Selasa, 24 Julai 2018

Cara Meningkatkan Keyakinan Diri


Cara Meningkatkan Keyakinan Diri. Dalam era globalisasi menuju kearah mellenium ini, sudah pasti ramai yang berpusu-pusu untuk mendapatkan tahap pendidikan yang bagus, pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan dan hendak dipandang tinggi oleh masyarakat Malaysia. 

Pastinya pada tahun 2018, terdapat sebilangan golongan-golongan belia yang sudah pasti membuat sedikit anjakan paradigma untuk menjadi yang lebih baik dan paling berjasa kepada Malaysia. 

Ada sebilangannya menyertai perniagaan dalam talian, ada juga yang berani membuka perniagaan luar talian seperti membuka butik, kedai makan dan lain-lain. Bagi saya, kejayaan seseorang tidak akan terjadi jika dia tidak mempunyai keyakinan diri yang tinggi dalam melakukan sesuatu perkara. 

Kajian mendapati bahawa beberapa peratus rakyat golongan belia di Malaysia mempunyai masalah kurang keyakinan didalam diri. Jika permasalahan ini terus berlaku, ia akan memberi impak yang negatif kepada Malaysia di masa akan datang kerana kurangnya pelapis didalam bidang tertentu terutamanya didalam bidang politik dan perniagaan. 

Disini, terdapat beberapa cara ataupun tips bagaimana hendak menaikkan keyakinan diri sewaktu anda bercakap, berjalan dan melakukan aktiviti seharian. 




1) Berpakaian Menarik dan Kemas


Secara amnya, pakaian melambangkan keperibadian diri seseorang. Pakaian yang menarik dan kemas dapat memukau pandangan dan perhatian orang lain. Berpakaian yang menarik serta kemas dapat memberi aura yang positif terhadap kenalan anda.

Jika anda seorang pelajar sekolah yang memakai baju berwarna putih, apa kata anda meletakkan beberapa titik nila sahaja didalam rendaman baju untuk menampakkan baju anda tidak terlalu kekuning-kuningan. Selain itu, berusaha dan rajinkan diri anda untuk bangun awal dan mengosok pakaian anda supaya lebih nampak kemas dan tidak lusuh.

Jika anda seorang pelajar institusi pendidikan awam/swasta atau anda adalah pekerja awam/swasta pastikan pakaian yang anda pilih itu berkesesuaian dengan warna kulit, karakter dan bentuk tubuh anda. Jika badan anda berisi, anda perlu padankan baju kurung moden bercorak bunga kecil supaya tampak lebih sesuai. Untuk pemakaian wanita berbadan besar, elakkan diri dari memakai seluar/jubah bercorak melintang kerana ianya akan menampakkan anda lebih pendek dari biasa. 


2) Berjalan dengan Lebih Yakin dan Teratur


Ramai yang tidak tahu cara kita berjalan dapat mempengaruhi aktiviti seharian kita. Seseorang yang berjalan dengan menyeretkan tapak kaki dan menguncupkan bahunya selalunya akan di label sebagai seorang yang tidak bersemangat dan pemalas. 

Jadi, jika anda tidak mahu di label oleh kenalan anda begitu, mulai dari hari ini cuba sedaya upaya untuk berjalan dengan lebih yakin, pantas dari yang biasa dan menegakkan posisi badan anda dengan membuka dada anda sedikit kehadapan. Jangan lupa untuk menyedekahkan senyuman dengan sesiapa sahaja. 

Seperti contoh, mari kita jadikan televisyen sebagai sumber inspirasi, kebanyakkan pelakon menyampaikan wataknya supaya berjaya dengan cara berjalan, cara berbual dan berpakaian. Jika dia berjalan dengan pantas, berbual dengan penuh keyakinan dan berpakaian pula kemas sudah tentu watak itu adalah watak yang sangat berpengaruh orangnya. Namun, jika dia berpakaian lusuh, koyak rabak, berjalan dengan kadar lambat dan tidak menjaga kebersihan diri sudah tentu watak itu, watak penagih dadah, penjenayah dan lain-lain. 

Seseorang yang berjalan dengan posisi yang tegap dan cepat dapat menimbulkan aura positif sekaligus mengambarkan seseorang itu berkarisma tinggi dan mempunyai disiplin yang baik. Selain itu, berjalan dengan yakin dan cepat dapat menjadikan anda seorang yang tepat pada masa. Anda akan awal 5-10 minit untuk sampai ke destinasi yang dituju. 


3) Berkomunikasi dengan Baik


Berkomunikasilah atas topik yang matang apabila dalam suasana yang formal, dan apabila bercakap dihadapan khalayak yang ramai, berbicaralah dengan tegas dan jelas. Hal ini dapat, meningkatkan keyakinan si pendengar terhadap anda. 

Mungkin ada juga yang akan menjadikan anda sumber inpirasi mereka. Seperti contoh, ahli-ahli politik yang lain anda akan nampak usaha dan teknik komunikasi mereka didalam debat, ceramah, mesyuarat dan lain-lain yang mereka ketuai. Mereka amat bijak dalam menggunakan kata-kata dan sangat sudah biasa menggunakan bahasa tubuh apabila berbicara membuatkan penyokong mereka sentiasa menyokong dan yakin akan corak pimpinan mereka. 

Teknik yang sama juga anda boleh mengaplikasikan didalam temuduga, pembentangan, mensyuarat dan lain-lain tidak kira dimana sahaja, di sekolah atau di tempat kerja. 

Berbicara dengan baik dan tegas bukan bermaksud anda perlu meninggikan suara anda dengan memek wajah yang hendak marah. Berbicara dengan baik dan tegas cukup sekadar lantunan suara anda tepat, jelas untuk didengari oleh si pendengar dan tidak terlalu perlahan sehingga membuatkan orang lain tertanya-tanya adakah ada atau tidak manusia sedang bercakap di hadapannya. 




4) Tingkatkan Penampilan Diri


Penampilan diri perlulah ditingkatkan supaya kita mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Jika anda seorang wanita yang berkerja berjumpa dengan pekerja dari luar pejabat sepanjang hari, anda perlulah meningkatkan penampilan diri dari atas sehingga kebawah. Ianya dapat menarik perhatian kenalan anda. Kalau boleh, letakkan sedikit bedak kompak, memakai pembayang mata, meletikkan bulu mata dan pewarna bibir iaitu gincu. Jika anda rajin, sapukan sedikit pemerah pipi supaya anda kelihatan lebih feminin orangnya. 

Kenakan sedikit minyak wangi supaya bau badan anda tidak berkuasa pada hari tersebut ianya dapat menghilangkan focus kenalan anda jika ada bau yang tidak menyenangkan. 

Namun, janganlah terlalu over dalam bersolek. Kerana ada juga orang yang rimas jika anda memakai alat solek yang tebal dan minyak wangi secara berlebihan. Cukuplah sekadar untuk menyerikan badan dan wajah anda sahaja. 

Jika anda seorang lelaki, pastikan anda mencukur dahulu jambang yang penuh dimuka. Jika anda tidak mahu mencukur jambang anda, rajin rajinkan lah ke kedai gunting rambut yang berdekatan dengan kawasan rumah anda untuk membentuk jambang serta misai supaya lebih kelihatan kemas. Ia dapat mengambarkan bahawa anda seorang yang pembersih dan amat menjaga kekemasan diri. 

Dari segi rambut pula, ramai yang sudah tahu bahawa rambut merupakan mahkota bagi seorang lelaki. Rambut anda hendaklah dipotong kemas dan jangan dibiarkan panjang sehingga melepasi kolar baju kemeja. Apabila rambut sudah dipotong kemas, rajin-rajinkan diri untuk meletakkan gel rambut sedikit dan gayakan rambut anda berkesesuaian dengan kerjaya anda. Jangan biarkan rambut anda, kusut dan tidak bermaya. Ianya dapat menimbulkan aura yang negatif kepada kenalan anda yang lain. 

Itulah  tips dan cara meningkatkan keyakinan diri atau dalam bahasa inggerisnya confident level. Semoga informasi yang diberi oleh saya dapat membantu anda sedikit sebanyak dalam memperbaiki diri. Selalulah bersyukur dengan apa yang ada di hadapan. Bangkitlah ke arah yang lebih jelas untuk anda, keluarga, masyarakat dan negara.

2 ulasan:

  1. Saya setuju dengan saranan2 ini. Keyakinan diri memang membantu untuk seseorang itu pergi jauh sebenarnya.Jom jaga penampilan diri dan akhlak sama :)

    BalasPadam