WHAT'S NEW?
Loading...

Cara Pindahmilik / Tukar Nama Tanah di Pejabat Tanah (Johor)


Bagi yang bercadang untuk beli tanah, anda perlu tahu cara dan prosedur untuk pindahmilik tanah di pejabat tanah. Kenapa saya cerita tentang pindahmilik tanah? Sebenarnya tidak lama dulu, saya ada beli tanah daripada ibu saya sendiri. Dan dalam masa sama saya rasa saya perlu kongsikan cara untuk pindahmilik tanah kerana saya sendiri pernah menguruskannya. 

Tidak dinafikan, pengurusan pindahmilik tanah agak leceh tetapi tidak serumit yang saya jangkakan. 

Bahagian 1:


Bergantung kepada jenis pembelian, ini adalah dokumen asas yang perlu anda sediakan setelah membuat pembelian dan permohonan untuk membuat pindahmilik tanah / tukar nama pada geran tanah yang anda beli / jual.


  • Salinan kad pengenalan penjual
  • Salinan kad pengenalan pembeli
  • Geran tanah
  • Salinan Geran tanah
  • Surat beranak dan salinan (jika tukarmilik dari ibu bapa kepada anak)
  • Surat nikah (jika tukarmilik dari suami isteri / sebaliknya)
  • Borang perjanjian (jika pindahmilik daripada individu kepada syarikat atau sebaliknya)

Jika semua dokumen tersebut telah disediakan, barulah anda pergi ke pejabat tanah. 

Sampai di pejabat tanah, pergi ke Bahagian Pendaftaran atau Bahagian Pentadbiran. Nyatakan hasrat anda untuk pindah milik di kaunter dan anda akan diberikan (dibeli) dengan Borang Pindahmilik (14A). Harga saya tidak ingat berapa ringgit. Tapi murah sahaja.

Borang ini hendaklah diisikan dengan kemas dan terang dengan menggunakan pen dakwat basah berwarna hitam. Isi mengikut aturan yang telah ditunjukkan. Biasanya cara mengisi ada ditunjukkan di papan kenyataan.

Setelah selesai mengisi borang, borang tersebut hendaklah ditandatangani (atau dicap jari) dihadapan Pentadbir Tanah atau Penolong Pentadbir Tanah.

Sebaik-baiknya proses ini dilakukan sendiri tetapi tidak salah jika ianya dilakukan oleh wakil. 

Selesai bahagian 1.

Bahagian 2:


Anda akan diminta pergi ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk proses penilaian tanah. Bawa set Borang Pindahmilik 14A ke LHDN dan ambil dan isi Borang PDS 5. Kedua-dua pembeli dan penjual perlu menandatangani (atau cap jari) borang ini. 

Tujuan proses ini adalah untuk membuat penilaian harga tanah tersebut dan nilai yang perlu dibayar untuk proses pertukaran tanah ini.

Hantar borang tersebut dan tunggu selama lebih kurang 2 minggu hingga 1 bulan sehingga surat penilaian diterima melalui pos. Dalam kes saya, saya menerima surat penilaian dalam masa 2 minggu selepas saya hantar Borang PDS 5.
  
Selepas anda terima surat penilaian, anda perlu membuat bayaran kepada LHDN dalam masa 30 hari dari tarikh surat tersebut. Jika lambat akan dikenakan denda.

Jangan lupa bawa sekali:


  • Geran Tanah Asal
  • Salinan Asal Taksiran LHDN
  • Salinan Cukai Tanah Tahun Semasa
  • Salinan kad pengenalan pemberi dan penerima
  • Salinan surat kelahiran (jika tanah rezab melayu)
  • Surat kelulusan kebenaran memindahmililk (jika perlu)


Bahagian 3:


Setelah bayaran dibuat di LHDN. Bawa resit pembayaran ke pejabat tanah semula (Bahagian Pendaftaran atau Bahagian Pentadbiran). Bawa sekali dokumen-dokumen yang anda bawa ke LHDN sebelum ini.

Satu lagi bayaran akan dikenakan.

Dan jika anda masih belum bayar cukai tanah, boleh bayar cukai tanah tahun semasa sekali.

Setelah itu hantar borang 14A berserta dokumen dan anda perlu tunggu sehingga surat untuk ambil geran anda sampai ke rumah ;-)

Selesai. Surat untuk ambil geran yang siap memang agak lama. Mungkin boleh mencecah sehingga 2 bulan.

Saya harap apa yang saya kongsikan ini sedikit sebanyak membantu anda untuk membuat pindahmilik tanah. Sebab saya perhatikan ramai yang mengeluh kerana terpaksa berulang alik banyak kali ke pejabat tanah untuk menguruskan perkara ini.

Saya buat pindah milik tanah ini di Pejabat Tanah Johor. Mungkin di negeri lain ada sedikit perbezaan. Jika ada perbezaan, anda boleh berikan tunjuk ajar di bahagian komen ;-)

Terima kasih kerana membaca Cara Pindahmilik Tanah di Pejabat Tanah (Johor). Semoga ianya bermanfaat ;-)






click tracking