Cara Rasullullah S.A.W Berpuasa


Tiada individu yang lebih baik untuk dijadikan contoh selain Nabi Muhammad S.A.W. Saya tertarik dengan satu perkongsian yang saya dengar di radio tentang bagaimana cara Rasullullah S.A.W berpuasa. 

Terdapat 5 perkara yang Nabi Muhammad S.A.W sentiasa amalkan semasa berpuasa di dalam bulan Ramadhan. 5 perkara ini jugalah yang sepatutnya kita amalkan sepanjang bulan Ramadhan dan juga perlu diteruskan pada bulan-bulan yang lain.

Tidak melakukan perkara yang membatalkan puasa

Semua orang yang berpuasa wajib untuk meninggalkan perkara yang boleh membatalkan puasa. Ini merupakan syarat sahnya puasa seseorang dan jika puasa terbatal, ia wajib di gantikan (qada') di hari yang lain selepa bulan Ramadhan.

Perkara-perkara yang membatalkan puasa terdiri daripada 10 perkara iaitu:
  1. Memasukkan sesuatu kedalam rongga badan dengan sengaja , samaada daripada jenis makanan atau bukan makanan. 
  2. Memasukkan sesuatu daripada dua jalan (Qubul & Dubur).
  3. Memuntahkan makanan dengan sengaja.
  4. Jimak (Bersetubuh)
  5. Keluar Mani dengan sengaja.
  6. Keluar darah Haid
  7. Keluar darah Nifas .
  8. Gila
  9. Murtad
  10. Pengsan Sepanjang Hari Ketika Berpuasa

Tidak melakukan perkara yang haram

Perkara yang haram dan berdosa mungkin tidak membatalkan puasa secara langsung tetapi ini akan menyebabkan amalan puasa sukar untuk diterima oleh Allah. Antara perbuatan dosa yang kerap dilakukan semasa berpuasa adalah tidak menutup aurat dan meninggalkan solat. Perbuatan berpuasa tetapi melakukan perkara yang haram hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja. 

Oleh itu, kita hendaklah bersama-sama menjaga diri kita daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah. Meninggalkan perkara-perkara yang buruk juga merupakan satu ibadah yang besar di bulan Ramadhan.

Tidak melakukan perkara yang makruh

Melakukan perkara yang makruh tidak membatalkan solat dan juga tidak mendapat dosa, tetapi perbuatan tersebut boleh membawa kepada batal puasa atau menyebabkan berdosa. Perkara makruh yang biasa dilakukan semasa berpuasa adalah bercakap perkara yang sia-sia atau berborak kosong. Jika hanya bercakap perkara yang sia-sia ianya hanyalah makruh, tetapi jika diselitkan dengan umpatan dan fitnah boleh menyebabkan berdosa.

Selain itu, perbuatan tidur yang terlalu lama semasa berpuasa juga adalah satu perkara yang makruh untuk dilakukan. 

Memperbanyakkan amalan sunat

Bulan Ramadhan adalah bulan dimana ganjaran amalan sunat adalah setaraf seperti amalan wajib. Ganjaran amalan wajib pula digandakan 10 kali ganda berbanding hari-hari diluar Ramadhan. Sepatutnya inilah masa yang terbaik untuk kita beramal mengumpulkan bekalan akhirat.

Antara perkara sunat yang mudah untuk dilakukan adalah dengan memperbanyakkan membaca Al Quran, memperbanyakkan berzikir dan melaksanakan solat-solat sunat.

Lebih baik lagi, amalan-amalan tersebut diteruskan juga walaupun selepas berlalunya Ramadhan.

Sentiasa mengingati Allah dan perbanyakkan doa
Tidak dinafikan hati manusia mudah terpengaruh dengan pelbagai perkara. Cara terbaik untuk sentiada mengingati Allah adalah dengan memperbanyakkan zikir dan fikir. Rasullullah S.A.W banyak mangajar kita zikir-zikir dan juga doa-doa yang baik diamalkan di bulan Ramadhan ini.

Hati yang sentiasa ingat kepada Allah secara langsung akan menyebabkan seseorang tidak akan melakukan perkara yang membatalkan puasa, tidak akan melakukan perkara yang haram, tidak melakukan perkara makruh dan sentiasa memperbanyakkan amalan sunat di bulan Ramadha.

Akhir sekali, sama-sama kita jadikan Ramadhan kali ini Ramadhan yang terbaik untuk kita. Jadikan Nabi Muhammad S.A.W sebagai contoh teladan hidup kita.

Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Back To Top