Cara Daftar dan Tambah Deposit SSPN1M-i Plus


Cara Dapatkan RM500 Percuma Daripada PTPTN. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kini sedang melancarkan kempen pemberian RM500 kepada mereka yang layak dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. RM500 percuma ini atau lebih tepat lagi Geran Sepadan 500 (GS500) telah diumumkan oleh Perdana Menteri semasa perbentangan Bajet 2018. Peruntukan sebanyak RM250 juta telah disediakan dan ianya adalah berdasarkan konsep 'siapa cepat dia dapat'. Hanya 500 ribu akaun SSPN1M (SSPN1M-i & SSPN1M-i Plus) terawal sahaja yang berpeluang untuk mendapat GS500.

Untuk menikmati RM500 percuma daripada PTPTN, langkah-langkah yang perlu anda penuhi adalah seperti berikut:
  1. Buka akaun SSPN1M-i Plus
  2. Daftar anak yang berumur 7 hingga 12 tahun 
  3. Deposit sekurang-kurang RM500 dalam tahun 2018.

Buka Akaun SSPN1M-i Plus

Sijil Simpanan Pendidikan Nasional 1 Malaysia Plus (SSPN1M-i Plus) adalah satu bentuk simpanan pendidikan untuk anak-anak yang digabungkan dengan takaful. SSPN1M-i Plus sebelum ini ia dikenali sebagai Sijil Simpanan Pendidikan Nasional Plus (SSPN-i Plus) dan bermula 2018, ia dijenamakan semula sebagai SSPN1M-i Plus.

Konsep utama SSPN1M-i Plus adalah simpanan dan takaful. Untuk membuka akaun SSPN1M-i Plus, ibu bapa tidak perlu bersusah payah pergi ke pejabat PTPTN kerana ianya boleh dibuka sepenuhnya secara online. 

Dalam SSPN1M-i Plus, terdapat 6 pakej yang ditawarkan kepada anda iaitu Pakej Intan, Delima, Topas, Zamrud, Nilam dan Berlian. Setiap pakej mempunyai kadar komitmen bulanan yang berbeza bermula dengan Pakej Intan sebanyak RM30 sebulan sehinggalah Pakej Berlian sebanyak RM500 sebulan.

Bayaran untuk setiap pakej juga merangkumi bayaran tabung pendidikan dan juga takaful. Sebagai contoh, RM30 bagi Pakej Intan merangkumi RM20 untuk simpanan dan RM10 untuk sumbangan takaful.

Jadual penuh pakej yang ditawarkan oleh SSPN1M-i Plus adalah seperti berikut:


Dalam jadual di atas juga, anda akan dapat perhatikan manfaat-manfaat takaful yang anda akan perolehi untuk setiap pakej yang disediakan. Manfaat takaful yang ditawarkan adalah sehingga RM1 juta sekiranya anda mengambil Pakej Berlian.


Kelebihan mendaftar SSPN1M-i Plus

  1. Patuh syariah
  2. Pelepasan taksiran cukai ke atas simpanan bersih tahun semasa sehingga RM12,000.00 setahun.
  3. Komitmen serendah RM 30.00 sebulan.
  4. Manfaat bagi kematian/ keilatan kekal( kemalangan) sehingga RM1,000,000
  5. Tiada pemeriksaan kesihatan.
  6. Kadar dividen yang kompetitif dan dikecualikan daripada cukai pendapatan.
  7. Khairat kematian termasuk pasangan dan maksimum 3 orang anak.
  8. Manfaat takaful bagi 36 penyakit kritikal.
  9. Elaun kemasukan hospital sehingga RM200 sehari.
  10. Layak memohon pinjaman PTPTN.
  11. Perlindungan 24 jam di seluruh dunia.
  12. Cabutan WOW
  13. Simpanan dijamin kerajaan.


Pengiraan Pelepasan Cukai dari SSPN1M-i Plus:

Salah satu kelebihan skim SSPN1M-i Plus adalah ia memberikan pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM12000. Pelepasan taksiran cukai pendapatan hingga RM12,000 berdasarkan pecahan seperti berikut:
  • Pelepasan taksiran cukai pendapatan diberikan maksimum hingga RM6,000 bagi simpanan bersih SSPN1M-i Plus dan SSPN1M-i tahun semasa di bawah Skim Simpanan Pendidikan Nasional 1 Malaysia (SSPN1M). 
  • Melalui SSPN1M-i Plus,pendeposit boleh menikmati tambahan pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas sumbangan takaful yang dibayar kepada pengendali takaful maksimum hingga RM6,000 di bawah Insuran Nyawa dan KWSP. 
  • Jika berlaku kematian ke atas penerima manfaat, pendeposit tidak lagi layak menuntut pelepasan taksiran cukai pendapatan atas simpanan bersih yang dibuat selepas tarikh kematian penerima manfaat.


Bagaimana nak daftar SSPN1M-i Plus?

  1. Buka laman web pendaftaran SSPN1M-i Plus di sini
  2. Tekan pada Pembukaan Akaun
  3. Lengkapkan maklumat Akaun yang diperlukan dan tekan Seterusnya.
  4. Pilih Pakej yang diperlukan dan tekan Seterusnya
  5. Lengkapkan maklumat peribadi dan tekan Seterusnya
  6. Masukkan jumlah deposit mengikut pakej yang dipilih
  7. Pilih cara bayaran
  8. Semak dan buat bayaran.
Tonton video di bawah untuk lebih jelas:



Macam mana nak layak dapat RM500 daripada PTPTN?

Geran Sepadan RM500 ditawarkan kepada pemegang akaun SSPN1M-i Plus baru dan juga sedia ada. Bagi melayakkan mendapat RM500, anak yang didaftarkan hendaklah berumur antara 7 hingga 12 tahun mengikut kiraan tahun bukannya berdasarkan tarikh lahir. Ini bermakna anak yang layak adalah anak yang bersekolah darjah 1 hingga 6 pada tahun 2018.

Seterusnya, bagi mendapatkan RM500 daripada PTPTN, pendeposit (ibu / bapa / penjaga) perlu mendepositkan RM500 dalam akaun SSPN1M-i Plus sepanjang tahun 2018. Deposit RM500 yang diambil kira adalah bahagian tabungan sahaja tidak termasuk bayaran takaful.

Untuk lebih kefahaman, rujuk jadual pembayaran di bawah:


Sebagai contoh, jika anda mengambil Pakej Intan (RM30 sebulan), untuk mencapai jumlah deposit tabungan sebanyak RM500, anda perlu buat pembayaran pakej SSPN1M-i Plus untuk 25 bulan. Mungkin ada yang tertanya-tanya, tempoh 25 bulan dah lebih daripada tahun 2018 sedangkan Geran Sepadan RM500 hanya ditawarkan untuk tahun 2018. Apa yang anda perlu lakukan adalah buat pembayaran advance 25 bulan ke hadapan dalam tahun 2018 untuk melayakkan anda memperolehi Geran Sepadan RM500 yang ditawarkan. Konsep yang sama juga untuk pakej-pakej yang lain.

Apabila simpanan telah mencapai RM500, Geran Sepadan RM500 akan dimasukkan secara automatik ke dalam akaun anda. Tiada permohonan diperlukan. Geran Sepadan RM500 yang diberikan hanya boleh dikeluarkan apabila penerima manfaat (anak) mencecah umur 18 tahun. 

Pembayaran SSPN1M-i Plus

Cara paling mudah adalah dengan menggunakan perbankan online. Anda juga boleh membuat potongan akaun setiap bulan. Selain daripada perbankan online, anda juga boleh membuat pembayaran melalui cara berikut:
  • Kaunter PTPTN (Kad Debit / Kad ATM ).
  • JomPAY - Kemudahan simpanan secara online melalui perbankan internet dan telefon mudah alih menggunakan akaun semasa dan simpanan. 
  • Potongan gaji secara Online.
  • MypayPTPTN - Kemudahan simpanan mudah melalui tablet/telefon pintar melalui laman web www.mygovmobile.malaysia.gov.my. 
  • E-SSPN1M-i - Kemudahan simpanan melalui portal PTPTN.
  • Penggunaan kad debit/kad ATM di 757 outlet di seluruh negara. 
  • Ejen PTPTN
  • Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (BKRM) - Kemudahan simpanan melalui ATM / CDM / CICO menggunakan akaun semasa dan simpanan. 
Secara keseluruhannya, SSPN1M-i Plus adalah pakej lengkap untuk para ibu bapa yang merangkumi simpanan pendidikan anak-anak serta perlindungan masa depan anak-anak sekiranya sesuatu berlaku kepada ibu bapa. 

SSPN1M-i Plus juga sesuai untuk mereka yang lebih suka pengurusan kewangan yang lebih ringkas kerana dengan mendaftar di SSPN1M-i Plus, simpanan pendidikan dan takaful diuruskan dalam masa yang sama.

Bagi mereka yang sukar untuk menabung secara tetap untuk simpanan pendidikan anak-anak, SSPN1M-i Plus juga adalah alternatif terbaik untuk anda membuat simpanan bulanan kerana ia menawarkan pembayaran secara automatik melalui potongan gaji.

Anda boleh baca lebih lanjut tentang SSPN1M-i Plus dan mendaftar di sini. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Back To Top