waktu yang penuh berkah seperti hari Arafah, bulan Ramadhan, Hari Jumaat, seperempat malam, pada waktu sahur dan pada waktu-waktu mustajab lain.
  2. Berdoalah ketika berada dalam keadaan yang mulia seperti semasa di saat sujud, bertemu dengan tentera musuh, di saat turun hujan, dan selepas solat.
  3. Menghadap kiblat dan mengangkat kedua tangan dan setelah selesai berdoa diusapkan kedua tangan ke wajah.
  4. Mengucapkan doa dengan suara yang perlahan
  5. Tidak berlebih-lebihan dalam berdoa. Walaubagaimanapun, Imam Nawawi menyatakan tidak ada batasan dalam berdoa. Bahkan disunatkan untuk memperbanyakkan berdoa.
  6. Berdoa dalam keadaan tawadhuk, khusyuk dan cemas
  7. Bersungguh-sungguh dalam berdoa, yakin bahawa doanya akan dimakbulkan dan bersungguh-sungguh dalam pengharapan.
  8. Menghayati doa yang dibaca dan difahami. Mengulanginya 3 kali dan tidak tergesa-gesa agar doanya segera dimakbulkan.
  9. Mengawali doa dengan menyebut nama Allah. Imam Nawawi berkata; Setelah mengucapkan puji puji kepada Allah, dianjurkan untuk mengucapkan selawat kepada Rasulullah. Ketika mengakhiri doa juga dianjurkan untuk mengucapkan kalimat tersebut.
  10. Hal yang paling penting dan manjadi dasar bagi dikabulkan doa menurut Imam Ghazali adalah perbanyakkan bertaubat, mengembalikan harta kepada orang yang dizalimi dan mengharap pasrah kepada Allah.  






Sempena di bulan Ramadhan ini, marilah sama-sama memperbanyakkan doa, ibadah kepada Allah dan memperbaiki hubungan diri dengan Allah. Jika kita mahu tahu bagaimana diri kita di sisi Allah, maka lihatlah sejauh mana kecintaan kita kepada Allah.

Peringatkan untuk diri sendiri. Semoga bermanfaat kepada anda semua juga. Salah silap harap ditegur dengan hikmah :-)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Back To Top