WHAT'S NEW?
Loading...

Cara Melunaskan Hutang dengan Melakukan Solat Sunat Dhuha


Solat Dhuha adalah solat yang ringkas tetapi amat sukar untuk di amalkan oleh setiap orang. Pelbagai halangan dan alasan diberikan untuk tidak melakukannya. Sedangkan jika dilakukan, memerlukan masa kurang dari 10 minit sahaja. 

Melakukan solat sunat Dhuha sebanyak 2 rakaat sudah memadai untuk menjadikan kita sebagai insan yang bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan kepada kita. Solat sunat Dhuha dilakukan bermula 30 minit selepas waktu syuruk sehingga sebelum zohor (kira-kira setengah jam sebelum zohor).

Di dalam satu kuliah, seorang Ustaz dari Indonesia yang bernama Ustaz Yusuf Mansur ada menerangkan dan memperkenalkan konsep “ Hutang 2 Rakaat Dhuha”. Beliau membahaskan bahawa kita sudah terlalu banyak berhutang dengan Allah sebenarnya. 

kita sering terlupa untuk “membayar” bayaran kerana memakai mata, tangan, kaki, jantung serta organ kita yang lain kepada Allah. Oleh kerana Allah tahu bahawa kita tidak akan mampu membayar semua nikmat tersebut menggunakan wang, oleh itu Dia dengan kasih sayangnya mensyaratkan bahawa solat sunat dhuha 2 rakaat sebagai bayarannya.

Seperti yang tercatat di satu hadis “ Pada setiap manusia terdapat tiga ratus empat puluh sendi. Setiap satu sendi harus disedekahi olehnya. Para sahabat bertanya, ‘ siapakah yang sanggup melakukannya wahai Rasulullah? Rasulullah bersabda, jika terdapat kotoran di masjid, tutuplah dengan tanah ( buang dan bersihkan), dan jika ada sesuatu yang merintangi jalanan, jauhkanlah. Jika engkau tidak sanggup melakukannya maka solat dhuha dua rakaat sebagai gantinya bagimu” (HR. Imam Ahmad)

Dan menurut riwayat yang lain, “ Setiap pagi semua anggota badan masing-masing dari kalian wajib disedekahi. Setiap kali tasbih adalah sedekah. Setiap kali tahmid adalah sedekah. Setiap kali tahlil adalah sedekah. Setiap kali takbir adalah sedekah. Amar ma’ruf dan nahi mungkar adalah sedekah. Semuanya terpenuhi dengan dua rakaat solat dhuha.” ( HR. Muslim ).

Melalui hadis di atas, semakin jelas kepada kita bahawa kita sudah banyak berhutang kepada Allah selama ini rupanya. Ada diantara kita yang berumur 20, 30 malah mungkin 50 tahun, akan tetapi baru tahu akan hal ini. Kita baru tahu yang kita sedang berhutang sebenarnya. Bahkan ini baru hutang dhuha, belum lagi dikira hutang solat wajib, hutang zakat, juga hutang yang lain-lainnya. Pasti sangat banyak kiraannya.

Jika setahun kita berhutang dhuha 2 rakaat, jika dikira agak –agak berapa rakaat yang perlu kita bayar? Jika setiap tahun mengandungi 365 hari di darab dengan 2 rakaat dhuha yang ditinggalkan, jumlah hutang dhuha kita pada Allah setahun adalah 730 rakaat. Maka jika 10 tahun adalah 7300. Masha Allah. Bagaimana pula jika 20 atau 30 tahun? Sungguh banyaklah bukan?

Persoalannya disini, adakah betul kita harus membayar hutang hutang tersebut? Jika ya, bagaimanakah cara mahu membuatnya?.
Untuk menjawab persoalan tersebut, saya ingin berkongsi apa yang diceritakan ustaz Yusuf Mansur didalam buku tersebut tentang hal ini. Seorang pekerja kerajaan telah datang bertemunya selepas beliau menyampakan satu ceramah dan pekerja tersebut menceritakan bahawa dia terkena satu musibah.

Wang tabungan yang sudah dikumpul selama setahun telah hilang kerana dicuri. Agak banyak jumlahnya. Dia sangat tertekan dengan hal tersebut dan pergi menemui Ustaz Yusuf Mansur.Ustaz dengan pantas bertanya, “ Ada mengamalkan solat dhuha tak selama ini?” kemudian pekerja itu menjawab bahawa dia tidak atau kalau lakukan pun agak jarang sekali. Kemudian secara langsung ustaz menjawab, “ Patutlah Allah mengambil ( melalui pencuri) duit tersebut, diambil Allah wang tersebut untuk “bayar” hutang rupanya”. Begitu juga kalau berbisnes atau berniaga, setelah sekian lama berniaga, namun kita masih tak dapat membuat simpanan, itu mungkin kerana kita tidak berdhuha selama ini.

Berbalik kepada persoalan bagaimanakah kita ingin membayar hutang-hutang dhuha kita itu, adakah kita perlu bersolat sunat dhuha tanpa henti supaya hutang-hutang kita terbayar? Adakah kita perlu bersedekah supaya hutang kita itu terbayar?. Anda rasa bagaimana? Mengikut cadangan Ustaz Yusuf Mansur di dalam buku tersebut dia ada berkongsi sedikit tips dan cara bagaimana kita boleh membayar hutang- hutang Dhuha kita.

Seseorang bernama Saifullah telah menghantar satu sms kepada ustaz :

“ Ustaz, saya baru terbaca tentang hutang dhuha di program Dhuha Coffee ustaz. Saya termasuk orang yang mempunyai hutang dhuha dengan Allah. Saya kini berumur 34 tahun 2 bulan. Ertinya jika saya akil baligh umur 10 tahun, saya sudah berhutang 24 tahun. Dalam sekitar 8,760 hari itu saya berhutang 17,520 rakaat. Mungkin ini sebabnya saya merasakan hidup saya kurang diberkati. Sekarang bagaimanakah saya mahu melunasinya? Wassalam”

Antara tips ustaz yang sangat menarik dan relevan untuk diaplikasikan adalah melalui menyeru orang lain juga untuk berdhuha. Ya, ceritakan juga akan konsep hutang dhuha ini kepada sebanyak mungkin orang yang anda kenal. Dengan cara ini sahajalah hutang-hutang anda mampu dilunasi kerana setiap kali orang lain berbuat kebaikan yang mereka dapat inspirasi melalui anda, secara langsung anda akan mendapat pahala. Kebaikan dan amalan yang mereka lakukan secara langsung akan menjadi saham pahala anda juga.

Jika anda sebagai ketua jabatan, sediakan masa 10 minit sebelum memulakan kerja dan mengajak pekerja bawahan anda melakukan solat sunat Dhuha. Jika anda seorang pengacara Radio atau Televisyen, selitkan manfaat dan kelebihan Dhuha didalam percakapan anda. Jika anda seorang pemimpin, nasihatilah dan berikan motivasi tentang kelebihan berdhuha kepada rakyat anda. Jika anda guru atau pensyarah, sediakan waktu untuk mengajak pelajar –pelajar anda berdhuha disetiap pagi. Namun, jangan hanya menyuruh, ceritakan juga kepada mereka kelebihan melakukan solat dhuha. Supaya mereka lagi bermotivasi.

Setiap diantara anda mampu membayar hutang tersebut jika anda berterusan menyeru dan memotivasikan akan orang disekeliling anda tentang kelebihan solat sunat dhuha. 

Semoga perkongsian tentang Cara Melunaskan Hutang dengan Melakukan Solat Sunat Dhuha ini dapat memberikan manfaat kepada kita semua terutamanya diri saya sendiri. Sebarkan dan amalkan.

Selamat beramal!


0 comments:

Catat Ulasan

click tracking