Cara Memilih Laptop Terbaik dan Menjimatkan


Cara Memilih Laptop Terbaik dan Menjimatkan. Bekerja atas talian kini menjadi pilihan kebanyakan rakyat Malaysia. Tidak kira hanya sebagai sumber pendapatan tambahan ataupun sepenuh masa, bekerja atas talian menjadi idaman kerana operasinya lebih menjimatkan kos dan juga boleh dilakukan dari mana sahaja termasuk dari rumah kita sendiri.

Salah satu alat yang diperlukan untuk menjalankan perniagaan secara atas talian adalah komputer riba atau laptop. Penggunaan laptop lebih mudah kerana ianya boleh dibawa ke mana-mana dan lebih ringan berbanding komputer desktop.

Laptop yang sesuai dan baik adalah penting untuk memastikan perniagaan secara atas talian dapat dijalankan dengan lebih lancar dan cepat. Pemilihan laptop yang baik dan sesuai untuk kegunaan anda adalah bergantung kepada beberapa faktor iaitu:

  1. Kegunaan
  2. Bajet Kewangan
  3. Saiz dan bentuk
  4. Spesifikasi 
  5. Jenama
Ini adalah lima (5) faktor utama yang memberikan impak yang besar dalam pemilihan laptop yang sesuai untuk kegunaan harian anda. Lima perkara ini  jugalah yang akan menjadikan anda berasa puas hati dengan pembelian laptop tersebut. Dan apa yang lebih penting adalah, membeli laptop mengikut keperluan adalah lebih menjimatkan wang kerana anda tidak perlu membayar spesifikasi tambahan yang mungkin anda tidak akan gunakan.


Kegunaan Laptop

Sebelum anda membeli laptop, buat satu senarai tugas-tugas yang anda akan lakukan dengan menggunakan laptop tersebut. Senaraikan perkara yang anda lakukan seperti post barang di Facebook, chatting, streaming dan lain-lain. Perkara-perkara ini secara kasar akan memperlihatkan trend penggunaan laptop anda. Secara umumnya, pengguna laptop boleh saya kategorikan kepada 3 iaitu leisure (santai), gaming (kaki game) dan working (perniagaan dan pekerjaan).

1. Pengguna Santai

Jika anda kerap menggunakan laptop anda untuk perkara-perkara seperti menggunakan perisian pejabat (eg: Microsoft Office), menonton cerita, menggunakan media sosial, menggunakan emel dan mencari maklumat di internet, anda adalah dalam golongan pengguna santai. Pengguna santai adalah pengguna laptop yang paling mudah untuk memilih laptop. Ini adalah kerana hampir semua laptop yang kini berada di pasaran dapat melakukan perkara-perkara tersebut dengan lancar.

Walaubagaimanapun, anda masih perlu memilih jenama laptop dan spesifikasi asas laptop tersebut. Teruskan membaca untuk maklumat pemilihan jenama dan spesifikasi asas sesebuah laptop.

2. Pengguna Kaki Game

Jika anda biasa mendengar dan bermain Pro Evolution Soccer 2016, FIFA 2017, Far Cry dan Hitman 2016, anda boleh dikategorikan dalam pengguna kaki game. Mengikut trend perkembangan permainan komputer, hampir semua permainan yang dikeluarkan pada tahun 2013 dan ke atas memerlukan grafik komputer yang tinggi dan memerlukan ruang penyimpanan yang amat besar. 

Laptop-laptop dalam golongan pengguna santai biasanya tidak mampu untuk memainkan permainan ini ataupun hanya dapat dijalankan dengan tetapan grafik yang paling rendah. Permainan komputer boleh dikategorian kepada 3 iaitu low-end, medium dan high-end.

Secara umumnya, tidak banyak laptop yang mampu memainkan permainan komputer high-end yang berada di pasaran. Sebab itu kebanyakan gamers lebih memilih komputer desktop untuk bermain permainan komputer berbanding bermain dengan menggunakan laptop.

Jenama utama yang mengeluarkan laptop khas untuk permainan komputer adalah seperti MSI GL62 6QE-1407X 15.6" FHD Gaming Laptop, Asus GX700V-OGC009T dan Acer Predator.



Dari segi harga, laptop untuk kaki game agak mahal berbanding laptop-laptop dari jenis yang lain. Setakat ini, laptop gaming paling murah adalah MSI GL62 6QE-1407X 15.6" FHD Gaming Laptop yang berharga RM 2766 yang dijual di Lazada dan ada laptop gaming yang mencecah belasan ribu bergantung kepada spesifikasi laptop tersebut.

3. Pengguna Untuk Bekerja

Jika anda kerap menggunakan laptop anda untuk suntingan video dan gambar serta kerja-kerja lain, anda dalam golongan pengguna pertengahan. Suntingan video dan gambar juga hanya dapat dilakukan dengan menggunakan laptop yang mempunyai spesifikasi yang lebih tinggi berbanding laptop dari kalangan pengguna santai.

Lazada Malaysia

Bajet Kewangan

Berapa yang anda sanggup peruntukkan untuk membeli laptop baru? Harga biasanya ditetapkan berdasarkan spesifikasi sesebuah laptop. Secara umumnya, lebih mahal laptop, lebih berkuasa sesebuah laptop itu. Tetapi saya pasti setiap orang ada had bajet yang tersendiri.

Jika kita lihat harga pasaran, laptop yang paling murah kini berada dalam lingkungan harga RM1000. Walaubagaimanapun, untuk mendapatkan laptop yang baik, saya cadangkan untuk dapatkan laptop yang berharga RM1500 - RM2500. Laptop berharga lingkungan RM1500 kebanyakannya boleh digunakan dengan lancar oleh pengguna santai manakala laptop dengan lingkungan harga RM2500 kebanyakannya boleh digunakan dengan lancar untuk pekerjaan serta suntingan gambar dan video.  

Laptop murah dengan harga bawah RM1500 masih boleh digunakan, tetapi anda akan dapat rasakan sedikit tersangkut-sangkut dan lambat semasa menggunakannya terutamanya jika menjalankan beberapa perisian serentak.

Saiz dan bentuk

Kebelakangan ini, banyak jenama laptop mengeluarkan laptop dengan penampilan yang nipis dan ringan. Walaubagaimanapun, kenipisan tersebut biasanya datang dengan penarikan beberapa spesifikasi dalam laptop tersebut seperti tiada CD-ROM dan menggunakan grafik komputer yang rendah seperti Intel HD Graphic. 

Antara laptop yang berkuasa tinggi dan mempunyai bentuk yang menarik adalah seperti Asus Zenbook tetapi dijual dengan harga yang agak mahal.

Spesifikasi Laptop

Bagi saya, perkara yang paling penting dalam pemilihan laptop adalah dari segi spesifikasi hardware sesebuah laptop. Spesifikasi yang perlu anda lihat adalah:

  • Jenis Processor
  • Kapasiti RAM
  • Jenis kad grafik


Ini adalah 3 perkara utama sekiranya anda nak beli laptop baru. Setakat tahun 2016, cip pemprosesan terkini dari Intel adalah Intel Core i7. Saya cadangkan untuk memilih laptop sekurang-kurangnya laptop dengan cip pemprosesan Intel Core i3 atau setara. Laptop dengan cip pemprosessan Intel Atom adalah sangat tidak dicadangkan kecuali anda hanyalah dari golongan pengguna santai.

Kebanyakan RAM laptop kini dibekalkan dengan sekurang-kurangnya 2GB RAM. Walaubagaimanapun, sekiranya anda dalam kategori pengguna kaki game ataupun pengguna untuk bekerja, pilihlah laptop dengan RAM sekurang-kurangnya 4GB untuk mendapatkan prestasi laptop yang memuaskan.

Jika anda nak tahu prestasi kad grafik bagi laptop yang anda nak beli, anda boleh lihat prestasinya di laman Notebookcheck. Di sana anda akan dapat lihat sejauh mana kuasa kad grafik bagi laptop tersebut. Secara umumnya, kad grafik paling tidak digalakkan adalah Intel HD Graphic. Saya cadangkan untuk memilih laptop dengan kad grafik sekurang-kurangnya NVIDIA atau AMD. 

Jenama Laptop

Antara jenama laptop yang popular di Malaysia adalah Acer, Asus, Lenovo, HP, Dell, Toshiba, Sony dan MSI. Secara umumnya, pada saya tiada perbezaan yang ketara dari segi spesifikasi antara jenama laptop yang berada dipasaran. Walaubagaimanapun, dari segi harga laptop, terdapat sedikit perbezaan antara jenama yang ada di pasaran.

Laptop saya ;-)

Sekarang ini, saya sedang menggunakan laptop jenama Asus A45V yang saya telah beli hampir 4 tahun lepas. Laptop ini mempunyai spesifikasi Intel Core i5, dengan kad grafik NVIDIA GeForce 635M dan RAM 6GB. Kini laptop ini sudah tiada di pasaran lagi kerana banyak laptop baru telah dikeluarkan.  


Pada saya, sebenarnya agak sukar untuk mendapatkan laptop yang benar-benar memenuhi kriteria yang kita mahukan dengan bajet yang terhad. Ini adalah kerana perkara-perkara tersebut sentiasa menjadi bahan pemasaran untuk syarikat-syarikat pengeluar laptop. Oleh itu buatlah pilihan yang bijak untuk keselesaan dan kemudahan anda.

Terima kasih kerana membaca Cara Memilih Laptop Terbaik dan Menjimatkan.  Semoga bermanfaat kepada anda.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Back To Top